Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN: PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG CAMPUR TANGAN ASING (LANGKAH TINDAKAN BALAS)

Rang bagi tangani campur tangan asing sesuai dalam zaman Internet: Shanmugam

Fica beri pemerintah kuasa lebih khusus, tertentukur untuk tangani kempen maklumat berniat jahat, bukan lebih banyak kuasa tahan dan siasat
Oct 05, 2021 | 05:30 AM



RANG undang-undang bagi mengatasi campur tangan asing akan memberi pemerintah kuasa lebih khusus dan diperhalusi untuk menangani ancaman tersebut.



Ini sesuai dalam zaman Internet yang merangkumi platform dalam talian sejagat yang sering digunakan bagi kempen maklumat berniat jahat (HIC).



Ini dijelaskan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam semasa berucap mengenai Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas), atau Fica, di Parlimen semalam.



Beliau menegaskan undang-undang tersebut tidak memberi pemerintah lebih banyak kuasa substantif.



HIC merujuk kepada penggunaan alat dalam talian dan taktik dalam cara terselaras untuk memperdaya atau menghasut pengguna dan memajukan kepentingan sebuah negara asing.



Fica diperkenal pada 13 September lalu dengan tujuan mencegah, mengesan dan mematahkan campur tangan asing dalam politik domestik yang dilakukan menerusi HIC dan penggunaan proksi tempat.



"Dapat dilihat bahawa Fica adalah pengemaskinian bagi memastikan undang-undang kita boleh menangani HIC dalam talian, dengan membolehkan pendedahan maklumat oleh platform sejagat, dan kesalahan baru, yang perlu dibuktikan tanpa keraguan munasabah di mahkamah, untuk melakukan HIC secara sulit," kata beliau.



Memberi contoh, Encik Shanmugam berkata di bawah undang-undang semasa, sekiranya ada kempen dalam talian dan ada asas untuk mempercayai bahawa ia diilhamkan agensi atau entiti asing, dan ia menjejas keselamatan negara, siasatan boleh dijalankan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Maklumat, termasuk identiti penulis, perlu diberi di bawah Kod Prosedur Jenayah (CPC). Penulis dan sesiapa saja yang disyaki subversif, atau bertindak untuk menjatuhkan pemerintah secara sulit, boleh ditahan, kata Encik Shanmugam.



Sebarang cabaran akan didengar Tribunal ISA, dan bukan Mahkamah Tinggi, tambah beliau.



Perkara ini tidak akan didedahkan secara awam melainkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) memutuskannya.



"Ini dikenakan secara serupa, baik subversif yang dilakukan dalam talian mahupun dalam dunia fizikal," kata beliau.



Encik Shanmugam berkata antara maklumat salah mengenai Fica ialah ia akan membenarkan pemerintah mendapatkan sembarang maklumat, dan ini adalah satu kuasa baru bagi pemerintah.



"Seksyen 20 CPC telah digunakan selama bertahun-tahun, dan secara umum, untuk mendapatkan sembarang maklumat bagi siasatan," kata beliau.



Beliau menjelaskan tentang dua jenis kuasa - pertama, kuasa menahan atau menyiasat, yang dirujuk sebagai 'kuasa substantif', kedua kuasa penguatkuasaan, misalnya mengarahkan sesetengah bahan dipadam, yang dirujuk sebagai 'kuasa eksekutori'.



Sekarang pun terdapat beberapa kuasa eksekutori, termasuk di bawah Akta Penyiaran yang membolehkan pemerintah menangani kandungan tidak menyenangkan dalam talian, seperti dengan mengeluarkan arahan ke atas pemegang lesen penyiaran agar kandungan itu dipadam atau disekat.



Akta Ketenteraman Awam pula membolehkan pemerintah mengawal perhimpunan dan perarakan fizikal, dengan Pesuruhjaya Polis boleh menolak permit bagi acara yang "ditujukan ke arah politik" dan melibatkan entiti atau individu asing.



"Oleh itu, isu 'potensi bantahan' dikawal dalam dunia fizikal. Secara logik, peraturan serupa harus dikenakan dalam ruang dalam talian," kata Encik Shanmugam.



Beliau berkata Fica akan menambah kepada kuasa semasa.



Misalnya, dalam senario individu disyaki bertindak bagi ejen asing terhadap kepentingan Singapura, Fica boleh digunakan jika ia diluluskan.



"Jika Fica diluluskan, kita boleh meneruskannya di bawah Fica sekiranya boleh menunjukkan bahawa kegiatan komunikasi dalam talian telah disediakan atau dirancang oleh atau bagi pihak pelaku asing, dan ia adalah demi kepentingan awam untuk memberikan satu atau lebih arahan.



"Contoh arahan yang boleh dikeluarkan termasuk bagi komunikator atau perantara Internet memadamkan kandungan, dan bagi perantara Internet menggantung atau menamatkan akaun.



"Individu juga boleh ditangkap dan didakwa jika kesalahan campur tangan asing secara sulit dilakukan, tetapi di bawah Fica, tidak ada penahanan tanpa perbicaraan," kata beliau.




SEKILAS RANG UNDANG-UNDANG CAMPUR TANGAN ASING (LANGKAH TINDAKAN BALAS)



MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG



- Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) bertujuan atasi percubaan mempengaruh menerusi kempen maklumat berniat jahat dan proksi tempatan



- Ia memberi kuasa untuk siasat potensi campur tangan dan tangani kegiatan komunikasi berniat jahat



KEMPEN MAKLUMAT BERNIAT JAHAT



- Libatkan penggunaan alat dalam talian dan taktik secara tersusun untuk promosi kepentingan sebuah negara



- Boleh pengaruh perbincangan politik, mencetus perbalahan sosial dan mempersoal kedaulatan politik



- Contoh termasuk: guna akaun palsu untuk memperdaya pengguna, guna bot di media sosial untuk sebar mesej tertentu, dan api-apikan pengguna untuk ganggu individu yang disasar



INDIVIDU PENTING DARI SEGI POLITIK (PSP)



- Individu dan pertubuhan yang secara langsung terlibat dalam proses politik Singapura perlu hadapi langkah lebih ketat



- Ini bagi pastikan individu dan pihak yang mudah terjejas akan bebas daripada campur tangan asing



- Merangkumi parti politik, pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP), AP Tanpa Kawasan Undi, AP Dilantik, Ketua Dewan, Ketua Pembangkang, calon pilihan raya dan ejen pilihan raya mereka




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >