Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden baru Muis dilantik mulai 7 Ogos

Editor BH Saat Abdul Rahman ambil alih daripada Alami Musa yang undur diri
Jul 31, 2021 | 05:30 AM



PRESIDEN Halimah Yacob telah melantik Editor Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM), Encik Saat Abdul Rahman, sebagai Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang baru bermula 7 Ogos ini.



Encik Saat, 60 tahun, akan mengambil alih jawatan daripada Haji Mohammad Alami Musa, 65 tahun, yang mengundur diri.



Beliau akan menjadi Presiden Muis yang kesembilan.



Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan berkata pelantikan baru itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan pucuk kepimpinan Muis.



Menurut MCCY, Presiden Muis merupakan pelantikan bukan eksekutif dan mempengerusikan Majlis Tertinggi Muis.



Mengulas pelantikan tersebut, Presiden Halimah berkata pengalaman Encik Saat sebagai editor BH/BM sejak 2012 meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk memimpin Majlis Tertinggi Muis.



"Beliau mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat dan memahami cabaran, keperluan sosioagama dan aspirasi mereka," kata Presiden Halimah semalam.



Encik Saat mengekalkan jawatannya sebagai Editor BH/BM.



Beliau berkata Muis merupakan institusi penting dalam masyarakat.



"Di bawah Haji Alami Musa, Muis telah berkembang dan mencatatkan kemajuan besar dalam banyak bidang termasuk masjid, madrasah dan pembangunan asatizah.



"Satu lagi bidang penting adalah untuk memupuk Identiti Muslim Singapura (SMI), dan ini merupakan sesuatu yang perlu terus diusahakan," kata Encik Saat.



Beliau juga berharap untuk bekerjasama dengan Muis dalam meneruskan usaha itu dan memperdalam usaha mendekati masyarakat dan pihak berkepentingan.



Haji Alami dilantik sebagai Presiden Muis pada September 2003 sebelum meneruskan khidmat sebagai Presiden bukan eksekutif mulai 2013 setelah jawatan Ketua Eksekutif dibentuk.



MCCY berkata sumbangan Haji Alami merangkumi pelbagai bidang termasuk menerajui pembentukan SMI, memperkukuh pendidikan agama dan pembangunan asatizah serta penubuhan Sistem Bersama Madrasah (JMS).



Beliau juga berperanan memperkukuh pentadbiran masjid dan Muis serta mengeratkan hubungan Muis dengan pertubuhan berbilang agama menerusi Pusat Harmoni.



"Saya bersyukur diberi peluang menyumbang kepada pembangunan sosioagama masyarakat Muslim dalam konteks sekular dan berbilang agama di Singapura," ujar Haji Alami.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah mengiktiraf kepimpinan Haji Alami sepanjang 18 tahun lalu.



"Di bawah bimbingan beliau, Muis berjaya memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura walaupun terus dicabar dengan pelbagai tuntutan yang berubah-ubah mengikut arus perubahan di Singapura dan juga dunia," kata beliau.



Mengenai pelantikan Encik Saat, Encik Masagos berkata: "Pengalaman luas Encik Saat dalam media dan masyarakat akan memperkukuh keupayaan Majlis Tertinggi Muis sedang Muis meningkatkan perhubungan dan usaha pendekatannya untuk memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat dalam sekitaran yang kian mencabar dan rumit."



Encik Saat merupakan Editor BH kedua dilantik sebagai Presiden Muis.



Sebelum ini, mantan Editor BH yang juga mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, pernah menjadi Presiden Muis dari 1992 hingga 1995.




EDITOR BH PUNYAI HUBUNGAN RAPAT DENGAN MASYARAKAT, FAHAMI ASPIRASI MEREKA'



Encik Saat, editor Berita Harian sejak 2012, dikenali di kalangan masyarakat Islam. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat dan memahami cabaran, keperluan sosioagama dan aspirasi mereka. Dengan pengalaman yang mendalam, beliau orang yang sesuai untuk memimpin Majlis Tertinggi Muis dan untuk menyuntik pandangan serta dorongan baru kepada tugas majlis itu.
- Presiden Halimah Yacob mengenai pelantikan Encik Saat Abdul Rahman sebagai Presiden baru Muis.



LAPORAN LANJUT :






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >