Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Pemilik butik terkejut begitu ramai tempah, beli pakaian Raya

Apr 13, 2022 | 05:30 AM



SEJAK beberapa minggu lalu, pemilik butik Anggun Collection Tailoring, Cik Shariffah Naseem, sibuk melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke butiknya di Tanjong Katong Complex (TKC).



Bukan sehelai baju kurung yang dibeli, malah ada juga yang membeli beberapa pasang untuk seisi keluarga sehingga ada yang berbelanja sekitar $1,000.



Begitulah keadaan di butiknya sejak beberapa minggu lalu dengan kelonggaran peraturan langkah pengurusan selamat bulan lalu meyakinkan ramai untuk menyambut Hari Raya tahun ini.



Cik Shariffah, 73 tahun, terperanjat kerana ramai pelanggan yang datang untuk menempah dan membeli baju dengannya sejak awal Ramadan.



"Dah macam dulu sebelum Covid-19. Sekurang-kurangnya pelanggan akan menempah atau membeli satu set baju, sekitar $200. Dan ada juga yang menempah untuk seluruh keluarga dan berbelanja sekitar $1,000.



"Saya rasa oleh kerana ramai yang gembira dan ghairah untuk menyambut Hari Raya, mereka juga berbelanja lebih tahun ini.



"Ada yang berkata sudah ada baju tahun lepas yang belum sempat pakai tetapi masih ingin buat baju baru kerana terlalu gembira," cerita Cik Shariffah.



"Walaupun sempadan ke Johor sekarang sudah dibuka, masih ada yang belum berani masuk ke sana. Jadi, butik setempat masih ada chance," selorohnya.



Menurut beliau, hujung minggu lalu, kedainya penuh dengan pelanggan, lebih 500 pelanggan secara keseluruhan, katanya.



Pada minggu pertama Ramadan tahun lalu, Cik Shariffah masih mengambil tempahan, terutama untuk pelanggan tetapnya.



Namun tahun ini, beliau berhenti mengambil tempahan secara rasmi pada 10 April.



"Hujung minggu lalu saya pun terpaksa menolak beberapa pelanggan kerana takut tidak dapat menepati tempahan baju menjelang raya nanti.



"Tahun ini, jumlah tempahan meningkat kira-kira 30 peratus berbanding tahun lalu," jelasnya.



Walaupun butiknya lebih kepada tempahan baju, Cik Shariffah juga menyediakan baju yang sudah siap untuk dipakai.



"Bagi baju yang sudah siap untuk dibeli, stok kami sudah tinggal sedikit. Hanya tinggal warna-warna kurang popular dan saiz pun terhad," kata beliau.



Berbanding dengan tahun-tahun prapandemik, Cik Shariffah berkata biasanya, pelanggan akan berpusu-pusu datang membeli baju raya bermula minggu ketiga bulan puasa.



"Tetapi saya rasa tahun ini selepas pengumuman kelonggaran sekatan, ramai yang ghairah dan tidak sabar untuk menyambut Syawal.



"Mungkin mereka juga tidak mahu membeli baju pada saat-saat akhir jadi mereka ingin membeli lebih awal," jelas Cik Shariffah.



Kebanyakan pelanggan tetap Cik Shariffah berkata mereka tidak sempat membuat tempahan baju oleh kerana pengumuman kelonggaran agak lambat dan mereka terpaksa membeli baju sudah disiap.



Menurutnya juga, trend baju tahun ini kelihatannya lebih kepada warna pastel dan kain songket.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >