Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemilik F&B lega dengan kelonggaran yang diumumkan jelang Ramadan

Mar 25, 2022 | 05:30 AM



SETELAH lebih dua tahun menghadapi sekatan Covid-19 dan melalui tempoh yang sukar, pemilik kedai makanan dan minuman (F&B) berasa lega dan ghairah kelonggaran yang sudah lama dinanti-nantikan bakal dilaksanakan Selasa depan.



Restoran milik Melayu/Islam juga berkata kelonggaran tersebut tiba tepat pada masanya, sedang mereka bersiap sedia menerima lebih ramai pelanggan semasa waktu berbuka puasa pada Ramadan ini, yang bermula Ahad depan.



Ketua pegawai operasi rangkaian kafe dan restoran The Blackhole Group, Encik Sufi Hassan, berkata kelonggaran itu memberi sinar harapan yang baru, ibarat awan berarak mendung berlalu.



"Harapan saya, dengan kelonggaran ini, warga Singapura secara amnya akan mendapat kebebasan sedikit untuk berhimpun dan orang ramai tidak akan terlalu resah.



"Dua tahun ini mencabar sekali buat semua. Ramadan tahun ini kami jangkakan akan lebih rancak berbanding tahun yang sudah," ujar Encik Sufi.



Tambahnya, syarikat The Blackhole Group - yang merangkumi beberapa restoran dan kafe termasuk Afterwit dan Tipo - akan mempersiap pasukannya untuk menyambut kumpulan pelanggan yang lebih besar dari segi tempat duduk dan tempahan.



Semalam, pemerintah mengumumkan beberapa kelonggaran langkah pengurusan selamat (SMM) Covid-19, termasuk membenarkan kumpulan hingga 10 individu sudah divaksin untuk menjamu selera bersama di kedai F&B, naik daripada lima orang sekarang, mulai Selasa depan.



Pemilik restoran Padi@Bussorah, Encik Hashim Ali, berkata ini satu berita baik yang diterima dengan penuh keghairahan.



"Kami sebenarnya tidak menjangkakan SMM akan dilonggarkan seawal ini. Kami menjangkakannya selepas Hari Raya sebenarnya.



"Dengan kelonggaran ini, sudah tentu kami berharap melihat lebih ramai pelanggan pada Ramadan ini. Kami akan memerlukan lebih banyak meja dan kerusi tahun ini," ujar Encik Hashim.



Kedai F&B, termasuk pusat penjaja dan kedai kopi, akan dibenarkan menerima kumpulan hingga 10 pelanggan, selagi kedai itu melaksanakan pemeriksaan Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS).



Namun, untuk memudahkan operasi, semua kedai F&B akan diberi fleksibiliti membenarkan kumpulan lebih kecil hingga lima individu, tanpa perlu memeriksa status vaksinasi.



Sebaliknya, pemeriksaan rambang akan diadakan untuk memastikan hanya individu sudah divaksin yang makan di tempat ini.



Encik Hashim berkata restoran Padi@Bussorah besar kemungkinan akan mengekalkan pemeriksaan status vaksinasi pelanggan untuk menerima kumpulan hingga 10 orang.



Ini sedang semua langkah keselamatan itu sudah pun terlaksana, katanya.



Pemilik restoran Penny University, Encik Mustafah Kamal, juga mengalu-alukan kelonggaran itu, setelah pihaknya, seperti banyak perniagaan lain, terjejas dengan langkah Covid-19 yang ketat selama ini.



"Langkah membolehkan kami menerima kumpulan yang lebih besar pastinya akan membantu. Dengan pelbagai langkah juga dilonggarkan, ia memberi keyakinan kepada pelanggan.



"Kesannya yang lebih besar adalah ke atas keyakinan pengguna secara amnya bahawa kehidupan akan menjadi lebih biasa seperti dahulu. Sebelum ini, orang ramai masih tidak pasti dan penat menghadapi sekatan," ujar Encik Mustafah.



Selain langkah membenarkan hingga 10 orang untuk berkumpul, beberapa kelonggaran lain yang diumumkan termasuk meniadakan keperluan memakai pelitup semasa berada di luar, membenarkan hingga 75 peratus daripada pekerja yang boleh bekerja di rumah untuk kembali ke pejabat, dan membuka sempadan kepada pelawat yang sudah divaksin tanpa perlu mengikuti penerbangan ditetapkan.



Pemilik restoran Chai Chee Seafood, Encik Mohamed Elias Tahir, pula berkata pengalaman menikmati juadah seperti makanan laut biasanya lebih meriah dengan lebih ramai pelanggan yang makan bersama.



"Dengan kelonggaran peraturan ini, kami berharap pelanggan akan menikmati pengalaman menjamu selera di restoran bersama keluarga dan keluarga lebih besar mereka.



"Sedang kami memasuki bulan Ramadan, kami juga akan terus mematuhi panduan yang ditetapkan walaupun setelah dilonggarkan," kata Encik Elias.



Laporan tambahan oleh HARITH MUSTAFFA




''Harapan saya, dengan kelonggaran ini, warga Singapura secara amnya akan mendapat kebebasan sedikit untuk berhimpun dan orang ramai tidak akan terlalu resah. Dua tahun ini mencabar sekali buat semua. Ramadan tahun ini kami jangkakan akan lebih rancak berbanding tahun yang sudah.''
- Ketua pegawai operasi rangkaian kafe dan restoran The Blackhole Group, Encik Sufi Hassan.



''Kami sebenarnya tidak menjangkakan SMM akan dilonggarkan seawal ini. Kami menjangkakannya selepas Hari Raya sebenarnya. Dengan kelonggaran ini, sudah tentu kami berharap melihat lebih ramai pelanggan pada Ramadan ini. Kami akan memerlukan lebih banyak meja dan kerusi tahun ini.''
- Pemilik restoran Padi@Bussorah, Encik Hashim Ali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >