Pengurus besar Majlis Bandaran Ang Mo Kio disiasat CPIB

PENGURUS besar, yang juga setiausaha, Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) telah diketepikan daripada tugasnya dan sedang disiasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Encik Victor Wong, yang bekerja bagi CPG Facilities Management, ejen pengurusan AMKTC, diminta mengambil cuti oleh syarikatnya selepas majlis bandaran itu menerima aduan mengenai beliau pada September, kata pengerusi majlis bandaran itu, Encik Ang Hin Kee, kepada akhbar The Straits Times pada Khamis (29 Dis).

Beliau berkata kes itu telah dirujuk kepada CPIB dan Encik Wong diketepikan daripada jawatan beliau di majlis bandaran tersebut bulan lalu.

Seorang pemangku pengurus besar, Encik Lim Kian Chiong, dilantik menggantikan beliau, menurut notis yang diterbitkan bulan lalu dalam Warta Pemerintah.

Encik Lim juga seorang pekerja CPG, yang diupah untuk menguruskan estet itu.

Encik Ang, seorang Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, berkata majlis bandaran itu menerima aduan pada September mengenai Encik Wong tentang "cara beliau mengendalikan kontrak dan urus niaga di majlis bandaran itu".

Beliau berkata aduan itu "timbul daripada urusannya yang ada kaitan dengan tingkah laku yang ada kemungkinan memerlukan siasatan oleh CPIB".

"Tidak perlu dinyatakan bahawa majlis bandaran kami sendiri akan memberi segala bantuan yang diperlukan bagi memastikan toleransi sifar terhadap rasuah," kata Encik Ang.

"Ada tanggungjawab pada pihak kontraktor untuk melakukan kerja dengan betul, jika mereka melakukannya dengan tidak betul maka kami akan mengambil tindakan susulan berhubung menggantikan mereka (dan) menghantar kes itu bagi siasatan, memastikan langkah yang perlu diambil."

Encik Ang enggan mendedahkan butiran mengenai kes tersebut, atas alasan siasatan sedang dijalankan, tetapi berkata majlis bandaran itu sentiasa mengingatkan kakitangannya supaya mengisytiharkan sembarang kepentingan berhubung tender yang diberi majlis bandaran itu.

Kakitangan daripada ejen pengurusan juga diingatkan "jika ada pengisytiharan yang harus dibuat, jika ada kepentingan yang harus diisytihar, mereka yang terlibat (mesti) membuat pengisytiharan itu", katanya.

Beliau menambah bahawa AP GRC itu memastikan mereka secara peribadi periksa projek yang dilaksana oleh kontraktor, "jadi bukan 100 peratus dilakukan oleh ejen pengurusan tanpa pengawasan".

AMKTC bertanggungjawab bagi kawasan perumahan di GRC Ang Mo Kio, yang diterajui Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Encik Ang berkata kegiatan di lapangan di majlis bandaran itu tidak terjejas oleh perkembangan ini.

"Kami telah memastikan bahawa orang-orang di lapangan, kakitangan dan pegawai di lapangan terus melakukan kerja mereka dengan betul dengan diselia," katanya.

Encik Wong tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen pada petang Khamis, menurut akhbar itu.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.