Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SISTEM MERITOKRASI S’PURA: PANDANGAN

Politeknik tidak patut dianggap laluan pendidikan 'kelas kedua'

May 06, 2023 | 05:30 AM



KETIKA saya tamat peperiksaan peringkat 'O' sekitar lewat 90-an, memilih laluan pendidikan politeknik tidak begitu lazim untuk rakan sebaya saya.



Sebagai pelajar daripada sekolah menengah berautonomi, jangkaannya ialah pelajar itu harus cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dan kemudian secara semula jadi, memilih laluan pendidikan peringkat 'A'.



Namun, saya fikir saya adalah antara segelintir pelajar aliran khas di sekolah saya, yang memilih untuk ke politeknik.



Keputusan itu tentunya membuat ramai (termasuk guru) mengangkat kening sebab pendidikan di politeknik tidak begitu dipandang 'tinggi' dan dianggap laluan pendidikan 'kelas kedua'.



Namun, tanggapan serupa itu tidak begitu saya endahkan. Meskipun layak melanjutkan pelajaran di peringkat 'A', saya kenal diri sendiri dan tahu saya punyai kekuatan dan bakat yang khusus.



Lagipun, saya sudah bertekad untuk sertai industri media, apabila melangkah ke alam pekerjaan.



Jadi, mengapa perlu saya buang masa dan belajar mata pelajaran bersifat akademik sedangkan saya boleh menggunakan masa itu untuk mempelajari kemahiran yang berguna dan lebih relevan untuk mencapai impian menjadi wartawan penyiaran atau penulis ataupun penggiat teater (memang ada juga simpan cita-cita ini!)?



Keyakinan 'level' tinggi seperti itu memang tidak lazim dalam diri seorang remaja yang berusia 16 tahun atau 17 tahun.



Tetapi ia adalah hasil didikan ibu bapa, yang amat menyokong dan memahami minat dan aspirasi saya.



Sebenarnya pun, ayah saya terutamanya, lebih suka menggalak saya memilih laluan lebih akademik, yakni peringkat 'A'.



Sebagai seorang guru dan penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), tentunya beliau melihat banyak kelebihan dalam laluan itu.



Mujur, minda beliau dan ibu sudah mula terbuka untuk menerima pendidikan politeknik sebagai laluan pendidikan yang boleh janjikan masa depan yang cerah.



Mereka turut gembira dan berbangga apabila saya mendapat tempat dalam kursus pilihan pertama - program diploma dalam perhubungan massa di Politeknik Ngee Ann.



Merenung kembali perjalanan pendidikan saya daripada peringkat diploma hingga universiti, saya merasa puas membuat pilihan mengikut gerak hati, minat dan cita-cita.



Hakikatnya, saya seorang yang realis dan praktikal. Saya lebih suka kepada kemahiran; belajar kemahiran atau pengetahuan yang boleh diamalkan dalam kehidupan harian.



Dan ramai daripada anda mungkin sama seperti saya.



Lantaran itu, saya gembira melihat pengajian bersifat vokasional atau latihan seperti politeknik dan ITE, telah banyak berkembang berbanding zaman persekolahan saya mahupun mereka yang terdahulu.



Kini bukan sahaja lebih banyak pilihan laluan bukan akademik, malah ia tidak lagi dianggap 'pendidikan kelas kedua' bagi mereka yang 'tidak begitu pandai'.



Justeru, seruan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini agar kita memikirkan semula erti meritokrasi dan kejayaan, yang dianggap sempit sekarang, memang bertepatan waktu.



Antara lain, takrifan meritokrasi yang meliputi bidang bukan akademik dan mengiktiraf mereka yang berkecimpung dan pakar dalam bidang berkemahiran.



Jika ini berlaku, saya fikir majikan atau syarikat mempunyai peranan penting.



Mereka boleh menyumbang dengan melaksanakan amalan pengambilan pekerja lebih inklusif yang mengutamakan kemahiran dan potensi serta ciri seperti kepimpinan dan boleh bekerja berpasukan.



Semasa meninjau pandangannya, Penolong Profesor Kelompok Perniagaan, Komunikasi dan Reka Bentuk Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Aaron Ng Yi Kai, berkata majikan boleh juga tidak terlalu membezakan gaji permulaan pekerja berdasarkan kelayakan akademik dan mengaitkan kenaikan pangkat dan bonus dengan hasil yang dijangkakan.



Ini bermakna mereka yang memilih untuk meningkatkan kelayakan akademik akan melakukan demikian untuk menimba kemahiran yang diperlukan serta pengetahuan relevan yang boleh mempertingkatkan keupayaan mereka demi mencapai hasil dijangkakan oleh majikan.



Apa yang penting, dalam kita memikirkan semula erti kejayaan dan meritokrasi di sini, semua pihak harus berganding bahu untuk menyediakan peluang pekerjaan dan melanjutkan pembelajaran, kepada semua masyarakat Singapura, yang berbilang kemahiran, kepakaran dan latar belakang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >