Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN RAPAT HARI KEBANGSAAN

Proses bincang benar jururawat pakai tudung ambil kira pelbagai aspek

Sep 01, 2021 | 05:30 AM



PROSES pertimbangan dan konsultasi sebelum membenarkan jururawat Muslim wanita dalam sektor jagaan awam mengenakan tudung apabila memakai seragam, mungkin telah mengambil masa yang lama tetapi proses itu memang diperlukan.



Ini dinyatakan Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, yang berkata proses itu telah mengambil kira pelbagai aspek.



Ini memandangkan perubahan dasar itu tidak hanya menjejas masyarakat Muslim sahaja, bahkan masyarakat am yang lebih meluas.



Bercakap mengenai isu tudung kepada media semalam, Cik Rahayu menekankan semula ucapan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2021 bahawa dasar untuk tidak membenarkan tudung bukan sesuatu yang sudah ditetapkan.



Namun, selepas melihat interaksi antara kaum yang kini lebih selesa antara satu sama lain, pemerintah akhirnya yakin dan membuat perubahan.



"Tahun demi tahun, perbincangan mengenai isu tudung ini semakin berbeza.



"Kaum lain kini lebih selesa berinteraksi dengan wanita Muslim bertudung, dan memahami hak mereka.



"Lagi pula, dalam sektor kesihatan sendiri, kami telah berbincang dengan lebih 9,000 orang untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam. Semua ini memakan masa," ujarnya.



Beliau menambah, perbincangan juga masih lagi berterusan untuk mengambil kira kehidupan masyarakat majmuk di Singapura yang mempunyai pelbagai pendirian dan pandangan yang berbeza.



Dalam ucapannya di NDR tahun ini, Encik Lee berkata, pemerintah telah mendapati bahawa interaksi antara kaum semakin selesa dengan yang bukan Muslim kini lebih terbiasa melihat seorang wanita Muslim yang bertudung.



Wanita Muslim bertudung juga dilihat selesa berinteraksi dengan mereka daripada agama lain, kata Encik Lee.



Khususnya di hospital, pemerintah mendapati hubungan yang dijalin antara kakitangan yang tidak mengenakan seragam tetapi mengenakan tudung, dengan pesakit dan rakan sekerja lain, adalah baik.



Encik Lee turut menambah warga muda Singapura juga lebih terbuka untuk menerima perbezaan kaum dan agama.



Bagaimanapun, Cik Rahayu menasihati masyarakat agar terus peka terhadap keadaan sekeliling untuk memastikan keharmonian kaum terus terpelihara.



"Dalam kita mahu memperjuangkan hak kita, kita juga perlu peka terhadap pandangan yang berbeza-beza di sekeliling kita dan lebih penting lagi, agar bersifat sensitif tentang bagaimana kita dapat terus melindungi keharmonian sosial," ujarnya.



Menurutnya, adalah penting untuk memastikan rakyat selesa, menerima dan memahami akan perubahan dasar ini.



Beliau turut mengalu-alukan usaha yang dijalankan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, bersama-sama asatizah lain, dalam membimbing masyarakat supaya mengutamakan keharmonian.



Masyarakat Muslim juga, kata Cik Rahayu, perlu akur dan menghargai usaha yang telah pun dijalankan selama ini.



Cik Rahayu juga berkata pelaksanaan tentang perubahan dasar bagi seragam tudung masih dalam perbincangan.



Semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata jururawat yang memilih untuk memakainya boleh berbuat demikian mulai November dalam kebanyakan keadaan, tetapi mungkin tidak dibenarkan berbuat demikian jika terdapat risiko kepada keselamatan mereka, seperti apabila pesakit menunjukkan sikap yang tidak boleh diduga.



Berhubung gesaan beberapa pihak agar pemakaian tudung dapat diluaskan kepada sektor lain, Cik Rahayu menukil ucapan Encik Lee, yang berkata tudung tidak dibenarkan bagi murid-murid sekolah dan para pegawai perkhidmatan awam beruniform termasuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta polis atas sebab-sebab yang sangat genting.



"Justeru kita perlu menghormati pandangan tersebut dan diharapkan masyarakat akan terus progresif dan bersikap matang dalam perbincangan sedemikian," kata Cik Rahayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >