Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program latihan amali angkasa lepas buat pelajar pengajian tinggi

Feb 18, 2023 | 05:30 AM



PELAJAR pengajian tinggi yang berminat membina satelit atau bekerja dalam bidang teknologi geospatial berpeluang menceburi bidang itu menerusi satu program latihan amali baru yang dilancarkan oleh sektor angkasa lepas di sini.



Program Latihan Amali Angkasa Lepas baru itu akan mendedahkan mereka yang berminat, yang berusia 17 tahun dan ke atas kepada syarikat yang berkecimpung dalam bidang angkasa lepas.



Ia bermatlamat membangunkan bakat dalam industri itu dan membolehkan pelajar meraih kemahiran relevan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).



Program itu dilancar pada Khamis, di forum pendidikan Stem semasa Konvensyen Teknologi dan Angkasa Lepas Global (GSTC).



Ia diterajui cabang pendidikan pertubuhan tempatan Singapore Space and Technology Limited (SSTL), Space Faculty dan Pejabat Angkasa Singapura, Pejabat Teknologi Angkasa dan Industri (OSTIn).



Mulai sekarang hingga 2026, sekurang-kurangnya 95 tempat latihan amali akan disediakan di firma-firma teknologi angkasa lepas tempatan dan di luar negara.



Syarikat yang menawarkan latihan amali itu termasuk Penguasa Pengangkutan Darat (SLA) dan GalaxEye Space, sebuah perusahaan rintis berpangkalan di Bangalore yang bermatlamat membina sebuah satelit berbilang pemantau komersial bagi pengawasan bumi.



Tempoh latihan amali itu akan berlangsung dalam tiga hingga enam minggu, dan pelajar boleh memohon untuk menyertainya semasa tempoh cuti sekolah atau sementara menunggu kemasukan universiti, kata Cik Lynette Tan, Ketua Eksekutif SSTL dan Space Faculty.



Tiada had umur ditetapkan bagi pemohon, tambahnya, dan mereka yang ingin menukar kerja pada peringkat pertengahan kerjaya mereka, boleh berbuat demikian di laman Space Faculty.



Pemohon akan dinilai oleh pertubuhan itu sebelum mereka disaran untuk menyertai syarikat yang sesuai, yang kemudian akan menemu duga mereka.



Sektor angkasa lepas Singapura terdiri daripada sekitar 2,000 karyawan dan penyelidik serta lebih 60 syarikat tempatan dan antarabangsa.



Cik Tan berkata, terdapat permintaan untuk mendedahkan pelajar kepada peluang pekerjaan berkaitan bidang Stem seawal mungkin, sedang permintaan bagi bakat dalam bidang itu meningkat dan semakin berkembang.



Tambahan pula, program latihan amali itu tidak terhad kepada pelajar Matematik dan Kejuruteraan sahaja, katanya.



"Tumpuan kami adalah memastikan pemohon yang berminat meraih kemahiran baru. Kami ingin mendapatkan pelajar daripada pelbagai latar belakang, daripada Sains, Biologi... Anda tidak semestinya seorang pelajar kejuruteraan aeroangkasa untuk menyertai sektor ini," katanya.



"Ada sebilangan pelajar yang mungkin mengambil mata pelajaran Sejarah, namun mereka mungkin berminat dalam bidang angkasa lepas. Mereka juga merupakan pelajar yang peka terhadap pengetahuan asas Sains dan Matematik. Ini bermakna, meskipun mereka telah memilih untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai major mereka, ini tidak bermakna mereka tidak boleh meneroka pilihan lain."



Divisyen geomatik dan tinjauan SLA, yang menerajui penggunaan teknologi angkasa lepas agensi itu, sebelum ini telah mengambil lima pelatih amali pelajar maktab rendah yang telah memenangi satu pertandingan sistem satelit navigasi global (GNSS) anjuran SLA dan Space Faculty.



Dr Victor Khoo, pengarah divisyen itu berkata, sementara calon Program Latihan Amali Angkasa Lepas itu tidak perlu mempunyai latar belakang dalam bidang Stem, mereka seharusnya mempunyai kefahaman asas terhadap bidang GNSS dan teknologi geospatial.



Misalnya, sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang digunakan dalam aplikasi peta digital dan sistem navigasi adalah sejenis GNSS.



SLA mempunyai satu kumpulan stesen rujukan GNSS di serata pulau yang menawarkan data penentu kedudukan tepat yang penting bagi pengurusan tanah, melakar peta dan mengendali kenderaan tanpa pemandu.



Berucap semasa forum pendidikan Stem itu pada Khamis, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata bidang Stem telah mencipta dan memacukan pelbagai inovasi.



"Disiplin Stem, memupuk daya pemikiran kritikal, keinginan untuk membuat ciptaan dan pemikiran secara analisa, dan ia melatih pelajar kami untuk memikir secara mendalam, menjangkakan masalah, dan membuat eksperimen dengan pelbagai idea, dan sentiasa berusaha untuk membangunkan huraian inovatif terhadap cabaran yang ada," katanya. - ST.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >