Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Persiap pasangan muda sebelum bernikah

Sep 16, 2018 | 05:30 AM



PASANGAN Islam yang salah seorang atau kedua-duanya berusia bawah 21 tahun dan ingin berumah tangga mulai 1 Oktober ini wajib melalui persiapan program perkahwinan.



Ini termasuk sesi perundingan pra-pernikahan dan Bengkel Pendidikan Perkahwinan.



Ini bertujuan agar pasangan lebih memahami persoalan dalam membina rumah tangga sebelum mengambil keputusan besar yang memberi kesan pada masa depan mereka.



Demikian dinyatakan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim ketika menjawab soalan Berita Minggu (BM) mengenai undang-undang untuk pasangan muda bawah usia yang mahu bernikah.



Selain wajib menyertai sesi persiapan perkahwinan itu, pasangan muda juga perlu mendapatkan persetujuan kedua-dua orang tua atau waris sebelum mendaftarkan pernikahan.



Buat masa kini, hanya kebenaran wali diperlukan jika pasangan perempuan berusia di bawah 21 tahun.



Undang-undang baru itu diumumkan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) berikutan perubahan terbaru di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla) yang diluluskan Ogos tahun lalu.



Menurut Dr Faishal Ibrahim:



"Pasangan muda (bawah 21 tahun) mungkin berdepan dengan pelbagai isu apabila mereka kahwin muda. Kami telah membuat perubahan pada Amla untuk menyokong pasangan dengan lebih baik lagi agar mereka dapat menghadapi cabaran kehidupan berumah tangga."



Program yang bakal diwajibkan itu terdiri daripada perundingan pra-pernikahan dan Bengkel Pendidikan Perkahwinan.



Perundingan diadakan agar pasangan lebih memahami dan mengutarakan sebarang kebimbangan atau persoalan tentang membina sebuah keluarga.



Dr Faishal berkata penglibatan ibu bapa dalam sesi sedemikian amat digalakkan.



Bengkel Pendidikan Perkahwinan pula bertujuan memastikan pasangan mempunyai kemahiran dan pengetahuan penting bagi membina perkahwinan serta keluarga yang utuh.



Menerusi bengkel-bengkel tersebut, pasangan akan diajar mengenai pengurusan kewangan rumah tangga, komunikasi dan penyelesaian masalah.



Program persiapan perkahwinan itu dianjurkan Hab Inspirasi di bawah naungan Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) yang bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk melakarkan program tersebut.



Menjawab pertanyaan BM, Pengarah Pusat Hub Perkahwinan AMP, Cik Zaleha Ahmad, berkata walaupun pasangan muda menghadapi cabaran yang serupa dengan pasangan yang lebih berusia, namun berdasarkan faktor usia dan kurang pengalaman dan nalar sumber, pasangan sedemikian memerlukan lebih sokongan untuk mengharungi cabaran itu.



Ini termasuk sokongan kewangan, menyesuaikan diri antara satu dengan lain dan hubungan dengan mentua.



Menurut Cik Zaleha, fokus utama Inspirasi ialah menyediakan sesi intervensi (campur tangan) menerusi program persiapan perkahwinan dan program sokongan untuk mereka yang berusia bawah 21 tahun. Program itu juga dibuka kepada calon pengantin lelaki berusia antara 21-24 tahun.



Berkongsi pengalaman beliau mengendalikan kes pasangan bawah usia yang mahu berumah tangga, jurulatih dan Pembimbing Perhubungan EQ bertauliah, Cik Hamidah Bahashwan, berkata adalah lebih baik ibu bapa memberi tumpuan kepada mempersiapkan anak membina keluarga yang lebih mantap dari segi psikologi dan kewangan di samping memberi sokongan yang diperlukan daripada bertindak mengambil jalan singkat seperti menikahkan anak secara terburu-buru.



Cik Hamidah menambah sering kali beliau berhadapan dengan bakal pengantin muda yang menghadapi tekanan untuk bernikah kerana desakan orang tua.



"Dalam soal bernikah pada usia muda, berdasarkan pengalaman, biasanya ibu bapa yang mendesak anak untuk berkahwin, terutama bagi kes mengandung luar nikah atau kerana anak sudah hidup serumah dengan pasangannya.



"Kita boleh faham perasan malu yang ditanggung ibu bapa. Mereka mahu membetulkan keadaan... mahu mencari penyelesaian.



"Tetapi memaksa anak berkahwin pada usia muda sedangkan mereka belum siap secara mental dan kewangan akan menambah tekanan anak dan kemungkinan besar akan meruntuhkan perkahwinan itu dalam tempoh yang singkat," ujar beliau.



Berdasarkan kes-kes yang pernah ditangani, kata Cik Hamidah, perkahwinan yang melibatkan pasangan muda tidak semestinya datang daripada keluarga pincang, bahkan ada yang datang daripada keluarga "baik-baik" dan langsung tidak menyangka akan menghadapi situasi anak terlanjur dalam hubungan percintaan.



Menurut data Jabatan Statistik, jumlah perkahwinan antara pasangan Muslim yang berusia bawah 21 tahun berkurangan dari tahun ke tahun. Namun, jumlah tersebut masih tinggi berbanding bangsa-bangsa lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >