Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ARTIKEL KHAS PENDIDIKAN

Pengajian Islam peringkat tinggi penting di era tidak menentu (VUCA)

Warga emas rebut peluang di Al-Zuhri mendalami ilmu agama
Dec 17, 2021 | 05:30 AM



PANDEMIK Covid-19 telah menimbulkan pelbagai tekanan, antaranya cabaran untuk mencari pendapatan seperti yang dialami Encik Ismail Mahat, 62 tahun, pemandu kereta sewa privet Grab, tatkala tempoh pemutus litar pada tahun lalu.



Namun, dalam keadaan pandemik yang tidak menentu, Encik Ismail, reda dengan qadar Allah swt dan cekal meneruskan pengajiannya dalam pendidikan Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.



Encik Ismail baru sahaja selesai program Diploma Pengajian Islam secara sambilan pada tahun lalu dan kini menyertai program Sijil Pengajian Al-Quran.



Kata Encik Ismail:



"Kita mesti ada tahap kesabaran dan keimanan yang tinggi walaupun kita menghadapi dugaan dan saya bersyukur, saya mendapat macam-macam ilmu semasa saya belajar di Al-Zuhri yang telah bantu meningkatkan keimanan saya."



Encik Ismail merupakan antara masyarakat Islam yang telah menghadapi keadaan yang tidak menentu, tidak pasti, kompleks dan samar-samar atau istilah akronim dalam bahasa Inggeris - volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA) - sejak terjadinya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020.



Selain menghadapi cabaran dalam mendapatkan pendapatan, ada juga yang mungkin kehilangan keluarga akibat Covid-19, manakala ramai juga terpaksa merubah cara kerja dan kehidupan untuk sesuaikan kepada norma baru.



Namun, Islam menggalakkan umatnya untuk berfikiran positif. Orang yang beriman yakin bahawa setiap yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya.



Oleh itu, sifat takwa dan tawakal kepada Allah swt perlu diterapkan dalam diri, menurut Pensyarah Kanan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustazah Nur Aamal Arif, 37 tahun.



Kata Ustazah Nur Aamal:



"Dengan kedua-dua sifat tersebut, dengan izin Allah swt, seseorang itu akan diberikan jalan keluar, dilimpahkan rezeki dan kecukupan seperti dinyatakan dalam surah al-Talaq ayat dua hingga tiga.



"Dengan demikian, pengajian Islam tetap dan sentiasa relevan untuk membantu para penuntut ilmu agama Islam untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu (VUCA)."



Ustazah Nur Aamal telah mengajar di Al-Zuhri sejak tahun 2013 dan antaranya mengajar subjek Bahasa Arab, Tafsir, Hadis, Fiqah dan Usul Fiqah.



Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar dan Sarjana Ilmu Wahyu dan Warisan Islam Jabatan Fiqah dan Usul Fiqah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



Menurut beliau, dalam masa yang sukar ini, tidak kira peringkat usia tentu akan mengalami tekanan dan cabaran.



Antara cabaran segelintir pelajarnya adalah berkenaan masalah teknologi ketika menjalani pembelajaran secara 'online' tatkala wi-fi mereka terputus.



Oleh itu, Ustazah Nur Aamal telah memulakan inisiatif untuk memberi rakaman video bagi setiap sesi pengajian untuk para pelajar tonton semula.



Selain itu, di setiap sesi pengajian, Ustazah Nur Aamal akan memberi kata-kata perangsang kepada para pelajar untuk terus menimba ilmu.



"Walaupun belajar melalui 'online', dengan niat yang ikhlas, Allah swt tetap akan melimpahkan ganjaran pahala kepada para penuntut ilmu dan memberkati kehidupan mereka," kata Ustazah Nur Aamal.



Dalam pada itu, ketika sesi pengajian, tidak kira secara 'online' atau di dalam kelas, Ustazah Nur Aamal akan terapkan pada diri para pelajar untuk jadikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw sebagai pegangan hidup.



Katanya, jika menghadapi kesukaran dalam hidup, dirikanlah solat dan berdoa kepada Allah swt serta memperbanyakkan istighfar.



Itulah juga pendekatan yang diambil oleh Encik Ismail yang menuntut ilmu walau sudah lanjut usia .



Keinginan meningkatkan kefahaman dalam bidang agama telah mendorong Encik Ismail untuk mempelajari pendidikan Islam secara formal.



"Sepanjang hidup saya, saya hanya ikuti syarahan di masjid. Tetapi, pada usia pertengahan 50-an tahun, saya tertanya-tanya jika saya benar-benar faham apa yang saya pelajari berkenaan agama.



"Maka, saya buat keputusan untuk belajar Islam secara formal supaya saya dapat faham dalilnya dan melalui peperiksaan, menguji kefahaman saya," jelas Encik Ismail.



Seorang lagi pelajar lanjut usia Al-Zuhri adalah Encik Mohd Taufik Abdul Manaff, 62 tahun, yang merupakan imam dan noja di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.



Biarpun sudah mempunyai pengetahuan asas agama, Encik Mohd Taufik, mula menyertai Al-Zuhri dengan program Sijil Pengajian Islam, disusuli dengan program Diploma Pengajian Islam dan kini sedang berada di program Diploma Lanjutan Pengajian Islam.



Kata Encik Mohd Taufik:



"Walaupun saya sudah ada pengetahuan asas agama, apabila saya kembali belajar semula di Al-Zuhri, saya dapat luaskan lagi pengetahuan saya dalam agama.



"Oleh kerana Al-Zuhri mempunyai tenaga pengajar dari pelbagai institusi, mereka juga telah membantu membuka minda saya terhadap pelbagai perkara."



Sebagai contoh, dengan kefahaman agama, beliau lebih memahami mengapa solat berjemaah dengan saf berjarak di masjid digalakkan semasa keadaan pandemik.



Ustazah Nur Aamal berkata:



"Saya masih ingat sewaktu saya baru bekerja di Al-Zuhri, ketika pertemuan dan sesi perkongsian ilmu oleh Cikgu Haji Mohamed Yusuf Haji Zuhri, beliau menerangkan bahawa daripada wahyu yang pertama ini, dapat difahami dengan membaca dan mendalami ilmu agama, manusia dapat mengenal Allah swt dan sekali gus mendekatkan dirinya kepadaNya.''



Beliau menjelaskan lagi, di dalam surah al-Mujadalah ayat 11, dinyatakan bahawa orang yang beriman dan diberi ilmu pengetahuan akan diangkat darjat kemuliaan mereka di sisi Allah swt.



Dengan menghayati ayat ini, seorang Muslim bukan hanya memberi tumpuan kepada ibadah sahaja, malah berusaha untuk menambahkan kefahaman ilmu agama demi meraih darjat yang tinggi daripada Allah swt, ujar Ustazah Nur Aamal.



Pendaftaran 2022 sudah dibuka. Sila lungsuri www.zuhri.com.sg untuk maklumat lanjut atau mendaftar secara online 




PANDANGAN WARGA EMAS



"Kita mesti ada tahap kesabaran dan keimanan yang tinggi walaupun kita menghadapi dugaan dan saya bersyukur, saya mendapat macam-macam ilmu semasa saya belajar di Al-Zuhri yang telah bantu meningkatkan keimanan saya."
- Encik Ismail Mahat, 62 tahun, yang baru selesai program Diploma Pengajian Islam secara sambilan pada tahun lalu dan kini menyertai program Sijil Pengajian Al-Quran.



"Walaupun saya sudah ada pengetahuan asas agama, apabila saya kembali belajar semula di Al-Zuhri, saya dapat luaskan lagi pengetahuan saya dalam agama.

Oleh kerana Al-Zuhri mempunyai tenaga pengajar dari pelbagai institusi, mereka juga telah membantu membuka minda saya terhadap pelbagai perkara."

- Encik Mohd Taufik Abdul Manaff, 62 tahun, imam dan noja di Masjid Petempatan Melayu Sembawang. Mula menyertai Al-Zuhri dengan program Sijil Pengajian Islam, disusuli program Diploma Pengajian Islam dan kini ikuti program Diploma Lanjutan Pengajian Islam.




PANDANGAN ASATIZAH



"Islam menggalakkan umatnya untuk berfikiran positif. Orang yang beriman yakin bahawa setiap yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Oleh itu, sifat takwa dan tawakal kepada Allah swt perlu diterapkan dalam diri. Walaupun belajar melalui 'online', dengan niat yang ikhlas, Allah swt tetap akan melimpahkan ganjaran pahala kepada para penuntut ilmu dan memberkati kehidupan mereka."
- Pensyarah Kanan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustazah Nur Aamal Arif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >