Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program bantu tingkat keyakinan ibu tunggal untuk terus maju

Jul 16, 2021 | 05:30 AM



TIDAK mudah bagi ibu tunggal atau ibu daripada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pekerjaan dan terus bekerja, kata Presiden Halimah Yacob.



Ini kerana mereka seringkali menghadapi hambatan, misalnya mereka adalah penjaga utama bagi anak-anak ataupun mempunyai masalah keyakinan.



Beliau berkata demikian semasa berucap di kunjungan ke acara Daughters of Tomorrow (DOT) semalam.



DOT adalah institusi bertaraf awam (IPC) yang memberi peluang kepada wanita kurang bernasib baik untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil untuk membolehkan keluarga mereka menuju ke arah mobiliti sosial.



Selain itu, DOT juga menyediakan latihan pekerjaan, sokongan menjaga anak, perkhidmatan menghubungkan agensi berkaitan bersama relawan dan sumber masyarakat yang dapat membantu golongan wanita mencapai tahap seterusnya.



Di acara itu, Puan Halimah mengetahui lebih lanjut mengenai program DOT yang berbeza seperti program Kurikulum Keyakinan dan program Broaden Horizons.



Program-program itu dibiayai oleh Dana Pengupayaan Sepanjang Hayat (ELF) yang ditubuhkan oleh Cabaran Presiden.



"Bagi program Kurikulum Keyakinan, lebih 200 wanita telah lulus program tersebut dan sekitar 60 peratus terus tetap bekerja selama lebih enam bulan.



"Ini adalah pencapaian yang besar dan program Broaden Horizons dapat membantu wanita untuk melihat kebolehan mereka untuk memperbaiki diri melalui tempoh program pelatih," kata Puan Halimah.



Peserta menjalani siri bengkel dan sesi latihan selama lapan minggu untuk membina semula keyakinan mereka untuk kembali bekerja serta membina rangkaian sokongan bersama wanita lain dengan latar belakang yang serupa.



"Dalam program sebegini, sokongan majikan juga sangat penting. Kita dapat melihat majikan telah bekerjasama dengan DOT untuk memberikan mereka peluang.



"Yang penting adalah membuka ruang untuk memberikan peluang kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang mencabar," tambah Puan Halimah.



Antara peserta yang telah lulus program Kurikulum Keyakinan pada 2016 adalah Cik Rosilah Abdul Hamid, 38 tahun.



"Melalui program Kurikulum Keyakinan, saya dapat pulihkan keyakinan untuk kembali bekerja. Sebagai seorang ibu tunggal, agak sukar untuk menguruskan anak-anak serta menguruskan diri sebelum dapat bekerja.



"Saya tidak sangka saya dapat kembali bekerja dan sangat berterima kasih dengan sokongan dan bantuan yang disediakan program ini," kata ibu tunggal kepada dua anak yang kini berusia 16 dan 13 tahun.



Cik Rosilah baru sahaja memperbaharui lesennya untuk bekerja dalam sektor keselamatan, dan beliau mempunyai hasrat untuk bekerja di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.



Menambah, Puan Halimah berkata salah satu objektif penting Cabaran Presiden ialah untuk memperkasakan wanita dan, pada masa yang sama, anak-anak dapat membesar dengan keadaan yang lebih baik.



"Ini adalah sesuatu yang amat menggalakkan bagi Singapura dan masyarakat secara keseluruhan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >