Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN ROMBAKAN KABINET

Peluang bagi Lawrence tunjuk upaya pikul tanggungjawab lebih besar: Pengamat

Rombakan juga beri peluang pemimpin muda dapat pendedahan lebih besar
Jun 08, 2022 | 05:30 AM



PELANTIKAN Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) bukan mengesahkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri Singapura seterusnya, malah bertujuan menguji keupayaannya.



Pengumuman bahawa beliau akan menjadi pemangku perdana menteri semasa ketiadaan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengukuhkan lagi tanda-tanda beliau yang akan menggantikan Encik Lee.



Demikian menurut beberapa pengamat politik yang dihubungi Berita Harian semalam.



Kelmarin, Encik Lee mengumumkan bahawa mulai 13 Jun, Encik Wong dinaikkan pangkat menjadi DPM sambil terus memegang jawatannya dalam Kementerian Kewangan (MOF).



Kenaikan pangkat itu berlaku kurang dua bulan selepas Encik Wong dipilih sebagai pemimpin pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).



Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata pelantikan Encik Wong sebagai DPM adalah satu tempoh untuk beliau menguji keupayaan dan memikul tanggungjawab lebih besar.



"Tentu sekali sebelum seorang menteri menjadi perdana menteri, beliau harus diuji dahulu sebagai timbalan. Ini hal yang sama di negara-negara lain yang melalui peralihan politik. Encik Lee juga menyatakan bahawa Encik Wong akan memangku jawatan perdana menteri jika beliau bercuti. Justeru ini adalah usaha mencuba keupayaan beliau," kata Dr Norshahril.



Beliau menambah bahawa pelantikan itu juga peluang untuk Encik Wong menggalas tanggungjawab lebih besar melebihi peranannya menerajui MOF.



"Sebagai DPM, beliau juga berperanan lebih strategik, dan sebagai pemegang jawatan politik tinggi setelah perdana menteri, beliau juga harus faham mekanisme pemerintahan secara keseluruhuan dan bagaimana kementerian lain bekerjasama," ujarnya.



Profesor Madya Tan Ern Ser daripada Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata pengumuman bahawa Encik Wong bakal menjadi DPM yang akan menjadi pemangku perdana menteri semasa ketiadaan Encik Lee mengukuhkan lagi kedudukannya untuk menjadi perdana menteri keempat negara ini.



Selain Encik Wong, jawatan DPM turut kekal disandang Encik Heng Swee Keat.



Zamil Penyelidikan Kanan di Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Woo Jun Jie, berkata pelantikan Encik Wong sebagai DPM penting kerana ini akan mengurangkan ketidakpastian dan spekulasi menyelubungi identiti perdana menteri akan datang.



"Dengan adanya pengganti, Encik Lee dan Encik Wong kemudian boleh memberi tumpuan pada penggantian kepimpinan di peringkat kabinet yang lebih luas," katanya.



Semasa sidang media bagi mengumumkan Encik Wong sebagai pemimpin pasukan 4G Aprail lalu, Encik Lee berkata beliau akan berbincang dengan Encik Wong tentang garis masa dan langkah seterusnya yang perlu diambil berhubung penyerahan jawatan perdana menteri, apabila Encik Wong dan pasukan 4G bersedia.



Ditanya siapakah yang mungkin menyandang jawatan timbalan Encik Wong kelak setelah beliau menjadi perdana menteri, Dr Tan berkata tiada petunjuk tentang siapa bakal menyandang jawatan itu, manakala Dr Norshahril pula berkata masih terlalu awal untuk membincangkan soal peralihan, sambil menambah bahawa mandat rakyat diperlukan agar perdana menteri seterusnya boleh berasa yakin mendapat legitimasi.



"Saya fikir kita boleh lihat mereka yang memegang jawatan menteri negara kanan atau menteri negara sebagai golongan yang perlu diperhatikan, kerana mereka juga sedang diuji untuk memimpin negara seterusnya," kata Dr Norshahril.



Timbalan Pengarah Penyelidikan di IPS, Dr Gillian Koh, berkata proses pemilihan DPM akan mengambil masa, kerana Encik Wong perlu melihat siapa yang mempunyai set kemahiran teknokratik paling sesuai, naluri politik serta keyakinan pasukan 4G untuk menjadi timbalannya.



Dr Koh menambah bahawa proses itu tidak harus tergesa-gesa dan Encik Wong sendiri mungkin tidak akan digesa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >