Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Mandat kukuh tentukan keberkesanan parti pemerintah

pap
Nov 06, 2022 | 07:34 PM



SEBUAH pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkesan, dan pada masa yang sama lebih ramai Anggota Parlimen (AP) pembangkang. 



Inilah kemahuan ramai warga yang menurut Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong adalah sesuatu yang tidak boleh dicapai.



Menyifatkan ini sebagai cabaran politik negara yang unik Encik Lee berkata kededua kemahuan rakyat itu tidak boleh dipenuhi kerana mandat yang kukuh adalah penting untuk pemerintah mentadbir negara. 



Encik Lee, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkata setelah sekian lama berkuasa, warga Singapura suka dengan pemerintahan PAP yang telah memerintah dengan baik, selain sedar tiada parti lain yang mampu menjadi pemerintah yang lebih baik. 



“Justeru, mereka mengundi pembangkang, sambil menjangkakan sepenuhnya bahawa PAP akan tetap kembali memerintah dan boleh berfungsi dengan berkesan tidak kira sama ada ia menerima sokongan yang kukuh atau lemah di pilihan raya,” ujarnya, semasa berucap di Persidangan dan Majlis Anugerah PAP hari ini, yang diadakan sekali setiap dua tahun.



Beliau menambah: 



“Malangnya, kededuanya tidak boleh diperolehi dalam masa yang sama. Sama ada pemerintah mendapat mandat yang kukuh atau lemah dari pengundi adalah sesuatu yang akan mencetuskan perbezaan.



“Dengan mandat yang kukuh, apabila pemerintah perlu bertindak dan membuat keputusan secara utuh – sama ada berkaitan isu dalam negara atau luar negara – semua akan tahu bahawa pemerintah melakukannya dengan sokongan rakyat. Dan orang ramai akan tahu bahawa Singapura bersatu padu, mengatasi masalah sebagai satu rakyat, dan maju ke hadapan bersama.”



Mesej Perdana Menteri itu turut ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya di acara yang sama. 



Menurut Encik Wong, ramai yang kini menjangka PAP akan terus memerintah, tidak kira siapa yang mereka undi pada pilihan raya. 



“Hakikatnya, tiada jaminan sedemikian... setiap pilihan raya mulai sekarang ialah mengenai parti mana yang akan membentuk pemerintah,” tegasnya.



Sementara itu, di sidang yang dihadiri lebih 3,000 anggota PAP itu, Encik Lee juga menerangkan mandat yang kukuh akan memberi pemerintah keyakinan dan sokongan untuk membuat keputusan sukar dan mengemudi Singapura dengan selamat bagi mengharungi cabaran. 



Beliau merujuk kepada bagaimana pemerintah memperkenalkan langkah-langkah ketat seperti pemutus rantaian jangkitan dan mewajibkan pemakaian pelitup muka, selain kawalan sempadan dan rejim vaksinasi yang ketat kerana ia yakin mempunyai kepercayaan penuh rakyat. 



Menurutnya, sekiranya PAP memenangi pilihan raya 2020 dengan kemenangan kecil, ia akan tetap membentuk pemerintah dan mentadbir negara sebaik mungkin.

Namun, ia akan kehilangan ramai AP dan Menteri yang berkebolehan, dan pasukan kepimpinannya akan lemah.



PAP memenangi pilihan raya 2020 dengan lebih 61 peratus undi. 



“Singapura akan memerangi Covid-19 secara tidak bersatu dan semangat yang lemah. Ia lebih sukar untuk pemerintah membuat keputusan sukar, atau bagi warga Singapura memberi respons secara bersatu padu,” ujarnya, sambil menambah kedudukan Singapura secara global juga akan terjejas sekiranya responsnya pada pandemik dilihat sebagai lemah.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >