Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perjalanan berliku dari ITE ke universiti

Pemerintah terus menggalakkan warga Singapura untuk memburu pembelajaran sepanjang hayat demi kekal relevan dalam ekonomi. Ikuti kisah dua individu ini yang menyahut seruan tersebut - seorang lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang melanjutkan pengajian hingga ke Universiti Nasional Singapura (NUS), manakala seorang lagi pula ialah jururawat yang meraih ijazah sarjana muda pada usia 40-an tahun.
Feb 27, 2023 | 05:30 AM



ADA yang menganggap Institut Pendidikan Teknikal (ITE) merupakan singkatan bagi "Its The End".



Tetapi bagi Encik Muhammad Muzaffar Mustafa, itulah tapak permulaan perjalanan pendidikan beliau dalam bidang kejuruteraan.



Bak kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang.



Daripada ITE, ke Higher Nitec, politeknik dan kemudian ke NUS.



Meskipun terdapat banyak liku-liku yang perlu dilalui, ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat ayah 37 tahun yang mempunyai dua anak kecil berusia lima dan tujuh tahun ini daripada menggenggam segulung ijazah.



Berkongsi perjalanan ceritanya, Encik Muzaffar bermula sebagai pelajar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.



Pada awalnya, beliau mahu melanjutkan pengajian ke Al-Azhar dan oleh kerana jumlah subjek yang perlu dipelajari semasa di peringkat O terlalu banyak, beliau hanya menumpukan perhatian terhadap subjek ukhrawi sahaja.



Namun minatnya mula berubah dan mula lebih cenderung terhadap pengajian sekular.



Namun ternyata langkah itu sudah terlambat dan beliau meraih keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan GCE peringkat 'O'.



Kegagalan dalam subjek utama seperti bahasa Inggeris dan Matematik sekali gus menyukarkan beliau untuk memohon tempat di politeknik.



"Memang agak sedih juga. Tetapi saya cuba duduki semula peperiksaan GCE peringkat 'O', setahun selepas itu apabila saya masih lagi mengajar bidang ukhrawi di sebuah pusat pendidikan agama secara sambilan," katanya.



Malangnya, beliau masih gagal dan seakan tidak terarah.



Beliau kemudian mengambil keputusan bekerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi syarikat makanan segera selepas mendapat lesen motosikal.



Mujur atas nasihat teman sekerja, beliau mencuba nasib untuk memohon tempat di ITE Simei dalam bidang teknologi mekanikal dan permohonannya diterima.



"Saya masih ingat dalam kelas, saya antara yang tertua. Saya berusia 19 tahun manakala rakan sekelas yang lain dalam lingkungan 16 tahun," katanya.



Namun ia tidak mematahkan semangat beliau kerana baginya sebagai seorang bekas pelajar madrasah, budaya di ITE memang cukup berbeza dan yang paling penting lagi, ia membuka matanya kepada pendidikan teknikal.



Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya ke Higher Nitec di ITE Tampines dalam jurusan kejuruteraan teknikal.



Keputusan yang cemerlang juga membolehkannya untuk ke politeknik Ngee Ann dalam jurusan yang sama tetapi terus melangkah ke tahun kedua.



Meskipun beliau mahu bekerja pada hujung minggu untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga, sukar untuk Encik Muzaffar melakukan demikian.



"Kalau semasa di ITE, saya masih mampu peruntukan masa hujung minggu untuk mencari wang pendapatan sendiri dengan bekerja di restoran makanan segera tetapi di politeknik, pengajiannya agak pantas.



"Saya terpaksa menyertai kumpulan belajar pada hujung minggu untuk memastikan saya tidak ketinggalan.



"Ini kerana saya tahu saya bukan jenis yang bijak secara akademik tetapi saya perlu bekerja keras untuk berjaya," ujarnya.



Berkat kerja keras itu, beliau akhirnya menamatkan pengajian dengan markah yang cemerlang dan mampu untuk ke universiti setempat.



Tetapi beliau mengetepikan idea itu dan sebaliknya keluar bekerja untuk menyara kehidupannya dan keluarga.



"Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri sahaja," katanya lagi.



Beliau kemudian mula bekerja di Singapore Power sebelum beralih ke Khidmat Penjara Singapura (SPS) sebagai seorang pegawai banduan untuk mengikut jejak bapanya berkhidmat dalam perkhidmatan awam.



Walau bagaimanapun, hasrat di hati untuk ke menara gading masih terus membara di hatinya.



Beliau mengambil keputusan untuk mengikuti kelas secara sambilan di Universiti Nasional Singapura dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi (Kejuruteraan Mekanikal).



"Para profesor di NUS amat membantu dan sering memberi saya galakan kerana mereka faham bahawa bukan mudah belajar secara sambilan sambil mengimbangi kerja serta komitmen keluarga," ujarnya.



Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.



Selepas lima tahun dan bertahun lamanya menanti untuk menggenggam segulung ijazah, akhirnya segala penat lelahnya berbaloi.



"Saya berharap perjalanan pendidikan saya ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain bahawa meski perjalanan pendidikan mereka jauh, ia tidak bermakna mereka tidak mampu sampai ke destinasi mereka.



"Yang penting, kita perlu bekerja keras dan jika berdepan dengan sebarang cabaran, tetap terus tumpukan kepada matlamat. insya-Allah akhirnya kita pasti berjaya," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >