Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penyiar Zaman Enampuluhan seorang pemurah, suka membantu

Jun 27, 2021 | 05:30 AM



MEMBERI dan membantu orang lain merupakan sebahagian besar kehidupan Mohamed Ismail Abdullah.



Sifat pemurah itulah antara yang diingat anak-anaknya setelah pemergian bapa tercinta.



Allahyarham Mohamed Ismail yang lebih dikenali sebagai M.I.A menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar 3 pagi semalam setelah mengalami komplikasi akibat kegagalan buah pinggang dan barah limfoma.



Isteri dan anak-anak berada di sampingnya pada saat-saat akhir sebelum beliau dijemput Illahi.



Allahyarham Mohamed Ismail, 76 tahun, merupakan mantan penyunting Berita Harian (BH)/Berita Minggu (BM) selama lebih 35 tahun dan pernah menjadi deejay radio yang mengendalikan program Penyanyi Pujaan Minggu Ini (PPMI) pada 1960an hingga 1970an.



Bekas rakan-rakan setugas BH mengenang jasa dan peribadi Allahyarham yang disifat mereka sebagai seorang yang berkebolehan, kreatif dan tidak lokek mengongsi pengetahuannya.



Editor BH/BM, Encik Saat Abdul Rahman, berkata Allahyarham telah memberikan sumbangan besar dalam bidang kewartawanan di sini.



"Allahyarham telah memberi sumbangan besar dalam bidang kewartawanan sewaktu khidmatnya yang panjang di BH sebelum bersara.



"Beliau seorang yang kreatif dan tidak lokek meluangkan masa membimbing wartawan muda, terutama sebagai penyunting.



"Saya juga banyak belajar daripada beliau," kata Encik Saat.



Mantan Editor BH/BM, Encik Zainul Abidin Rasheed berkata Allahyarham banyak memberikan sumbangan kepada akhbar ini semasa zaman penuh cabaran dulu.



"M.I.A datang dari latar belakang dunia hiburan radio dan terkenal dengan idea-idea barunya bagi menarik perhatian anak muda.



"Semasa saya baru ambil alih tugas sebagai Editor BH/BM lewat 70an, kebolehan dan bakat M.I.A menarik saya untuk memberinya tugas menjaga mula-mula dunia hiburan BM dan kemudian BM secara amnya," ujar Encik Zainul.



Mantan penyunting yang pernah bekerja dengan beliau, Cik Nuryati Duriat, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang selalu beri tunjuk ajar kepadanya.



"Orangnya suka beri tunjuk ajar dengan berterus terang tetapi melakukannya dengan cara yang bergurau," kata Cik Nuryati, yang pernah bekerja di bawahnya ketika Allahyarham menjadi Ketua Penyunting di BH.



Sementara itu, dihubungi semalam, anaknya yang kedua, Cik Dilasari Mohamed Ismail, 36 tahun, jelas masih amat terkesan dengan pemergian bapanya itu.



Dengan nada penuh syahdu, Cik Dilasari mengenang jasa dan kehidupan arwah bapanya yang "sentiasa meletakkan keluarganya dahulu sebelum apa-apa perkara lain".



"Ke mana sahaja beliau pergi, mesti beliau akan ingat anak-anak dan cucu-cucunya, tak kiralah sama ada makanan atau pakaian, beliau pasti akan tanya 'nak beli apa-apa?" katanya.



Allahyarham juga seorang yang sangat murah hati dan akan membantu sesiapa yang memerlukan bantuan.



Melihat dan membaca kisah-kisah orang yang memerlukan di Facebook, Allahyarham akan menghubungi mereka dan menanyakan sama ada beliau boleh menderma dan membantu.



"Ada satu kali tu, beliau ternampak kisah seorang lelaki berkerusi roda yang berniat melakukan umrah.



"Bapa saya menghubungi lelaki itu dan menjemputnya ke rumah dan mendermakan beberapa ratus dolar untuk membantunya memenuhi hajatnya itu," cerita Cik Dilasari.



Sifat pemurah dan suka menghulurkan bantuan juga sering diterapkan dalam diri anak-anaknya, tambah beliau, yang masih ingat nasihat arwah bapanya itu untuk selalu menderma dan memberi sedekah.



Selain itu, Allahyarham juga telah berjaya berkongsi cintanya terhadap buku dan membaca kepada kesemua anaknya.



"Di rumahnya, buku ada di mana-mana.



"Beliau juga suka membeli buku untuk kami dan setiap kali beliau menghadiahkan kami buku, beliau akan tulis nota 'Buat anak-anak yang tersayang...'," cerita Cik Dilasari, tidak dapat menahan sebak.



"Sekarang semua anaknya ulat buku!" tambah beliau.



Ditanya apakah yang akan beliau rindui tentang arwah bapanya itu, Cik Dilasari menjawab mesej-mesej WhatsApp nya, antara lain.



"Beliau lah yang paling aktif dalam kumpulan WhatsApp keluarga kami, apa-apa sahaja beliau akan hantar, tak kiralah tentang makanan, politik, selebriti atau video.



"Kadang, bila beliau rindu kami, beliau akan secara tidak langsung beritahu di WhatsApp 'sunyi betul di sini, hanya saya dan isteri'...terus kita faham," kata Cik Dilasari, yang menambah beliau dan adik-beradik lain akan ke rumah ibu bapanya setiap hujung minggu.



Nasi Padang Sabar Menanti merupakan restoran kesukaannya, tetapi hidangan kegemarannya ialah asam pedas ikan air tangan isteri tercinta, Cik Saudah Abdul Karim, 67 tahun.



"Bila ibu saya masak untuknya, beliau akan hantar di WhatsApp 'masakan isteri saya yang tersayang'," ujar Cik Dilasari, tersenyum.



Allahyarham, bapa empat anak, meninggalkan seorang balu, tiga anak dan enam cucu.



Anak sulungnya meninggal dunia pada 2018 akibat komplikasi kesihatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >