Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ramai sedih dan terkejut atas pemergian mendadak ejen hartanah

Feb 20, 2017 | 05:30 AM



AHLI keluarga, teman-teman dan kenalan melahirkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian mendadak ejen hartanah terkenal, Encik Mohamed Gazali Aspar, 41 tahun, yang meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di Upper Changi Road North semasa berbasikal kelmarin.



Allahyarham Gazali, Pengarah Kumpulan Daerah PropNex, disahkan meninggal dunia pada 12.31 tengah hari di Hospital Besar Changi.



Punca kematian beliau, menurut doktor, adalah penyakit arteri koronari jantung.



Dalam keadaan sebak, abang sulung Allahyarham, Encik Meera Sahib Aspar, 55 tahun, berkata beliau akan merindui sifat adiknya itu yang peramah dan ceria itu.



Beliau menemui Allahyarham buat kali terakhir pada 11 Februari lalu semasa salah seorang anak Allahyarham dimasukkan hospital.



"Kata terakhirnya pada saya: 'Kenapa datang tengok sekejap, aje?'. Sebenarnya, saya telah datang tengok anaknya sehari sebelumnya dan singgah lagi pada Sabtu itu (11 Februari)," kata Encik Meera Sahib.



Beliau menambah bahawa Allahyarham seorang yang bertanggungjawab dan akan tetap meluangkan masa bersama anggota keluarganya walau sesibuk mana pun.



"Kami adik-beradik bersama keluarga masing-masing bertemu seminggu sekali untuk makan dan bersantai. Anak saudaranya semua sukakan Allahyarham kerana orangnya suka bergurau," katanya.



Salah seorang anak saudaranya, Encik Saiful Rizal, menganggap Allahyarham sebagai inspirasi terbesarnya.



Menerusi satu ucapan hiba di laman Facebooknya, Encik Saiful berkata: "Allahyarham mendukung saya semasa saya bayi dan hadir di setiap tahap kehidupan saya dari segi pelajaran, berkenaan berat badan hingga perniagaan saya.



"Saya tidak akan mencapai kejayaan tanpa bantuan Allahyarham semasa saya menduduki peperiksaan GCE 'O'. Allahyarham menunjukkan bahawa seorang belia dari Haig Road boleh mencapai cita-citanya."



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Ismail Gafoor, turut menyampaikan ucapan takziah dan meluahkan kesedihan menerusi laman Facebook.



Katanya: "Industri hartanah kehilangan seorang ketua berpengalaman dan ia juga satu kehilangan di kalangan masyarakat Melayu/Islam setempat."



Beliau telah mengenali Allahyarham yang lebih dikenali dengan sapaan Gaz, melebihi 15 tahun.



Menurut Encik Ismail, Allahyarham berwawasan jelas dan selalu mementingkan keluarga dan keperluan orang lain sebelum dirinya.



Encik Ismail turut berkata bahawa beliau akan merindui Allahyarham di konvensyen tahunan PropNex menjelang 14 Mac ini.



Allahyarham dan isterinya, Sharifah Alsree, juga seorang ejen hartanah, sepatutnya menerima tiga anugerah - 'Champion Producer', Ketua Kumpulan Terbaik dan Anugerah Pasangan Terbaik.



Seorang teman Allahyarham yang sering mengayuh basikal bersamanya, Encik NoorHakem Kamil, 38 tahun, berkongsi bahawa beliau melihat Allahyarham mengayuh basikal sekitar 9.45 pagi kelmarin sebelum dikejutkan dengan berita sedih itu.



"Kelmarin Allahyarham tanya jika ada sesiapa mahu mengayuh bersamanya menerusi kumpulan sembang basikal, Road Brothers.



"Selalunya, Allahyarham akan mengayuh dengan beberapa teman. Tetapi, hari itu Allahyarham mengayuh sendirian," cerita Encik NoorHakem.



Menurut beliau, Allahyarham mula meminati sukan berbasikal sekitar dua tahun lalu.



Jenazah Allahyarham telah disolatkan di Masjid Al Istighfar dan selamat dikebumikan sebelum asar semalam.



Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat cahaya mata lelaki.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >