Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RRG proaktif kerjasama dengan pelbagai pihak bantu pulih tahanan

RRG
Feb 04, 2021 | 05:30 AM



KUMPULAN Pemulihan Keagamaan (RRG) mengambil pendekatan proaktif dalam bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk kumpulan agama lain dan sekolah, dalam usaha menentang ekstremisme.



Selain memberi khidmat nasihat agama kepada individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan keluarga mereka, RRG melakukan usaha pendekatan dan bimbingan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai ideologi dan ancaman pengganasan.



Usaha itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan agama yang menjadikan usaha RRG itu sebagai contoh.



"Ini merupakan sebuah struktur sokongan yang telah kami wujudkan dalam memupuk kesedaran masyarakat. Jadi, ia sangat unik di Singapura.



"Apabila kita bercakap tentang perpaduan agama, terdapat anggota dalam masyarakat berpegang erat pada amalan mengekalkan hubungan baik.



"Oleh itu, kami sentiasa bersedia melangkah ke hadapan dan memberikan bantuan dan menyumbang secara positif," kata seorang anggota sekretariat RRG, Encik Salim Mohamed Nasir, ketika ditemui dalam satu sidang media semalam.



Sependapat, seorang lagi anggota sekretariat RRG, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, berkata RRG juga terbuka untuk mengongsi sumber kepakaran yang telah diperolehi sejak ia ditubuhkan pada 2003 kepada kumpulan agama lain jika diperlukan.



"Sekiranya diperlukan, kami dapat berkongsi dengan mereka pendekatan kajian kami serta berkongsi pengalaman kami membimbing tahanan Jemaah Islamiyah (JI) dan individu yang menjadi radikal secara sendiri.



"RRG sendiri menjadi contoh tersedia di mana pertubuhan lain boleh mengambil pendekatan yang kami lakukan dan mempelbagaikannya sejajar dengan keperluan mereka," ujar beliau.



Menyusuli kes penahanan seorang remaja bangsa India beragama Kristian Protestan di bawah ISA baru-baru ini, Dr Mubarak akur keperluan bekerjasama antara pelbagai pihak semakin menjadi lebih ketara.



Lebih membimbangkan, sejak 2015, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah mengambil tindakan terhadap tujuh individu radikal yang berusia antara 16 dengan 19 tahun.



Oleh itu, RRG bakal mempergiatkan usahanya dalam mendekati sekolah dan madrasah sebagai salah satu daya usaha pelibatan berterusan masyarakat.



Menurut Encik Salim, Pusat Sumber dan Kaunseling RRG di Masjid Khadijah merupakan salah satu lawatan pembelajaran yang diiktiraf Kementerian Pendidikan (MOE).



Sewaktu lawatan ini, pelajar akan mengambil bahagian dalam bengkel dan sesi perbincangan di mana mereka dapat memahami lagi peranan yang dapat mereka mainkan dalam usaha menentang ekstremisme ini.



Memberi contoh, Encik Salim berkata sewaktu bengkel tersebut pelajar dapat mengenal pasti tanda-tanda jika rakan mereka terpengaruh oleh ideologi radikal.



"Kami juga diberi peluang bercakap dan mengendalikan bengkel di sekolah, melengkapkan lagi pembelajaran kajian sosial," tambahnya.



Menurut Dr Mubarak, sekolah, keluarga dan rakan-rakan juga boleh memainkan peranan mereka.



Beliau menggesa agar tindakan segera diambil sekiranya mereka mengenal pasti individu terpengaruh.



"Anda perlu menghubungi pihak berkuasa jika mendapati perubahan pada sikap seseorang yang anda kenali agar individu itu dapat diberikan bimbingan dan perhatian tambahan yang diperlukan," ujar beliau.




“Ini merupakan sebuah struktur sokongan yang telah kami wujudkan dalam memupuk kesedaran masyarakat. Jadi, ia sangat unik di Singapura. Apabila kita bercakap tentang perpaduan agama, terdapat anggota dalam masyarakat berpegang erat pada amalan mengekalkan hubungan baik. Oleh itu, kami sentiasa bersedia melangkah ke hadapan dan memberikan bantuan dan menyumbang secara positif.”
– Encik Salim Mohamed Nasir, ahli sekretariat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >