Persiapan Ramadan bantu pekerja asing di asrama, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

SELAMAT BERPUASA

Persiapan Ramadan bantu pekerja asing di asrama

Individu, firma dan badan amal belikan makanan tradisional bagi sahur dan buka puasa
Apr 24, 2020 | 05:30 AM

SETIAP kali menjelang Ramadan, makanan seperti muri (sejenis nasi) dan chanachur (kerepek pedas) merupakan makanan yang sering dihidangkan semasa berbuka puasa bagi pekerja asing dari Bangladesh dan India.

Makanan itu didambakan mereka tetapi tidak dapat diperolehi akibat terkurung dalam asrama disebabkan penularan Covid-19.

Oleh itu, mereka meminta jasa baik relawan seperti rakyat Singapura, Encik Kabir Hossain, untuk membelikan makanan itu bagi mereka.

Pengarah syarikat Brooklyn Stainless Steel itu menerima ratusan mesej di media sosialnya dari para pekerja asing sejak beliau meletakkan video mengenai usahanya membekalkan makanan untuk bulan Ramadan bagi mereka.

Beliau merupakan antara individu, firma dan badan amal yang melakukan kerja-kerja amal ini bagi membantu golongan pekerja asing yang telah berkorban masa dan tenaga demi membangunkan negara ini.

Syarikat Encik Kabir telah memperuntukkan $10,000 untuk membeli bahan makanan seperti kurma, tembikai, air sirap dan makanan tradisional yang digemari mereka yang dapat dimanfaatkan sekitar 1,500 pekerja asing.

"Biasanya, dalam bulan Ramadan, kami akan memberi makanan kepada pekerja asing kami. Tetapi, mereka juga meminta jika kami dapat membantu rakan-rakan mereka yang tinggal di asrama.

"Mereka dambakan makanan seperti muri dan chanachur yang menjadi kemestian semasa berbuka puasa.

"Jadi, saya gerakkan projek ini dan membeli makanan itu untuk dihantar kepada mereka,'' ujar Encik Kabir, 39 tahun.

Bahkan, kawan-kawannya yang mengetahui niat ikhlas beliau turut membantu dengan menderma atau menghantar makanan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Profesional India Muslim (Singapura) (IM.Prof), Encik Raj Mohamed berkata badan itu sedang mengusahakan makanan bagi iftar dan sahur untuk 10 malam terakhir Ramadan bagi anggota keluarga dan pekerja pas-S yang tidak mendapat sebarang bantuan dari pihak-pihak lain.

"Kami ingin mengenal pasti golongan yang tidak mendapat bantuan dengan menyediakan makanan sahur dan iftar bagi mereka,'' ujarnya.

Selain makanan, beliau berkata kekuatan mental juga penting bagi membolehkan pekerja asing menjalani ibadah Ramadan lebih-lebih dalam keadaan penularan Covid-19.

"Kami sedang bekerjasama dengan artis India tempatan untuk membuat video bagi membaca sajak-sajak terkemuka dari India dan Bangladesh untuk menyemarakkan semangat mereka. Kami percaya kekuatan mental juga penting dalam keadaan ini,'' kata Encik Raj.

IM.Prof telah menerbitkan video dalam bahasa Bengali, Urdu dan Punjabi di Facebook untuk memupuk kesedaran mengenai keadaan wabak Covid-19 kepada pekerja asing yang bertugas di sini.

Usaha-usaha badan, syarikat korporat dan perseorangan itu melengkapi inisiatif menyeluruh dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan pemerintah dalam memberikan sokongan kepada pekerja asing dalam bulan Ramadan.

Muis aktif bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mengedarkan maklumat penting seperti waktu solat, Fatwa, irsyad serta Buku Panduan Ramadan Muis yang sudah diterjemahkan dalam Bahasa Bengali.

Garis panduan Ramadan dan nasihat perubatan semasa menjalani ibadah puasa juga disediakan dalam bahasa tersebut.

Muis juga sedang bekerjasama dengan Masjid Assyakirin untuk menghasilkan video pendek yang memaparkan imam yang bertutur dalam bahasa Bengali.

Imam itu menyampaikan mesej keagamaan serta mesej bagi memberikan kata-kata semangat agar mereka dapat menjalani kehidupan keagamaan dalam tempoh ini.

Dalam pada itu, Muis juga telah menyediakan sumber dalam bahasa Bengali di Saluran SalamSG TV, yang merupakan saluran YouTube khas hasil kerjasama Muis, Berita Harian (BH) dan masjid.

Ia menyediakan video dalam talian bagi masyarakat Muslim semasa Ramadan.

Mesej oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir khusus untuk pekerja asing yang disampaikan pada 13 April juga mempunyai terjemahan dalam bahasa Bengali.


"Mereka dambakan makanan seperti muri dan chanachur yang menjadi kemestian semasa berbuka puasa. Jadi, saya gerakkan projek ini dan membeli makanan itu untuk dihantar kepada mereka.''
- Pengarah syarikat Brooklyn Stainless Steel, Encik Kabir Hossain


"Kami sedang bekerjasama dengan artis India tempatan untuk membuat video bagi membaca sajak-sajak terkemuka dari India dan Bangladesh untuk menyemarakkan semangat mereka. Kami percaya kekuatan mental juga penting dalam keadaan ini."
- Presiden Persatuan Profesional India Muslim (Singapura) (IM.Prof), Encik Raj Mohamed

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map