Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee, Naib Presiden Kamala Harris umum bidang kerjasama baru

Tumpuan pada keselamatan siber, perubahan iklim dan ekonomi sedang kededua negara mengesahkan hubungan 'kukuh, bertahan lama'
Aug 24, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA dan Amerika Syarikat semalam mengumumkan bidang kerjasama baru dalam keselamatan siber, perubahan iklim dan ekonomi, sambil mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh dan bertahan lama.



Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris mengumumkan kerjasama itu dalam satu sidang media bersama selepas mengadakan satu pertemuan di Istana semalam.



Dalam sidang itu, Encik Lee berkata mereka telah mengadakan perbincangan yang "amat baik", dan mengalu-alukan kerjasama baru itu sedang kededua negara menyambut 55 tahun sejak hubungan diplomatik dijalin.



"Saya juga telah melahirkan penghargaan kami terhadap peranan aktif Amerika dalam Asia-Pasifik, khususnya di Asia Tenggara.



"Dan juga sokongan bersama kami terhadap aturan stabil dan berdasarkan peraturan di rantau ini, berlandaskan undang-undang antarabangsa yang membolehkan semua negara untuk bekerjasama dan bersaing secara aman dengan satu sama lain, serta maju bersama," kata Encik Lee.



Cik Harris pula berkata pihaknya berharap untuk memperkukuh kerjasama dengan Singapura, terutama sekali dalam era dunia baru yang terjejas oleh pandemik, krisis iklim dan ancaman keselamatan siber.



"Kami berada di Singapura hari ini untuk menekankan dan mengesahkan hubungan yang lama bertahan dengan negara ini serta di rantau ini, dan untuk memperkukuh wawasan bersama bagi rantau Indo-Pasifik dan mengesahkan kepentingan bersama terhadap keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara," kata Cik Harris.



Semalam, kedua-dua negara mengumumkan penyelesaian tiga memorandum persefahaman (MOU) antara agensi keselamatan siber dan kewangan untuk mengatasi ancaman keselamatan siber.



Kededua negara juga akan berganding bahu dengan lebih erat untuk menangani krisis perubahan iklim dari sudut pentadbiran sekitaran, pembangunan mampan serta huraian rendah karbon.



Dari segi ekonomi pula, kededua negara sedang berusaha untuk melancarkan inisiatif baru di bawah Kerjasama Amerika Syarikat-Singapura bagi Pertumbuhan dan Inovasi.



Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada ekonomi digital, teknologi tenaga dan sekitaran, perkilangan lanjutan dan penjagaan kesihatan.



Singapura dan Amerika juga akan melancarkan dialog peringkat tinggi untuk membincangkan cara memperkukuh daya tahan rantai bekalan.



Berkenaan isu keselamatan pula, Encik Lee semalam berkata Singapura akan menawarkan Pesawat Tangki dan Pengangkut Berbilang Fungsi A330 (A330 MRTT) Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bagi menyokong usaha Amerika untuk memindah keluar pelarian dari Afghanistan.



Selain itu, kededua pihak juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam meningkatkan kesediaan rantau ini serta memperkukuh keupayaan untuk mencegah, mengesah dan mengatasi Covid-19 serta ancaman kesihatan lain pada masa depan.



Dalam rangka lawatannya, Cik Harris, yang merupakan naib presiden wanita Amerika yang pertama, juga telah menemui Presiden Halimah Yacob di Istana.



Rombongan Cik Harris yang terdiri daripada pegawai kanan Amerika turut menemui rombongan Singapura termasuk beberapa anggota Kabinet.



Di Istana, Cik Harris turut menghadiri satu upacara penamaan orkid sempena nama beliau.



Semalam, beliau juga mengunjungi RSS Singapura - Pangkalan Tentera Laut Changi dalam satu lawatan yang dihos oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan, Encik Zaqy Mohamad.



Cik Harris diberi taklimat mengenai usaha pangkalan itu dalam menyokong kehadiran dan usaha Amerika di rantau ini, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan semalam.



Beliau dijadual berangkat ke Vietnam hari ini.



LAPORAN LANJUT:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >