Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penglibatan China di S'pura, rantau ini dijangka bertambah: Vivian

Feb 22, 2023 | 05:30 AM



PROJEK dua hala dan hubungan antara Singapura dengan China berjalan lancar di tengah-tengah pandemik Covid-19 dan pertukaran dua hala serta mesyuarat fizikal antara pemimpin kededua negara boleh dijangka bertambah dalam beberapa bulan akan datang kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.



Menambah, Dr Vivian berkata interaksi antara China dengan Asia Tenggara juga dijangka terus bertambah dalam tahun-tahun akan datang, walaupun ada beberapa isu antara kededua pihak yang belum dihuraikan.



Beliau berkata demikian pada 21 Februari, semasa bercakap dengan media dari Singapura untuk menggulung lawatan rasmi tiga hari ke Beijing, di mana beliau menyentuh tentang hubungan China dengan Singapura, Asia Tenggara dan negara-negara utama dunia.



"Singapura dan China menyokong satu sama lain di saat-saat genting, mungkin di luar mata awam, tetapi dengan cara yang berkesan, meyakinkan dan dengan cara yang memupuk sokongan dan sifat percaya antara satu sama lain," ujar Encik Vivian.



Memberi contoh, Encik Vivian merujuk pada tiga projek antara pemerintah iaitu di Suzhou, Tianjin, dan Chongqing - termasuk Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa - dan mesyuarat antara lapan majlis perniagaan peringkat wilayah yang diteruskan di tengah-tengah pandemik.



Kelmarin, Dr Vivian telah bertemu rakan sejawat dari China, Encik Qin Gang, di mana antara lain, menekankan keinginan Singapura untuk melihat penerbangan dan hubungan lain antara Singapura dan China dipulihkan kepada keadaan sebelum Covid-19 melanda.



Menurut Dr Vivian jumlah penerbangan dalam seminggu antara Singapura dengan China kini telah merosot kepada 56, daripada 400 sebelum Covid-19.



Encik Qin pula menyifatkan Singapura sebagai rakan kongsi penting bagi China dan cabaran serta perubahan yang sedang berlaku di dunia pada masa ini memerlukan China memberi kepentingan besar ke atas hubungan China-Singapura.



Itu adalah kali pertama kededua menteri itu bertemu sejak Encik Qin, yang sebelum ini berkhidmat sebagai duta China ke Amerika Syarikat, dilantik ke Kementerian Ehwal Luar China pada Disember lalu.



Menyentuh tentang hubungan antara China dengan Asia Tenggara pula, semasa bercakap dengan media Singapura, Dr Vivian berkata isu-isu yang belum dihuraikan antara China dengan negara-negara di Asia Tenggara tidak akan menyekat penglibatan China di rantau ini.



Malah, beliau menjangka penglibatan negara itu di Asia Tenggara akan bertambah di masa depan.



Memberi contoh, beliau merujuk kepada isu di Laut China Selatan di mana rundingan - yang diadakan secara fizikal - bagi kod tatalaku di kawasan itu telah dimulakan.



"Saya tidak berada dalam posisi untuk mengulas mengenai tarikh akhirnya, tetapi saya berharap kemajuan dapat dicapai. Walaupun ia tidak dapat menghuraikan semua perbezaan dan pertikaian di Laut China Selatan, ia boleh memperkukuh keyakinan dan memastikan kestabilan dan keamanan... dan menjadi pemangkin penglibatan ekonomi antara China dengan Asia Tenggara."



Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan tegang antara Amerika Syarikat dengan China yang diburukkan lagi dengan insiden belon intip China di Amerika yang ditembak jatuh, Dr Vivian melahirkan harapan agar pertemuan antara Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken dengan diplomat tertinggi China, Encik Wang Yi di Munich, Jerman pada awal minggu ini boleh membuka laluan bagi memulihkan hubungan itu.



Menyentuh topik peperangan di Ukraine pula, Dr Vivian berkata jika ia dapat dihentikan, hubungan tegang antara Amerika, Russia, Eropah dan China boleh dikurangkan dan dunia boleh mengalihkan tumpuan pada pemulihan pasca Covid-19.



Antara lain, hubungan tegang antara China dengan Eropah pada masa ini disebabkan keengganan China mengutuk Russia kerana mencetus peperangan di Ukraine



Dr Vivian akur, keadaan di Ukraine adalah membimbangkan.



"Keadaannya kelihatan seperti akan menjadi lebih buruk sebelum menjadi lebih baik.



"Justeru, kita harus menanti, melihat dan berharap supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk," katanya.



Dalam kenyataannya, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Dr Vivian turut menemui Pengarah Pejabat Ehwal Luar Taiwan di Majlis Negara, Encik Song Tao, pada 21 Februari.



Dr Vivian telah menekankan lagi dasar 'Satu China' Singapura dan sokongan konsisten bagi hubungan rentas selat aman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >