Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penduduk Jalan Kukoh ketepikan susah sendiri demi bantu jiran

Mereka antara 9 Duta Blok dilantik dekati penduduk
Mar 22, 2021 | 05:30 AM



SEORANG penderita penyakit kencing manis manakala seorang lagi masih memerlukan bantuan sosial.



Namun, keadaan sedemikian langsung tidak menghalang Cik Fauziah Abdul, 59 tahun, dan Cik Elva Yanti, 49 tahun, daripada terus membantu jiran yang susah.



Mereka antara sembilan Duta Blok atau pendamping yang dilantik bagi mendekati penduduk Jalan Kukoh di bawah usaha bernama Projek Kukoh. Sembilan duta itu tinggal di sembilan blok flat sewa dalam kawasan tersebut yang berdekatan Chinatown.



Projek tersebut dikelolakan cawangan baru M Kuasa Tiga (M³), M³@Jalan Besar, dan Masjid Omar Kampong Melaka.



Menurut kenyataan Pejabat Kawasan Undi Kolam Ayer, duta berperanan menggalakkan kemesraan sesama jiran, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat di blok masing-masing.



Kumpulan duta itu sendiri terdiri daripada lelaki dan wanita berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah dan menghadapi cabaran tersendiri.



Majlis pelantikan diadakan di Masjid Omar Kampong Melaka, Keng Cheow Street, dekat Havelock Road, semalam.



Selain menghadapi kencing manis, Cik Fauziah kurang daya pendengaran dan penglihatan. Suri rumah itu menetap dalam flat sewa dua bilik Blok 5 di Jalan Minyak.



Suaminya bekerja sebagai tukang bersih hotel manakala puteri tunggal mereka yang berusia 23 tahun mengejar ijazah sarjana muda pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.



Sungguhpun berpenyakit, Cik Fauziah gigih menjadi relawan sejak 10 tahun lalu.



"Saya tak sangka dilantik menjadi duta tetapi memandangkan tak ada yang sanggup pikul tanggungjawab itu, saya tampil membantu. Kami masih belum pasti cara Projek Kukoh akan berkembang tetapi insya-Allah kami sanggup memberikan kerjasama. Kebanyakan daripada mereka pun kita bantu dulu. Jadi kita dah kenal," ujarnya.



Bagi Cik Elva, beliau dan suami, yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah, mempunyai lapan anak berusia 14 hingga 27 tahun. Mereka juga memiliki enam cucu berusia sebulan hingga lima tahun.



Cik Elva menetap dalam flat sewa dua bilik Blok 12 di Jalan York Hill.



"Saya berbesar hati masalah kami didengari masjid dan pihak berkuasa. Kerja sebagai duta ini tanggungjawab besar. Bukan senang hendak merubah keadaan. Kita perlukan sokongan untuk berubah tetapi yang penting kita sendiri mesti nak keluar daripada kepompong.



"Dulu saya pun dalam kesempitan tapi saya keluar mencari ilmu dan bangkit. Saya kini mempunyai ilmu menangani masalah. Saya suka membantu orang," ujarnya.



Turut hadir dalam majlis pelantikan Duta Blok Projek Kukoh ialah pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Encik Paiman Supangat.



"Usaha kita ini mungkin makan selepas zaman saya pun. Selepas 10, 12 tahun, baru kita dapat melihat hasil 'benih' yang kita tanam hari ini. Pihak masjid akan siapkan program pendidikan agama. Namun, kita perlukan komitmen ibu bapa bagi memastikan anak dihantar ke sini atau kalau perlu, masjid boleh hantar ustaz ke sana.



"Sama-sama kita kuatkan barisan depan agar kita terus maju. Yang penting, hati kita bersatu. Berjayalah Kukoh, berjayalah kita. Hal ini amanah berat yang kita boleh laksanakan bersama," ujarnya.



Duta Blok akan bekerjasama dengan jawatankuasa Projek Kukoh merangkumi anggota daripada Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Keelat Theatre, M³@Jalan Besar dan Masjid Omar Kampong Melaka. Anggota jawatankuasa turut dilantik semalam.



Selain sijil pelantikan, relawan diberi kad pengenalan khas. Kad pengenalan tersebut membolehkan penduduk Jalan Kukoh mengenal pasti identiti mereka sebagai duta apabila mula bertugas kelak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >