Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KISAH PELAJAR MADRASAH ALJUNIED

Raih gred terbaik IB walau ibu bapa dirawat di hospital

ib
Jan 09, 2023 | 05:30 AM



PADA saat genting menduduki peperiksaan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) lewat tahun lalu, ibu bapanya sakit dan dimasukkan ke hospital, memaksa beliau menangani tekanan peperiksaan dan hidup sendirian.



Cabaran itu bukan sahaja tidak menghambat Nur Thoyyibah Ahmad Jelani, 18 tahun, malah membuat beliau berazam mahu membanggakan orang tuanya, lantas mendorong beliau berusaha bersungguh-sungguh.



Ketabahan dan kecekalan pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya mencapai diploma tersebut baru-baru ini.



Thoyyibah dapat menghela nafas lega sekarang kerana kekhuatiran bahawa beliau akan mengalami kegagalan dek cabaran itu ternyata tidak berasas.



Ketika ditemui Berita Harian, beliau berkata: "Memandangkan saya anak tunggal, saya ingin cemerlang demi ibu bapa saya."



Hidup Thoyyibah penuh cabaran sejak beliau di bangku sekolah rendah.



Ketika menghadapi peperiksaan darjah empat, bapanya, Ustaz Ahmad Jelani Kiyayii Johari, 80 tahun, diserang angin ahmar yang mengakibatkan beliau kehilangan upaya dan terlantar di katil hingga sekarang.



"Dari situ saya memberitahu ibu saya bahawa saya ingin belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu bapa saya," kata Thoyyibah.



Ibunya, Cik Mahanie Hassan, 63 tahun, seorang pemandu Grab, pula terpaksa bekerja siang malam.



"Kadang-kadang saya akan belajar di depan bapa saya. Ibu saya pencari nafkah tunggal. Sakit tak sakit, beliau tetap bekerja.



"Ibu bapa saya merupakan pendorong utama saya," kata Thoyyibah, yang tidak dapat menahan sebak.



Berkongsi cabaran lain yang dihadapinya bagi menempuh IBDP, Thoyyibah berkata yang terbesar ialah pandemik Covid-19.



Disebabkan sekatan, kegiatan dan sumber pelajaran terhad dan, seperti pelajar lain, beliau terpaksa belajar dan menyiapkan tugasan sekolah sendirian di rumah.



Bagaimanapun, sokongan ibu bapa serta gurunya banyak membantu beliau mengharungi tempoh sukar itu, ujar Thoyyibah.



Beliau menambah: "Perjalanan IB ini sangat-sangat susah. Yang akan saya hargai sampai saya tua ialah kawan-kawan saya.



"Merekalah yang tak tidur malam bersama saya, yang tolong cari maklumat dalam Google. Kami semua sama-sama tidur lambat, sama-sama ngantuk.



"Mereka melalui perkara sama yang saya lalui, jadi saya rasa kawan-kawan adalah salah satu galakan terbesar.



"Apabila saya tidak yakin pada diri saya, mereka beritahu saya bahawa saya mampu (mencapainya.)"



Thoyyibah bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang analisis data dan matematik di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Diminta memberi nasihat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan IB, beliau berkata:



"Teruslah sokong satu sama lain. Itulah yang akan memberi semangat untuk menempuhi ujian bersama.



"Jangan ragu-ragu, perjalanan ini akan menjadi sebuah peristiwa unik dan berbaloi untuk diri sendiri dan masa depan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >