Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tidak jenuh terus lestari makanan NUSANTARA

Cef Mel, kini Pengarah Kulinari di Restoran Permata, juga besar hati ia mendapat tiga pencalonan dalam Anugerah Dunia Gourmet 2022
Feb 05, 2022 | 05:30 AM



DALAM usaha Cef Mel Dean menyajikan hidangan masakan Nusantara, beliau turut mengolah nama-nama menunya dengan sentuhan klasik.



Beliau mengangkat nama masakannya seperti Kerabu Raden Ayu, Permata Samudera, Lemang Semerah Padi atau Nasi Ulam Cakerawala.



Baginya, dalam menyediakan hirisan daging yang lembut untuk dimakan, ungkapan bahasa Melayu dalam menunya seperti Cakerawala atau Semerah Padi juga perlu menusuk kalbu.



"Nama-nama menu ini saya bentangkan berdasarkan sejarah, budaya, filem Melayu klasik, warna dan bentuk yang berasal daripada Nusantara," ujar Cef Mel.



Baginya tanpa sentuhan klasik tersebut tidak cukup lengkap gabungan hidangannya dengan restoran yang terletak di Gedung Kuning itu.



Pengarah Kulinari baru di Restoran Permata di bangunan tersebut berkata:



"Gedung Kuning itu sendiri telah memikul sejarah yang panjang.



"Sesuai dengan sebuah bangunan lama, saya perlu menyajikan hidangan-hidangan yang sesuai dengan sekitarannya," ujar Cef Mel.



Dengan itu lahirlah nama-nama menu yang lain seperti Kerabu Raden Ayu, Soto Banjar, Permata Samudera, Rawon Risotto, Rusuk Percik atau-atau Botok-Botok Halibut yang diberikan Cef Mel bersama Pengarah Eksekutif, Encik Fajar Ali Mohd.



Beliau memperkenalkan hidangan yang berkonsep Nusantara progresif, yakni pelanggan dapat menikmati makanan-makanan asli Nusantara dari Singapura, Malaysia dan Indonesia yang dihidangkan dengan penampilan serba unik lagi moden dan artistik.



"Saya ingin terus memartabatkan makanan Nusantara, yang bukan sahaja meliputi Singapura, malah Johor, Melaka, Pahang, Kelantan, Sarawak hingga ke Indonesia dari Makassar hinggalah ke Timor Leste," kata Cef Mel.



ANUGERAH GOURMET



Biarpun hanya dibuka pada April tahun lalu, Restoran Permata telah mendapat tiga pencalonan dalam Anugerah Dunia Gourmet 2022 (WGA) bagi Anugerah Restoran Baru Terbaik Tahun Ini, Restoran Masakan Asia Terbaik dan Reka Bentuk Restoran Terbaik.



"Setelah lebih 29 tahun dalam dunia masakan, pencalonan restoran yang saya kendalikan ini merupakan satu pencapaian peribadi.



"Biarpun belum mendapat keputusan penuh, pencalonan itu sahaja sudah cukup buat saya," ujar Cef Mel yang mula bekerja di Restoran Permata pada Disember lalu.



Anugerah gourmet ini bermula pada 2001 menerusi Sidang Kemuncak Gourmet Dunia. Ia merupakan satu-satunya anugerah untuk mengiktiraf usaha pemain utama dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang menunjukkan perkhidmatan yang luar biasa.



Sejak 21 tahun yang lalu, Anugerah Gourmet Dunia telah mengiktiraf lebih 100 profesional dalam F&B dan hospitaliti di Singapura dan di seluruh rantau ini.



Sepanjang kerjayanya, kata Cef Mel, beliau berasa bertanggungjawab dalam menyerlahkan keunikan hidangan Melayu dan menyajikan makanan-makanan Nusantara dengan cara yang lebih sofistikated.



Selain daripada keenakan rasa, faktor kreativiti adalah sangat penting dalam mewujudkan keunikan dalam sesuatu hidangan, katanya.



Contohnya, cara beliau menghidangkan hidangan dari Singapura, Mi Wak Katok, bukan cuma sekadar meletakkan mi itu atau membungkusnya begitu sahaja, tetapi beliau menghidangkannya dengan menambah hirisan daging 'Chateaubriand' dan 'poached egg' atau telur carak.



Namun, tugasnya bukan setakat memasak atau mencipta menu, bahkan beliau juga perlu menjalankan perancangan strategik untuk membangunkan menu masakan, melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D), melatih kakitangan dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) restoran.



Namun, perjalanan Cef Mel terlalu panjang sebelum beliau dikenali sebagai seorang cef selebriti atau personaliti televisyen.



Semasa menjadi kolumnis ruangan kulinari Berita Harian, Cef Mel memperkenalkan istilah 'Kapowww' - perkataan yang digunakan olehnya untuk membezakan makanannya daripada yang lain.



Sejak itu juga lahirlah Sambal Kapowww dan Kari Kapowww, hasil kerjasama Cef Mel dengan Asyura Paste.



Dalam memastikan keunikan Kapowwwnya, lahirlah pes 'Chili Mex Paste' yang diperkenalkan Cef Mel, yang menurutnya mampu menghasilkan sehingga 500 jenis sajian.



"Ini adalah hasil penyelidikan yang dijalankan yang mengambil masa sehingga empat bulan untuk mengenal pasti ramuan dan bahan yang digunakan mampu memenuhi cita rasa pengguna," ujar Cef Mel.



Beliau juga diberi tanggungjawab menyiapkan pelbagai hidangan eksklusif, menggabungkan rasa Singapura dan Timur Tengah sempena Hari Raya Haji dan Hari Kebangsaan ke-55 Singapura yang lalu.



Orang ramai mula mengenalinya dari dekat apabila beliau muncul dalam program memasak 'Dari Dapur WGS'(Wisma Geylang serai) Bersama Chef Mel Dean'.



Dalam program itu beliau menampilkan hidangan yang serba unik lagi moden dan artistik.



JANGAN DERHAKA



Beliau bukan sahaja 'menyibuk' di dapur, tetapi juga dilantik sebagai duta amal bagi menyokong kegiatan kempen Tabung Amal Aidilfitri (TAA).



Kelmarin, Cef Mel mengumumkan bahawa beliau telah dilantik sebagai ahli panel penasihat bebas untuk Skim Peralihan Penjaja bagi pihak Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).



Beliau juga merupakan pengadil bagi Anugerah Penjaja Singapura untuk mengiktiraf usaha pegerai meneruskan semangat penjaja, menjaga resipi turun-temurun serta penyambungan dari satu generasi ke satu generasi.



Selain mencipta resipi, beliau menjalankan demonstrasi memasak untuk Lembaga Penggalakan Kesihatan, Dream Cruise dari Hong Kong, Mediacorp Suria, Radio Warna, Kelab Masyarakat-Persatuan Rakyat, Courts, Harvey Norman, Philips, Bosch, Miele, Koala Kapital dari Australia, All Kurma dari Indonesia, SuzyAmeer dan banyak lagi



Cef Mel turut berkongsi bagaimana beliau mampu bertahan hingga ke hari ini.



"Kita harus jaga diri terutama diri kita yang dipaparkan di media sosial. Banyak mata yang memantau. Kita kenalah fokus pada diri kita sendiri dan menambah nilai kepada setiap perkara yang kita lakukan.



"Kita perlu kawal segalanya, tidak boleh cepat melatah. Biarkan kerja-kerja saya memasak yang 'bercakap'.



"Ini adalah amanah dan tanggungjawab. Malah, ini satu cara saya memberi penghormatan saya kepada makanan Nusantara dan tugas saya untuk melestarikannya kepada tahap yang lebih tinggi.



"Saya mahu pastikan rasanya masih kekal tradisional dan saya tidak mahu 'menderhaka' kepada resipi warisan lama kita." katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >