Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Persediaan menyeluruh pastikan bazar Geylang Serai jalan lancar, penuhi cita rasa

Kakitangan WGS mula rangka strategi terbaik untuk manfaat peniaga, masyarakat sejak tahun lalu
May 17, 2019 | 05:30 AM



PERSEDIAAN menyeluruh telah dilakukan para kakitangan Wisma Geylang Serai (WGS) bagi memastikan bazar Geylang Serai tahun ini bukan sahaja berjalan dengan lancar tetapi juga mewujudkan suasana yang menyeronokkan bagi pengunjung selain menggamit suasana kampung yang memang sinonim dengan masyarakat Melayu.



Menyusuli maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak tahun lalu, kakitangan WGS mula memikirkan apakah strategi terbaik untuk menjadikan bazar Geylang Serai lebih baik daripada tahun-tahun sudah.



Mayor CDC South East yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata WGS telah memikirkan konsep sesuai yang mengetengahkan budaya Melayu selain memanfaatkan ruang yang ada bagi menyemarakkan semangat kemasyarakatan.



"Jika kita imbas kembali zaman kampung dahulu, kita sering duduk berbuka bersama keluarga. Justeru, ini yang kita ketengahkan di bazar Geylang Serai kali ini dengan adanya lebih banyak ruang tempat duduk bagi keluarga dan sahabat-handai berbuka bersama.



"Bukan itu sahaja, kita juga mahu mengetengahkan budaya Melayu dengan hiasannya, pakaiannya dan juga makanannya agar mereka yang bukan Melayu yang datang ke bazar ini, akan dapat menikmati keindahan suasana sekitaran ini," ujarnya.



Pengurus besar WGS, Encik Mulyadi Ahmad menjelaskan bazar Geylang Serai tahun ini memberikan lebih banyak tumpuan terhadap produk tradisional dengan 60 peratus gerai makanan menawarkan makanan tradisional sementara 80 peratus gerai bukan makanan menawarkan produk berkaitan Hari Raya.



"Bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat seperti warga muda, kami juga terus menawarkan makanan dan produk moden lagi hipster.



"Misalnya ada juga makanan dan produk gaya hidup kontemporari yang wajar dimuatnaik ke Instagram," katanya.



Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi, Ketua Pemasaran dan Perhubungan, Encik Erwin Yuhanis Yunahar, berkata selain menguruskan dua pengendali bazar - Orange Travel dan EnNiche Events - pihak WGS juga perlu bekerjasama dengan pelbagai agensi pemerintah seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).



Ini tidak termasuk perlu menguruskan isu pekerja haram, gerai haram yang dibuka tanpa kebenaran, masalah kebersihan, serta pensijilan halal.



"WGS telah mendapatkan para pegawai keselamatan kami sendiri yang akan membantu untuk menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bazar.



"Tambahan itu, pasukan WGS juga bekerja syif dari 1 tengahari sehingga 10:30 malam setiap hari berjalan sambil melakukan pemeriksaan.



"Kami juga bekerjasama rapat degan para pengendali untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar," ujarnya.



Di samping itu, pelbagai program juga telah disediakan bagi menyemarakkan lagi suasana di sekitar WGS.



Selain ceramah motivasi, program kemasyarakatan dan sesi memasak dan tayangan filem, terdapat juga persembahan daripada artis-artis terkenal, sama ada tempatan atau antarabangsa, yang akan membuat kemunculan bagi menghiburkan pengunjung setiap hujung minggu.



Misalnya, penyanyi mapan R Ismail bersama dua anaknya Iskandar Ismail (Eiss) dan Elfee Ismail akan membuat persembahan di WGS hari ini.



Esok pula para pengunjung boleh menjangkakan kemunculan artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Dato Adi Putra, Siti Nordiana dan Raihan.



Ustazah Liyana Musfirah dan selebriti OkLetsGo juga akan terlibat sama.



"Kami telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dan pasukan kami telah memberikan usaha 110 peratus demi memastikan semua yang telah kami rancangkan berjalan dengan sebaik-baiknya," tambah Encik Erwin lagi.




"Jika kita imbas kembali zaman kampung dahulu, kita sering duduk berbuka bersama keluarga. Justeru, ini yang kita ketengahkan di bazar Geylang Serai kali ini dengan adanya lebih banyak ruang tempat duduk bagi keluarga dan sahabat-handai berbuka bersama."
- Mayor CDC South East yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman




SENARAI PROGRAM DI WGS



17 Mei : Malam Muzik Pop



- Penyanyi mapan R Ismail bersama dua anaknya Iskandar Ismail (Eiss) dan Elfee Ismail membuat persembahan



- Persembahan penyanyi Adeep Nahar



18 Mei : Berita @ WGS



- Kemunculan dan persembahan oleh artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Dato Adi Putra, Siti Nordiana dan Raihan.



- Ustazah Liyana Musfirah akan mengadakan ceramah motivasi pada 3 petang



- Selebriti OkLetsGo juga akan terlibat sama



- Berita @ WGS akan menyiarkan berita secara langsung



2 Jun : Ketupathon



- Anyam ketupat demi amal



- Konsert amal oleh Orkestra Melayu Singapura yang menampilkan kumpulan Al-Jawaher, Jatt Ali (Black Dog Bone), Junainah M Amin dan Roslan Shah



  • Selebriti lain yang akan menyinari hujung minggu anda di WGS sehingga 4 Jun nanti termasuk:

- Sheila Rusly, Amar Baharin dan Amyra Rosli, Ustaz Tarmizi Wahid, Halil Chik, The Pinholes dan Khairil Johari Johar




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >