Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HIKMAH RAMADAN

Risiko sesat apabila melencong daripada Quran, sunah

Apr 20, 2022 | 05:30 AM



APABILA manusia menyimpang daripada dua sumber utama - Al-Quran dan sunah - dan menggunakan sumber lain, di sinilah terletak risiko penyelewengan dan kesesatan.



Daripada sinilah munculnya aliran pemikiran dan fahaman sesat walaupun kesesatan itu kadangkala dihiasi istilah-istilah bahasa Arab atau penampilan keIslaman.



Demikian menurut Timbalan Mufti, Ustaz Mohd Murat Md Aris, dalam program tazkirah Hikmah Ramadan yang disiarkan stesen radio Warna sempena Ramadan



"Ia bermakna jika kita ingin menilai ketulenan dan kebenaran sesuatu ajaran, pandangan atau amalan, maka neracanya ialah Al-Quran dan As-Sunah.



"Tentunya ia berdasarkan kefahaman betul, berdasarkan penjelasan dan tafsiran mereka yang mempunyai ilmu mengenainya daripada kalangan ulama muktabar (terkenal)," ujar Ustaz Mohd Murat.



Dalam tazkirahnya menyentuh tentang ajaran sesat, Ustaz Mohd Murat memberi tumpuan pada beberapa ciri penting atau tema tertentu yang boleh di amati untuk mengenal pasti kesesatan sesuatu fahaman, ajaran atau aliran pemikiran.



Ciri pertama ialah dakwaan pemimpin sesuatu ajaran itu mempunyai kemampuan mengetahui atau melihat perkara ghaib.



"Ini adalah ciri yang kerap kita dapati pada kebanyakan ajaran sesat, walaupun Al-Quran telah dengan jelas dan tegas mengatakan bahawa tiada siapa pun mengetahui perkara ghaib kecuali Allah azzawajalla sahaja," ujar Ustaz Mohd Murat.



Beliau menukil firman Allah swt dalam Surah Al-A'raf ayat 188 yang bermaksud:



'Katakanlah wahai Muhammad bahawa aku tidak mempunyai kuasa untuk mendatangkan kemanfaatan bagi diriku dan tidak pula mampu menolak kemudaratan kecuali apa yang telah dikehendaki oleh Allah dan andai kata aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku membuat sebanyak-banyaknya kebaikan dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan tetapi aku tidak lain hanya pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang-orang beriman.'.



Ustaz Mohd Murat berkata: Ayat ini dengan jelas menetapkan bahawa para Nabi dan Rasul pun tidak mengetahui perkara ghaib, kecuali hal yang telah dikabarkan oleh Allah kepada mereka.



"Justeru, sebarang dakwaan bahawa seseorang individu itu mengetahui perkara ghaib adalah sama sekali tersasar daripada landasan ajaran Islam yang sebenarnya. Oleh itu, jika ada sesiapa mendapati dakwaan sedemikian, ia perlu yakin bahawa itu hanya khayalan imaginasi terpesong dan tidak disokong mana-mana nas agama (petikan daripada Al-Quran atau hadis).



"Imaginasi serupa ini hanya dakwaan palsu yang cuba memukau mereka yang mudah terpengaruh kepada fahaman karut dan dusta semata-mata."



Ciri kedua, menurut Ustaz Mohd Murat, ialah dakwaan pemimpin ajaran menyeleweng bahawa mereka boleh berkomunikasi secara langsung dengan tuhan, selalunya dengan tujuan memaparkan kredibiliti, wewenang dan keaslian ajarannya.



Ustaz Mohd Murat berkata dakwaan ini sering cuba diperkukuh dengan cerita ghaib dan suci yang kononnya ialah anugerah istimewa Tuhan kepadanya sebagai manusia terpilih. Dakwaan seperti ini jelas bertentangan dengan firman Allah dalam Surah Asyura ayat 51 yang bermaksud:



'Dan tidaklah layak bagi seorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu atau dari sebalik dinding atau tabir atau dengan mengutuskan utusan lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakinya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi kedudukannya, lagi Maha Bijaksana.'



Ciri keetiga ialah dakwaan seseorang bahawa dia Imam Mahdi atau Khalifah Allah.



"Dakwaan ini selalunya mudah mempersonakan pengikut hinggakan mereka tidak lagi menggunakan akal fikiran untuk menilai. Bahkan, kejahilan ini memudahkan lagi pesona yang menyesatkan berakar umbi dalam jiwa dan minda pengikut jahil.



"Apabila dakwaan ini diterima maka mudahlah bagi pemimpin ajaran sesat menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal."



Ciri keempat ialah agenda tersirat dalam aliran pemimpin sesuatu ajaran sesat.



"Kita tahu Islam adalah pengabdian diri untuk mencari keredaan Allah, namun bagi golongan sesat, yang mereka kejarkan ialah kepentingan material, hawa nafsu, keegoan kuasa dan kepentingan ekonomi.



"Lazimnya matlamat-matlamat ini tidak didedahkan secara terang-terangan. Ia selalunya diberikan secara sembunyi dan hanya dibicarakan secara terang apabila pengikut mula percaya dan yakin bahawa pemimpin mereka mengetahui perkara ghaib dan adalah Khalifah Allah.



"Tipu muslihat pemimpin sebegini hanya tersebar apabila ia mula menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan agama, seperti perjudian untuk cepat kaya atau menghalalkan nikah batin untuk memenuhi nafsunya,'' ujar Ustaz Mohd Murat.



Ciri kelima ialah apabila sesuatu ajaran sesat itu muncul kerana pengikutnya tidak mempunyai ilmu yang cukup atau tidak mampu menilai sumber dan dasar ajaran sesat tersebut.



"Sebagaimana yang kita sebut bahawa sumber tenaga ajaran Islam adalah Al-quran dan As-sunah. Di atas dua sumber inilah terbina fikrah, akidah, amalan, nilai, hukum-hakam keilmuan dan muamalat Islam.



"Ringkasnya legitimasi dan keaslian Islam dibina di atas doktrin wahyu yang diabadikan dalam Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.



"Namun, bagi penyebar dan pengikut ajaran dan aliran sesat, dakwaan legitimasi dan keaslian ajaran mereka biasanya hanya didasari oleh ketokohan individu, karisma dan rangsangan khayalan yang memfokus pada kebatinan pencapaian ghaib dan amalan amalan ritual tertentu yang dianggap kudus (murni) dan suci.



"Dalam situasi ini, doktrin keilmuan wahyu diketepikan kerana apa yang penting bagi mereka ialah kepercayaan mistik yang dianggap suci, fenomena ghaib dan mantra dan rohani yang aneh dan pelik, yang menjadi sumber pegangan dan ajaran.



Kesesatan berlaku dan menular apabila mereka percaya bahawa kebenaran dan keaslian agama dibina dan diukur atas dasar-dasar menyesatkan ini,'' ujar Ustaz Mohd Murat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >