Semangat memberi semakin semarak di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi menjelang Syawal. Pelbagai pertubuhan masyarakat aktif menghulurkan bantuan bagi menceriakan sambutan Hari Raya bagi golongan kurang mampu. Namun, selain pertubuhan, banyak juga usaha yang dipelopori individu yang turut terpanggil untuk menyumbang. BERITA HARIAN (BH) memaparkan kisah sedemikian di halaman ini dan di halaman sebelah.
MELIHAT bagaimana ramai keluarga terjejas secara kewangan di tengah wabak Covid-19, Encik Mohamed Muzzammil Abu Talib dan isterinya, Cik Mubeenah Begum Abdul Rashid Sahib, memutuskan untuk membawa keceriaan kepada keluarga-keluarga ini menjelang Syawal yang akan datang.