Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIDANG PUNCAK ASEAN

Penting capai kata sepakat dalam persekitaran bergolak: PM Lee

Sep 07, 2023 | 05:21 PM



Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong menggesa negara Asean dan kuasa besar untuk terus berusaha mencapai kata sepakat melalui mekanisme serantau seperti Sidang Puncak Asia Timur (EAS), meskipun dalam keadaan pergolakan geopolitik yang menjejas kerjasama antara kuasa besar.

Katanya, rantau Asean kini merasakan kesan ketegangan geopolitik termasuk melalui harga makanan dan kuasa elektrik yang semakin tinggi.

Kesan ketegangan tersebut turut mengehadkan kerjasama dalam bidang teknologi membangun dan kritikal serta mendorong pemisahan rantaian bekalan yang membawa ke arah dunia yang lebih berpecah belah, kata Encik Lee.

“Persekitaran antarabangsa kini terjejas dek pergolakan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi,” kata PM Lee merujuk kepada serangan Russia ke atas Ukraine serta ketegangan antara Amerika Syarikat dan China.

Beliau turut akur akan kesan pergolakan geopolitik terhadap kerjasama EAS.

Namun Encik Lee menambah, tempoh tidak menentu ini memaparkan pentingnya “mencapai kata sepakat dan bersuara secara kolektif dan berwibawa.”

Encik Lee berkata demikian semasa Sidang Puncak Asia Timur yang diadakan pada Khamis, hari terakhir Sidang Puncak Asean ke-43 yang kini berlangsung di Jakarta.

Forum tersebut – yang melibatkan 10 negara anggota Asean serta pemimpin dari Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat – menyediakan wadah di mana pemimpin berdialog dan bekerjasama dalam isu strategik, politik dan ekonomi dengan tujuan mewujudkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di Asia Timur.

Ia merupakan satu-satunya forum serantau yang menghimpunkan pemimpin kuasa besar, kata Encik Lee.

Forum tersebut boleh diperkukuh melalui Harapan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP), yang bertujuan menggalak dialog terbuka dan terangkum serta kerjasama dalam empat bidang: Maritim, ekonomi, keterhubungan dan matlamat pembangunan mampan.

Dalam ucapannya semasa sidang itu, Encik Lee menggesa rakan kongsi EAS untuk memperkukuh usaha mereka melalui kenyataan kolektif EAS yang mengesahkan lagi AOIP.

“Dengan kerjasama AOIP kukuh, anggota EAS boleh membina kepercayaan dan keyakinan untuk menghadapi cabaran bersama,” kata Encik Lee.

Salah satu isu tersebut adalah krisis di Myanmar, dan Encik Lee menggesa anggota EAS untuk menyokong usaha Asean menghentikan keganasan, membantu dalam usaha kemanusiaan serta mendekati semua pihak berkepentingan dalam penguatkuasaan Persetujuan Lima Perkara (5PC).

5PC tersebut merupakan rancangan keamanan utama Asean merangkumi perintah menghentikan keganasan serta menubuhkan dialog membina.

“Saya menggesa semua anggota EAS, untuk memanfaatkan pengaruh mereka untuk memastikan junta Myanmar benar-benar menguatkuasakan 5PC itu,” katanya.

Semasa Sidang Puncak Asean-India, Encik Lee telah menekankan sokongan “penting” India dalam menangani cabaran bersama, seperti keadaan di Myanmar.

“Rakan kongsi luaran dan negara jiran Myanmar, termasuk India, mempunyai peranan penting untuk bekerjasama dengan Asean untuk membantu mencapai perdamaian nasional,” katanya semasa bertemu Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.

Pada masa yang sama Asean dan India juga perlu bekerjasama dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta keselamatan makanan dalam menghadapi “kejutan” masa depan, tambah Encik Lee.

Isu keselamatan makanan turut diketengahkan dalam Sidang Puncak Asean-Australia pada Khamis.

Encik Lee berkata Singapura mengalu-alukan Kenyataan Pemimpin Bersama Asean-Australia mengenai Keselamatan Makanan.

Ia mengesahkan lagi komitmen negara itu dalam melancarkan perdagangan serta aliran produk makanan dan untuk membangunkan sistem agri-makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“Perang Ukraine serta cuaca buruk yang berpunca daripada perubahan iklim telah mengganggu penghasilan pertanian dan rantaian nilai makanan,” kata Encik Lee dalam forum yang telah dihadiri Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese.

Encik Lee turut menambah, sumbangan Australia merupakan faktor penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan Asia Tenggara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >