Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: SG perlu bersatu padu harungi dunia yang kian bergolak

Amanat Hari Kebangsaan tekankan pelbagai cabaran geopolitik, ekonomi dunia; Penting bagi SG buat perancangan jangka panjang
Aug 09, 2022 | 05:30 AM



PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menggalak warga Singapura agar kekal bersatu padu kerana ia adalah kunci penakatan negara ini dan satu-satunya cara menangani pelbagai cabaran dalam dunia yang semakin bergolak.



Dalam Amanat Hari Kebangsaannya yang disampaikan semalam, Encik Lee berkata laluan Singapura ke hadapan tidak mudah dengan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi seperti hubungan Amerika Syarikat dan China yang semakin tegang, pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dan harga makanan dan bekalan tenaga yang meningkat.



Selain isu-isu yang harus ditangani segera itu, Encik Lee berkata adalah penting untuk Singapura membuat rancangan jangka masa panjang, bukan sahaja untuk lima atau 10 tahun mendatang, tetapi untuk 30 atau 50 tahun dan seterusnya.



Encik Lee berkata, untuk mengharungi persekitaran geopolitik yang mencabar, Singapura mesti bergantung kepada pertahanan mutlaknya, dan memastikan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Home Team kuat dan berwibawa.



"Kita juga mesti bersiap dan bersedia secara psikologi bahawa dalam dekad-dekad mendatang, rantau kita mungkin tidak seaman dan sestabil seperti sejauh ini," katanya.



Bagi mengatasi cabaran ekonomi, Encik Lee berkata pemerintah sedang berusaha sedaya upaya untuk bantu warga menangani isu kenaikan harga dan sudah pun mengumumkan pelbagai pakej bantuan, yang disasarkan kepada golongan yang paling memerlukan.



Pemerintah juga mengetatkan dasar pertukaran wang asing dan mengukuhkan dolar Singapura untuk mengurangkan kesan inflasi yang diimport.



Beliau berkata pemerintah juga bersedia melipat gandakan usaha untuk membantu rakyat Singapura jika keadaan bertambah buruk, tetapi hakikatnya keadaan ekonomi antarabangsa telah berubah.



"Besar kemungkinan dunia tidak akan kembali ke tahap inflasi dan kadar faedah rendah seperti yang kita nikmati sejak beberapa dekad lalu.



"Respons Singapura yang lebih terperinci terhadap peralihan ini ialah mentransformasi industri kita, mempertingkat kemahiran dan menambah daya penghasilan kita.



"Barulah gaji kita boleh naik lebih tinggi daripada kadar inflasi, dan rakyat Singapura boleh menikmati nilai pendapatan sebenar yang lebih tinggi, tahun demi tahun," kata Encik Lee.



Namun beliau menekankan, selain daripada isu-isu yang harus ditangani segera, Singapura juga harus melihat pada jangka masa panjang.



Malah ini adalah cara Singapura, iaitu sentiasa berani mengejar impian, menetapkan sasaran bagi tahap selanjutnya, dan mencari huraian yang lebih baik serta peluang-peluang baru.



Beliau, yang berucap dari Taman Di Persisiran, memberi contoh bagaimana pembangunan taman itu, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini, mengambil masa berdekad lamanya.



Setelah ia dibuka pada 2012, taman itu terus menjalani peningkatan, dan tidak lama lagi kerja pembinaan akan dimulakan di Taman Persisiran Timur di mana Taman Tugu Pengasas akan dibina.



Encik Lee berkata pemerintah telah mula mengorak langkah untuk merancang bagi dekad-dekad mendatang, dengan pelancaran Semakan Pelan Jangka Panjang oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk mendapatkan pandangan orang ramai bagi mencari idea demi mereka semula bandar dan negara untuk masa depan, dan pelancaran usaha Melakar Hala Tuju Singapura oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukan generasi keempat (4G) bagi melibatkan warga demi memperbaharui kontrak sosial dan melakar hala tuju bersama.



"Janganlah kita berhenti membayangkan dan membina Singapura yang kita idamkan, walaupun sedang kita mengukuhkan benteng pertahanan untuk menghadapi sebarang musibah," kata Encik Lee.



"Covid-19 bukanlah krisis terakhir bagi Singapura. Lebih banyak ribut dan badai menanti di hadapan. Namun jangan gentar. Selagi kita kekal bersatu padu, dan kuatkan azam, kita akan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara kita, membina ekonomi yang lebih makmur, dan membentuk sebuah masyarakat inklusif yang boleh kita banggakan untuk tahun-tahun mendatang," tambahnya.



Amanat Hari Kebangsaan itu telah disampaikan dalam bahasa Melayu oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




"Janganlah kita berhenti membayangkan dan membina Singapura yang kita idamkan, walaupun sedang kita mengukuhkan benteng pertahanan untuk menghadapi sebarang musibah. Covid-19 bukanlah krisis terakhir bagi Singapura. Lebih banyak ribut dan badai menanti di hadapan. Namun jangan gentar. Selagi kita kekal bersatu padu, dan kuatkan azam, kita akan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara kita, membina ekonomi yang lebih makmur, dan membentuk sebuah masyarakat inklusif yang boleh kita banggakan untuk tahun-tahun mendatang."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >