Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pesta Filem Geylang Serai singkap kenangan manis kejiranan bersejarah, papar kisah inspirasi dan ukhuwah

Oct 22, 2021 | 12:47 AM



DETIK  berharga dan kenangan yang payah dilupakan mengenai kawasan bersejarah Geylang Serai diabadikan menerusi beberapa keratan filem yang disajikan sempena Pesta Filem Geylang Serai (GSFF).



GSFF dianjurkan Wisma Geylang Serai (WGS) buat julung-julung kalinya sedang masyarakat menanti perkembangan dan perubahan pada kejiranan ini.



Matlamat pesta ini diadakan adalah bagi mendekati masyarakat menerusi filem, pengimejan dan keratan video kawasan tersebut hasil penceritaan lensa pembikin filem berbakat.



Sebanyak 12 video  diterima menyusuli panggilan terbuka bagi menghasilkan filem lima minit pada 15 Mac lalu.



Kriteria utama yang ditetapkan adalah setiap filem mestilah berlatarbelakangkan landskap Geylang Serai yang berwarna-warni.



Satu penyampaian hadiah diadakan pada Khamis malam (21 Oktober) di Festive Arts Theatre@Our Tampines Hub, dengan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), hadir selaku tetamu terhormat.



Penilaian filem dibuat pengarah Sanif Olek, konsultan media, Cik Sabariah Ramilan dan pelakon serta pengarah, Rafaat Hamzah.



Peserta dinilai dari segi penceritaan, kandungan, nilai penerbitan dan sandaran pada tema.



Semua filem juga harus menyisipkan dialog dengan frasa unik ‘Lorong Engku Aman’ (jalan terkenal di Geylang Serai) atau Pak Dollah Beca.



Samad Hari Raya terbitan Encik Shafiq Affandi dan arahan serta hasil tulisan Encik Aidil Muhaimin Ramlee dinobatkan sebagai juara GSFF.



Ia mengisahkan tentang Samad yang tidak dapat pulang beraya kerana gajinya dipotong selepas kehilangan projek seorang klien.



Dalam semangat memberi Ramadan, rakan sekerjanya Danial menghadiahkan baju kurung baru buat Samad dan seisi keluarganya.



No.242 Lorong Engku Aman yang diterbitkan, diarah dan ditulis skripnya oleh Encik Husin Saaban pula berada di tempat kedua.



Ia mengisahkan tentang bekas penduduk 242 Lorong Engku Aman, Joe, yang mempunyai demensia dan menanti beca untuk pulang ke rumah.



Salleh, bekas rakan sekolahnya dari Telok Kurau terlihat Joe dan menyedari ada perkara yang tidak kena.



Joe tidak memiliki telefon bimbitnya atau kad pengenalannya bersamanya. Salleh kemudian menghubungi sepupunya Leha yang kebetulan adalah penduduk di Lorong Engku Aman dan mengenali kakak Joe.



Pertemuan antara Joe dengan Salleh mengembalikan kenangan silam yang Joe tetap ingati walaupun mempunyai demensia.



Mengulas tentang dua filem ini, Dr Maliki berkata:



“Saya benar-benar seronok dan terhibur dengan boneka bernama Samad yang ditampilkan dalam filem Samad Hari Raya malah kagum dengan jalan cerita yang sederhana tetapi bermakna yang menyebar pesanan tentang memberi dalam bulan Ramadan serta persahabatan.



“No. 242 Lorong Engku Aman dan Budak VI (satu lagi penyertaan) pula mengambil laluan tradisional pembikinan filem dan menyentuh tentang mengimbau kenangan silam dan topik seperti demensia serta stigma terhadap golongan yang lewat berkembang dalam pendidikan dan berada di aliran Mono serta lulus daripada  institusi kejuruan.”



Menurut Dr Maliki lagi, aspirasi GSFF adalah menyelongkar kerja seni terbaik dan menyokong minda kreatif.



“Hari ini, kita memberi penghargaan terhadap mereka yang tampil ke depan dan menunjukkan kreativiti mereka dalam usaha merakam Kawasan Kebudayaan Geylang Serai dalam imejan bergerak,” katanya lagi.



Encik Aidil dan Encik Husin kemudian dikomisyen bagi menghasilkan dua filem ringkas sepanjang 30 minit bagi majlis pada Khamis.



Nyatu (campuran ‘Nyawa’ dan ‘Satu’) oleh Encik Aidil mengisahkan tentang dua sahabat zaman kanak-kanak yang terpisah dan disatukan semula apabila salah seorang daripada mereka terdengar lagu yang digubah sahabatnya di radio.



Hijrah oleh Encik Husin pula kisah taubat seorang anak yang tidak dapat membuat perubahan dalam dirinya hingga ke saat akhir.



Mengulas kemenangannya, Encik Aidil, 30 tahun, yang bertindak sebagai pengarah buat kali pertama, berkata:



"Saya sudah lapan tahun terlibat dalam persada perfileman di Singapura, bermula daripada tugas sebagai jurusuara dan kemudian penolong pengarah bagi beberapa drama Suria.



"Bagi saya, Allah telah mengatur segalanya dengan baik sebab idea arah filem sendiri sudah tersimpan dalam hati sejak tiga tahun lalu. Sayangnya, pelbagai hambatan dan ujian datang bertubi-tubi dari tahun demi tahun, bermula dengan teman yang rasa filem itu ada kekurangan lantas tidak boleh dihasilkan hinggalah ke tempoh bapa saya sakit di hospital dan akhirnya pandemik Covid-19 yang menjejas penggambaran tahun lalu.



"Sememangnya apabila kita perlu menanti lama untuk capai cita-cita kita, tentunya ada sebab dan ganjaran lebih baik yang disediakan buat kita."



Encik Husin, 67 tahun, pula berkata:



"Kemenangan ini manis kerana orang lama seperti saya dapat mengkaji sejarah lama Geylang Serai, dengan adanya Lorong Engku Aman dan  Pak Dollah Beca yang kerap dikemukakan dalam perbualan kita tentang daerah ini. Dalam keterbatasan lima minit itu, saya cuba muatkan cerita tentang individu dengan demensia. Ia tidak semudah mana.



"Namun, apabila diberi peluang buat filem komisyen, saya ingin berkongsi rezeki dan jana peluang pekerjaan buat anak-anak muda kreatif. Di situlah saya rasa manfaat adanya Pesta Filem Geylang Serai ini. Kita berkongsi ilmu dan sama-sama himpunkan anak seni kita dengan setiap seorang ada kepakarannya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >