Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Proses vaksinasi semua di sini mungkin hingga akhir 2021

Faktor seperti bekalan vaksin, kerelaan penduduk untuk tampil dapatkan vaksinasi antara penentu: Janil Puthucheary
Feb 02, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk memvaksinasi semua penduduk menjelang suku ketiga tahun ini, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.



Namun, proses memvaksinasi semua penduduk mungkin berlarutan sehingga akhir tahun bergantung pada kombinasi beberapa faktor, beliau menambah.



Faktor ini termasuk bekalan vaksin serta kerelaan warga Singapura dan penduduk jangka panjang di sini untuk mendapatkan vaksinasi.



"Keupayaan kami untuk memenuhi perkara tersebut (memvaksinasi penduduk) ada pada masa ini dan akan ada (di masa depan)," kata Dr Janil.



"Namun kami berharap anggota Dewan ini dapat membantu dengan usaha perhubungan dan mendekati penduduk untuk melaksanakan perkara ini."



Dr Janil berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) pembangkang Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) yang ingin tahu bila pemvaksinan Covid-19 di sini dapat diselesaikan.



Disember lalu, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata Singapura akan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi bagi semua orang di Singapura menjelang suku ketiga tahun ini, jika semuanya berjalan mengikut rancangan.



Sehingga 31 Januari, lebih 155,000 orang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, kata Dr Janil.



Lebih banyak pusat vaksinasi yang mampu menampung sehingga 2,000 vaksinasi sehari akan ditubuhkan di kawasan kejiranan, dengan semua polikinik juga mula menawarkan vaksinasi Covid- 19 sejak semalam.



Dr Janil berkata Singapura berkeupayaan memberi vaksin kepada semua, tetapi sebahagian anggota awam perlu menjalani pemeriksaan perubatan lebih lanjut atau harus terus diyakinkan untuk mendapatkan vaksin sebagai langkah yang wajar.



Menjawab soalan dari Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) mengenai jika langkah Kesatuan Eropah (EU) memperketat eksport vaksin yang dihasilkan di benua itu menjejas program pemvaksinan di Singapura, Dr Janil berkata tiada rancangan untuk mengubah sasaran pemvaksinan negara.



Beliau menambah, butiran rancangan Singapura adalah sulit.



Sidang Parlimen diteruskan hari ini dengan perbahasan dijangka tertumpu pada usaha mengehad penggunaan data jejak kontak dalam siasatan jenayah kepada jenayah serius seperti pembunuhan dan pengganasan.



Semalam, rang undang-undang tersebut diperkenalkan di Parlimen oleh Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menggunakan Sijil Tindakan Segera atau Certificate of Urgency, membolehkan undang-undang baru diperkenal, dibincang dan diluluskan dalam satu sidang Parlimen.



Dr Balakrishnan, yang juga bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak, memperkenalkan rang itu bagi pihak Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.



Dalam kenyataannya semalam, Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) berkata pemerintah memperkenalkan rang itu dalam keadaan yang luar biasa.



"Agar jejak kontak boleh dilakukan secara berkesan, kami terus memerlukan sokongan kuat dan penggunaan aktif aplikasi TraceTogether atau tokennya untuk memastikan kita sendiri dan Singapura selamat," kata SNDGO.



"Undang-undang ini bertujuan menghapuskan sebarang keraguan mengenai penggunaan data jejak kontak peribadi."



Bulan, lalu, pendedahan bahawa data yang dikumpulkan melalui sistem jejak kontak pemerintah Trace Together dan SafeEntry, serta BluePass yang dibangunkan sektor privet, boleh digunakan polis atau agensi penguatkuasaan lain dalam siasatan jenayah mencetus keprihatinan awam dan perbualan rancak di dalam talian.



Pemerintah pada tahun lalu berkata data jejak kontak yang dikumpulkan adalah hanya bagi tujuan menangani pandemik.



Ekoran itu, SNDGO pada bulan lalu berkata rang akan diperkenalkan di Parlimen untuk merasmikan jaminan lebih awal tersebut dan jika diperlukan bagi siasatan jenayah, data jejak kontak yang dikumpulkan hanya boleh digunakan bagi tujuh jenayah serius yang ditetapkan.



Dalam pada itu, satu rang undang-undang yang bertujuan mempertingkat undang-undang Singapura supaya selaras dengan pembangunan teknologi dan perubahan undang-undang perdagangan sedunia juga diluluskan Parlimen semalam.



Memulakan perbahasan bagi rang tersebut, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S Iswaran berkata rang itu antara lain bertujuan memenuhi keperluan digital penduduk dan perniagaan, sementara memperkenalkan ciri-ciri perlindungan yang mencukupi.



Berkenaan perubahan iklim pula, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan Pelan Hijau Singapura 2030 - satu usaha berbilang kementerian yang menetapkan sasaran konkrit bagi mempertingkat daya tahan negara.



Beliau membuat pengumuman itu semasa memberi respons kepada usul khas mengenai perubahan iklim yang diperkenalkan enam AP.




SEKILAS VAKSINASI



  • Lebih 155,000 orang terima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga 31 Januari.

  • Sekitar 40 pusat vaksinasi akan ditubuhkan di tempat ramai penduduk, berdekatan laluan pengangkutan awam. Setiap pusat boleh jalankan vaksinasi bagi sekitar 2,000 orang sehari.

  • Semua 20 poliklinik menawarkan vaksinasi Covid-19 mulai semalam.

  • Sekitar 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) menawarkan vaksinasi Covid-19.

  • Empat kes penerima vaksin Covid-19 yang mengalami alahan teruk telah dirawat dan semuanya telah pulih. Mereka berusia antara 20-an dengan 30-an tahun dan tiga mempunyai sejarah alahan.

  • Pekerja asing juga akan terima vaksin, dengan mereka yang tinggal di dormitori sekali gus berisiko lebih tinggi, akan diberikan vaksin itu dahulu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >