Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ringankan bahu penjaga pesakit mental, kempen kesedaran dilancar

Nov 02, 2022 | 05:30 AM



SUDAH lebih 30 tahun berlalu sejak kali pertama adiknya diserang gangguan mental, namun Cik Manisah Arshad, 59 tahun, tidak lelah mencurahkan kasih sayang kepada adiknya itu.



Malah, sehingga kini beliau gigih menjaga adiknya, Cik Mahani Arshad, 57 tahun, yang menghidap skizofrenia dan keresahan di samping penyakit Parkinson.



Namun, selain menjadi tempat berlindung buat adiknya, beliau juga perlu menjaga suaminya kini yang mengalami masalah kesihatan.



Justeru, suri rumah itu ibarat dalam keadaan tersepit kerana perlu membahagi-bahagikan masa antara kedua-dua adik dengan suaminya, dan mengurus mereka.



Ini menjejas kesejahteraan mental penjaga seperti Cik Manisah yang menjadi tempat bergantung orang tersayang.



Mujur, dengan bantuan daripada Kelab Heal, Cik Manisah menerima sokongan yang beliau perlukan.



Bukan hanya dari segi bantuan kewangan, Cik Manisah berkata beliau menerima manfaat daripada sesi kaunseling dan rangkaian sokongan anggota Kelab Heal.



"Penting bagi penjaga untuk mendapat sokongan moral kerana kadangkala kita tidak ada tempat untuk mengadu.



"Kadangkala saya tanya mereka (Kelab Heal) macam mana ni? Mereka beri nasihat, banyakkan istighfar, banyakkan zikir, dari situ hati mula sejuk. Yang penting, kita juga perlu luangkan masa untuk diri sendiri," ujarnya yang menggalakkan penjaga pesakit mental di luar sana agar tampil mendapatkan bantuan.



Semalam, sebuah kempen kesedaran awam yang menggalakkan penjaga agar mendapatkan bantuan dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob di stesen MRT Harbourfront.



Ini dilakukan dengan menghiasi kereta api di Laluan Timur Laut (NEL) dengan pelbagai pelekat berwarna-warni yang antaranya mengajak orang ramai agar memikirkan semula konsep seorang penjaga, dan mencetuskan kesedaran bahawa mereka juga mungkin seorang penjaga.



Diterajui pertubuhan bukan mengaup keuntungan yang menyokong penjaga kesihatan mental, Caregivers Alliance Limited (CAL), kempen Uncovering & Empowering Hidden Heroes (Mengenal Pasti & Memperkasa Wira Tersembunyi) ini merupakan usaha kolektif rakan lain yang bermatlamat sama, antaranya Kelab Heal, Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH) dan Care Corner Singapore.



Kempen tersebut juga bertujuan mencabar stereotaip yang dikaitkan dengan penjaga mereka yang mengalami isu kesihatan mental dan demensia.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CAL, Encik Tim Lee, berkata:



"Terdapat ramai penjaga dalam kalangan kita yang tidak melihat diri mereka sebagai penjaga, dan ini menghalang mereka daripada mencari bantuan dan sokongan.



"Dengan mengetengahkan kisah yang mempunyai kaitan dan mengajukan soalan, 'Adakah anda seorang penjaga?', kami berharap orang ramai akan mula memikirkan bagaimana mereka mungkin menjaga seseorang dalam keluarga, lingkaran sosial atau kerja mereka yang mempunyai keprihatinan kesihatan mental atau demensia, dan mendorong mereka agar mencari sumber yang boleh membantu memudahkan perjalanan mereka."



MRT bertema itu akan beroperasi selama empat minggu dan dijangka mendekati lebih 52,000 penumpang di 16 stesen antara daerah utara dan timur Singapura di NEL.



Penumpang juga dapat mengimbas kod QR yang akan membawa mereka ke laman web kempen di www.cal.org.sg/hiddenheroes.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >