Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pendidik latihan jasmani terima Anugerah Presiden bagi Guru-Guru

Antara lapan pendidik yang diberi penghargaan atas kerja keras dan komitmen dalam mendidik generasi seterusnya
Sep 02, 2022 | 05:30 AM



PENDIDIKAN Jasmani mungkin bukan satu subjek peperiksaan, tetapi bagi Ketua Jabatan (HOD) Pendidikan Jasmani (PE), Encik Nasrun Mizzy, ia merupakan wadah penting untuk menerapkan nilai-nilai yang dapat membentuk keperibadian pelajar sedang mereka membesar.



Disebabkan itulah sepanjang 24 tahun lalu, guru tersebut gigih memastikan beliau memperkasa pelajar dan membantu mereka membina kepercayaan diri menerusi PE.



Malah, apabila Covid-19 melanda dan menjejas kelas PE kerana pembelajaran beralih ke rumah, Encik Nasrun, 48 tahun, memikirkan cara inovatif untuk menjalankan pembelajarannya.



"Mula-mula kita mempunyai sumber seperti pautan kepada video YouTube, di mana pelajar menonton dan mereka ikut... tetapi macam tak lengkap kerana mereka tidak lihat muka kita.



"Bagi subjek lain seperti bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan bahasa Ibunda, guru-gurunya yang menjalankan kelas, jadi guru PE tidak boleh hanya duduk diam dan membiarkan sahaja pelajar tonton video.



"Kami kemudian hasilkan video sendiri dan menjalankan kelas Zoom," ujarnya yang juga HOD aktiviti kokurikulum (CCA).



Di samping itu, Encik Nasrun menceritakan bahawa disebabkan sumber terhad dan pelajar tidak dapat mengakses alat sukan sewaktu pembelajaran di rumah, beliau terpaksa membuat penyesuaian di mana pelajar tetap dapat mempelajari sesuatu sukan walaupun ada keterbatasan.



Contohnya bagi badminton, Encik Nasrun menghasilkan video untuk mengajar pelajar bagaimana menghasilkan shuttlecock menggunakan kertas, dan raket pula digantikan dengan buku.



Semalam, guru Sekolah Rendah Teck Whye itu merupakan antara lapan pendidik yang diberi Anugerah Presiden bagi Guru-Guru.



Anugerah tersebut disampaikan Presiden Halimah Yacob sewaktu majlis Hari Guru yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan bertujuan memberi penghargaan kepada guru atas kerja keras dan komitmen mereka terhadap mendidik generasi seterusnya.



Penerima anugerah akan dapat melibatkan diri dalam program pembelajaran luar negara untuk melanjutkan pembangunan profesional mereka.



Melahirkan kesyukuran, Encik Nasrun berkata ini bukan sahaja pencapaian buat dirinya, malah bagi seluruh tenaga pengajar.



Penyampaian kreatif PE kepada pelajar sewaktu tempoh pandemik berjaya dicapai disebabkan "semangat gotong-royong" antara guru-guru dari sekolah berbeza yang bersedia berkongsi sumber dan idea, ujarnya.



Menyentuh mengapa beliau bertungkus lumus mengajar PE walaupun ia bukan subjek peperiksaan, Encik Nasrun berkata di samping memastikan pelajar dapat mengekalkan kecergasan, setiap permainan tidak kira individu atau berpasukan, membawa teladan.



"Kami cuba menghubungkan pengalaman bermain sukan dengan kehidupan harian mereka. Contohnya, jika mereka asyik kalah, bagaimana kita ajar mereka untuk menangani emosi tersebut, bagaimana mereka bersikap tenang dan yakin.



"Bagi yang menang, bagaimana untuk memastikan mereka tidak bongkak dan tidak memandang rendah terhadap orang lain... di situ kita melihat peluang untuk mereka belajar nilai-nilai tersebut," ujar bapa lima anak itu.



Malah, untuk tidak menyekat minat pelajar, Encik Nasrun, dengan sokongan sekolahnya, telah mengeluarkan percubaan pemilihan bagi CCA sukan kerana mahu pelajar memilih sukan atas dasar minat, bukan kebolehan. Beliau percaya ada pelajar yang "mekar lewat".



Berkongsi harapannya sebagai guru, beliau berkata:



"Bagi saya, nilai-nilai yang disampaikan kini menjadi tumpuan apabila saya mengajar, bukan hanya subjek itu sendiri, kerana dari situlah anda sedang menanam benih bagi mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna... dan memberi mereka keyakinan untuk mencapai apa sahaja yang diinginkan, tidak kira dari segi akademik atau bukan akademik."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >