Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perkahwinan antara kaum naik, trend terserlah di kalangan pasangan Islam

Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian, 2019 juga catat paras terendah pernikahan dalam 9 tahun dan perceraian naik 3.8 peratus
Jul 29, 2020 | 05:30 AM



LEBIH ramai pasangan dari kalangan berlainan kaum mendirikan rumahtangga pada tahun lalu, dengan trend itu terus menyerlah dalam kalangan pasangan Islam.



Kadar perkahwinan antara kaum telah meningkat antara 2009 dengan 2019, dengan sebanyak 22.9 peratus perkahwinan yang didaftar tahun lalu terdiri daripada pasangan berlainan kaum berbanding 18.4 peratus perkahwinan pada 2009.



Ini menurut laporan Statistik mengenai Perkahwinan dan Perceraian, 2019, yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura semalam.



Dalam 5,545 perkahwinan Islam yang didaftarkan tahun lalu, 37 peratus, atau 2,052, daripadanya merupakan perkahwinan antara kaum.



Ini lebih tinggi berbanding 19 peratus daripada 19,889 perkahwinan sivil yang didaftar tahun lalu.



Lelaki Melayu yang berkahwin dengan pasangan daripada kumpulan etnik kategori "lain-lain" - merujuk kepada semua kumpul etnik kecuali Cina, Melayu, India, Serani dan Caucasian - membentuk 29.6 peratus daripada 2,052 perkahwinan Islam antara kaum.



Bagi wanita Melayu yang mendirikan rumah tangga dengan pasangan daripada kumpulan etnik "lain-lain" pula, ia adalah sebanyak 27.4 peratus.



Secara keseluruhannya, pasangan yang mendirikan rumah tangga tahun lalu mencatatkan paras terendah dalam sembilan tahun, dengan sebanyak 25,434 perkahwinan sivil dan Islam didaftarkan.



Jumlah itu 5.8 peratus lebih rendah berbanding 27,007 perkahwinan yang didaftarkan pada tahun sebelumnya.



Ia juga merupakan perangkaan yang terendah sejak 2010 apabila 24,363 perkahwinan didaftarkan.



Sebanyak 19,889 perkahwinan sivil didaftarkan tahun lalu berbanding 21,308 perkahwinan pada 2018.



Jumlah pasangan Islam yang mendirikan rumah tangga pada 2019 juga lebih rendah, dengan 5,545 perkahwinan Islam didaftarkan tahun lalu berbanding 5,699 pada tahun sebelumnya.



Usia median bagi perkahwinan pertama bagi kedua-dua pengantin lelaki dan wanita pula meningkat antara 2009 dengan 2019 - daripada 29.8 tahun kepada 30.4 tahun untuk lelaki dan daripada 27.5 tahun kepada 28.8 tahun untuk wanita.



Sementara itu, sebanyak 7,623 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan perkahwinan pada tahun lalu - satu kenaikan 3.8 peratus daripada 7,344 pembubaran perkahwinan pada tahun sebelumnya.



Peningkatan dalam perceraian itu sebahagian besarnya disebabkan jumlah pasangan bukan Islam yang bercerai, dengan sebanyak 5,633 pasangan berpisah tahun lalu berbanding 5,308 pasangan pada tahun sebelumnya.



Perceraian dalam kalangan pasangan Islam pula meningkat sedikit daripada 1,682 pada 2018 kepada 1,697 pada tahun lalu.



Usia median semasa perceraian meningkat sepanjang sedekad lalu, daripada 40.5 tahun pada 2009 kepada 43.4 tahun pada 2019 untuk lelaki yang bercerai.



Bagi wanita pula, ia meningkat dari 36.9 tahun kepada 39.3 tahun.



Tempoh perkahwinan median yang berakhir dalam perceraian pada tahun lalu ialah 10.4 tahun, iaitu lebih lama berbanding 10.1 tahun pada 2009.



Pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga antara lima dengan sembilan tahun membentuk perkongsian terbesar - 29 peratus - dalam semua perceraian pada 2019.



Dalam pada itu, kadar kelahiran di Singapura meningkat tahun lalu, dengan sebanyak 39,279 kelahiran bayi didaftarkan.



Ini merupakan peningkatan 0.6 peratus daripada 2018, menurut Laporan mengenai Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2019.



Perangkaan itu membalikkan trend kemerosotan yang mencapai paras terendah dalam lapan tahun pada 2018.



Usia median kelahiran hidup penduduk bagi wanita yang melahirkan anak pertama ialah 30.8 tahun pada 2019, naik sedikit daripada 30.6 tahun pada 2018.



Usia median pada 2009 ialah 29.7 tahun.



Pada masa yang sama, jumlah kematian meningkat 0.8 peratus daripada 21,282 pada 2018 kepada 21,446 pada tahun lalu, menurut laporan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) itu.



Penduduk yang semakin menua bererti jumlah kematian terus meningkat sejak sekurang-kurangnya 2010, di mana terdapat 17,610 kematian.



Lebih ramai lelaki meninggal dunia tahun lalu berbanding wanita. Sebilangan besar lelaki meninggal dunia akibat penyakit jantung dan tekanan darah tinggi serta kemalangan manakala wanita pula mencatatkan bilangan lebih tinggi dalam penyakit ginjal dan gangguan pada sistem kencing, dan penyakit serebrovaskular (berkaitan otak dan saluran darahnya).




PERKAHWINAN, PERCERAIAN, KELAHIRAN & KEMATIAN 2019



Perkahwinan



- 25,434 perkahwinan didaftar tahun lalu, termasuk 19,889 perkahwinan sivil dan 5,545 perkahwinan Islam. Jumlah ini 5.8 peratus lebih rendah berbanding 27,007 perkahwinan pada 2018.



- Usia median bagi perkahwinan pertama ialah 30.4 tahun untuk lelaki dan 28.8 tahun untuk wanita.



- Perkahwinan antara kaum membentuk 22.9 peratus daripada kesemua perkahwinan.



Perceraian



- 7,623 perkahwinan berakhir dalam perceraian dan pembatalan perkahwinan tahun lalu. Ini peningkatan 3.8 peratus daripada 7,344 pembubaran perkahwinan pada 2018. Perceraian dalam kalangan pasangan Islam naik sedikit daripada 1,682 pada 2018 kepada 1,697 pada 2019.



- Usia median semasa perceraian pada tahun lalu ialah 43.4 tahun untuk lelaki dan 39.3 tahun untuk wanita.



- Tempoh perkahwinan median yang berakhir dalam perceraian pada tahun lalu ialah 10.4 tahun.



Kelahiran & Kematian



- 39,279 kelahiran didaftar tahun lalu, naik 0.6 peratus daripada 2018.



- Usia median kelahiran hidup penduduk bagi wanita yang melahirkan anak pertama ialah 30.8 tahun pada 2019.



- 21,446 kematian didaftarkan tahun lalu, naik 0.8 peratus daripada 2018.



- Sebilangan besar lelaki meninggal dunia akibat penyakit jantung dan tekanan darah tinggi serta kemalangan. Wanita pula mencatatkan bilangan lebih tinggi dalam penyakit ginjal dan gangguan pada sistem kencing, dan penyakit serebrovaskular (berkaitan otak dan saluran darahnya)



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >