Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Program sosial Masjid Wak Tanjong bantu perkasa masyarakat

Feb 26, 2023 | 05:30 AM



PENGAGIHAN makanan kepada jemaah masjid atau golongan memerlukan ialah satu perkara yang sering dilihat di masjid serata Singapura, khususnya pada Jumaat.



Namun, di Masjid Wak Tanjong yang terletak di Paya Lebar, pengagihan makanan itu dilakukan dengan misi sosial tambahan.



Di bawah daya usaha 'Infaq Friday' (Infak Jumaat), orang ramai menaja makanan yang dibeli daripada perniagaan dari rumah (HBB) yang memerlukan, sekali gus memberi peluang bagi mereka meraih pendapatan.



Daya usaha itu dimulakan selepas masjid itu dibuka semula setelah ditutup semasa pandemik Covid-19.



Sejak Jun 2022, masjid itu bekerjasama dengan AMP Singapura untuk menyokong HBB yang lulus daripada Program Perniagaan Mikro AMP.



Sejauh ini, sebanyak lapan HBB telah meraih manfaat daripada daya usaha Infak Jumaat, dengan pendapatan keseluruhan lebih $65,000 dijana dalam masa setahun di bawah skim itu.



HBB ini terdiri daripada keluarga memerlukan seperti ibu tunggal atau mereka yang menjaga anggota keluarga yang sakit.



Setiap Jumaat, daya usaha itu menyediakan makanan untuk sekitar 300 hingga 800 orang, yang diagihkan kepada jemaah masjid serta penduduk memerlukan di MacPherson dan Jalan Besar.



Eksekutif Kanan Projek Khas Masjid Wak Tanjong, Ustazah Arina Adom, berkata daya usaha itu sebahagian daripada usaha masjid tersebut untuk mencipta ekosistem yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak - daripada jemaah hingga penderma dan usahawan.



"Daripada membeli makanan daripada syarikat katering, kami beli daripada HBB.



"Jadi, yang mendapat manfaat bukan sahaja jemaah yang menerima makanan itu, bahkan perniagaan dari rumah yang memerlukan, serta penaja yang dapat melihat kesan daripada sumbangan mereka," ujar Ustazah Arina.



Antara cabaran yang dihadapi dalam usaha tersebut ialah HBB yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bagi memenuhi tempahan yang besar, katanya.



Pengurus, Program dan Kerjasama AMP Singapura, Cik Fauziah Rahman, berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak masjid yang memberi peluang kepada HBB meraih pendapatan tetap bagi tempoh tertentu menerusi skim Infak Jumaat itu.



"Tujuan kerjasama bersama Masjid Wak Tanjong adalah selain memberi ruang yang selamat untuk HBB daripada Program Perniagaan Mikro AMP menyiapkan pesanan setiap Jumaat, ia juga untuk memberikan mereka peluang meraih hasil kewangan yang tetap selama enam bulan," ujar Cik Fauziah.



Daya usaha Infak Jumaat merupakan sebahagian daripada program ImpactHive Masjid Wak Tanjong, yang menyediakan satu wadah untuk menyebar kebaikan dan meningkatkan kesannya kepada pelbagai pihak daripada jemaah, perniagaan hingga asatizah.



Dua lagi daya usaha di bawah program itu ialah Community Pantry (Pantri Masyarakat) dan program Quranbit.



Diletak di tempat masuk Masjid Wak Tanjong, Pantri Masyarakat itu menggunakan sumbangan masyarakat untuk menyediakan barangan runcit kepada golongan memerlukan, dengan barangan itu dibeli daripada peruncit kecil.



Benefisiari boleh memilih apa yang diperlukan daripada pantri tersebut.



Sejak November 2021, lebih 300 dulang telur (10 biji), lebih 300 botol susu (satu liter) dan lebih 300 paket beras (satu kilogram) telah diagihkan.



Ditaja oleh orang ramai, program Quranbit pula menyediakan wadah bagi pelajar belajar membaca Al-Quran secara mudah dan percuma.



Pelajar boleh menghantar klip audio rakaman bacaan mereka - sepanjang satu hingga tiga minit - untuk disemak asatizah.



Sejak dipelopori masjid itu pada April 2020, program tersebut telah menarik lebih 10,000 pelajar, dan menggajikan lebih 300 asatizah. Program itu mempunyai sekitar 2,500 sesi pengajian setiap hari.



Sedang kebanyakan pelajar berasal dari Singapura, ada juga pelajar yang berasal dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain serta negara di Afrika.



Orang ramai boleh menaja hidangan untuk Infak Jumaat, barangan makanan untuk Pantri Masyarakat, ataupun kelas Al-Quran di laman https://impactbit.waktanjong.org




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >