Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rumah kebajikan sokong bekas penghuni hidup berdikari

Sep 09, 2023 | 05:31 AM



Setelah mencapai umur 18 tahun, penghuni Darul Ihsan, Syed Muhammad Rizki Syed Abdul Rahman, sepatutnya sudah mula menjalani kehidupan berdikari di luar rumah anak yatim itu.

Namun memandangkan beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai untuk dituju, anak muda itu terus menginap di rumah tumpangan kendalian Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) di Mattar Road itu buat beberapa tahun lagi.

Bagaimanapun, sejak 2021, ketika beliau berumur 23 tahun, Syed Muhammad Rizki akhirnya berpindah ke sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik di Circuit Road – yang disediakan MTFA untuk bekas penghuni Darul Ihsan yang senasib dengannya.

Flat itu disediakan di bawah program perintis Ihsan Living, yang bertujuan menyediakan laluan peralihan tersusun dan selamat untuk belia yang melepasi had umur bagi penjagaan di institusi kediaman agar mereka dapat disepadukan semula ke dalam masyarakat sebagai individu yang berdikari.


Program itu antara cara rumah kebajikan Melayu/Islam di Singapura menyokong penghuni yang tidak mempunyai tempat dituju selepas tempoh perlindungan mereka berakhir.

Menurut Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos, sejak beberapa tahun kebelakangan, sekitar 50 peratus penghuni di rumah-rumah kebajikannya yang mencapai umur 18 tahun tidak mempunyai rumah yang selamat atau sesuai untuk dituju.

Profil penghuni di rumah-rumah kebajikannya telah berubah dalam beberapa tahun kebelakangan – daripada ramai yang dimasukkan atas dasar belas kasihan kerana ibu bapa tidak dapat atau mampu menjaga, kepada ramai penghuni yang dimasukkan di bawah Perintah Jagaan dan Perlindungan (CPO), katanya.

Ini termasuk kanak-kanak yang dikeluarkan daripada keluarga mereka bagi memberi mereka perlindungan daripada penganiayaan.

Bagi sebahagian penghuni sedemikian, rumah mereka terus menjadi tempat yang tidak selamat dan mereka tidak mempunyai mana-mana untuk dituju selepas mencapai umur 18 tahun.

“Di Darul Ihsan, kami mendapati bahawa beberapa penghuni terus menetap di rumah-rumah tumpangan kami selepas berumur 18 tahun kerana tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat atau sesuai walaupun telah mencapai umur biasa untuk hidup berdikari.

“Namun, banyak program harian yang dijalankan di rumah tumpangan kami – yang memenuhi keperluan kanak-kanak semuda lapan tahun – tidak sesuai untuk remaja yang menginjak dewasa,” kata Dr Abdul Qader.

“Kami menubuhkan Ihsan Living sebagai projek perintis pada 2021 untuk menangani jurang ini dan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai untuk belia sedemikian sedang mereka beralih ke alam dewasa dan berdikari sepenuhnya,” tambahnya.


Menurut Dr Abdul Qader, walaupun terdapat beberapa pertubuhan yang menawarkan sokongan serupa pada waktu tersebut, MTFA adalah yang pertama memperkenalkan program sedemikian khususnya bagi remaja Islam.

Program Ihsan Living kini dimanfaatkan oleh lima bekas penghuni Darul Ihsan, termasuk Syed Muhammad Rizki.


Beliau sedang menuntut di Politeknik Temasek manakala rakan serumahnya yang lain sedang menjalani perkhidmatan negara (NS).

Anak tunggal itu telah dimasukkan ke Darul Ihsan ketika berumur 15 tahun setelah bapanya meninggal dunia. Ibunya meninggal dunia ketika beliau bayi umur setahun.

Beliau mempunyai ibu tiri dan tiga adik-beradik tiri, terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki. Mereka tinggal di flat satu bilik yang juga terletak di Circuit Road.

Sedang beliau mempunyai hubungan baik dengan keluarga tirinya, Syed Muhammad Rizki memutuskan untuk tinggal di flat yang disediakan di bawah Ihsan Living kerana inginkan “ruang peribadi”.


“Kalau tak ada flat ini, saya akan tinggal bersama ibu tiri saya. Tapi saya pilih untuk tinggal di sini kerana ruangnya lebih luas,” kata Syed Muhammad Rizki yang melakukan tugas sambilan sebagai pekerja penghantaran bagi menampung perbelanjaannya termasuk duit sewa rumah sebanyak $60 sebulan.

Flat itu, yang disewa MTFA, boleh memuatkan enam orang secara keseluruhan.

Ia terletak sekitar lima minit menaiki kereta dari Darul Ihsan.

Menurut Dr Abdul Qader, lokasi itu dipilih bagi memudahkan bekas penghuni mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.

Jarak dekat itu juga membolehkan pegawai memantau atau bertindak terhadap sebarang kecemasan yang mungkin timbul.

“Selain menyediakan penginapan berasaskan masyarakat, peserta program juga diajar pelbagai kemahiran kehidupan bagi melengkapi diri mereka dengan kemahiran relevan untuk berdepan dengan cabaran dunia sebenar.

“Kami juga menyediakan geran untuk pembangunan profesional dan peribadi seperti kelas memandu, dan kursus pengurusan kewangan untuk mempersiapkan mereka bagi kehidupan bekerja dan alam dewasa,” kata Dr Abdul Qader.

“Dari sudut psikososial, Ihsan Living memberi penghuni akses kepada pekerja sosial, yang juga meninjau keadaan dan kesejahteraan mereka setiap dua minggu. Ihsan Living memainkan peranan sebagai ibu bapa, menyokong pembangunan menyeluruh mereka ke arah kehidupan berdikari,” tambahnya.


MTFA merancang melancarkan program serupa untuk penghuni perempuan yang sudah melepasi had usia di Darul Ihsan Lilbanat di Wan Tho Avenue menjelang awal 2024.

Ia juga sedang meneroka pilihan penginapan serupa atau alternatif untuk peserta akan datang sedang ia bersiap untuk membuka program itu kepada belia daripada pertubuhan lain.







Di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), satu peranan baru telah diperkenalkan pada pertengahan 2022 bagi memberi bimbingan kepada penghuni yang perlu mula hidup berdikari selepas mencapai umur 21 tahun.

Peranan Pegawai Sokongan Peralihan (TSO) itu membimbing penghuni dalam pembangunan peribadi dan berusaha secara proaktif untuk menangani keperluan mereka terutama selepas mereka keluar daripada rumah kebajikan itu.

RKM mempunyai 45 penghuni dan sekitar 10 peratus daripada mereka menginap di rumah kebajikan itu hingga mereka berumur 21 tahun.

Menurut Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, belia-belia itu tidak mempunyai tempat dituju kerana mereka merupakan anak yatim piatu, membesar tanpa mengenali keluarga kandung mereka, atau tidak diterima keluarga sendiri.

“Mereka menghadapi isu penginapan, kewangan dan kekurangan sokongan keluarga. TSO melengkapi penghuni dengan kemahiran bagi menggalakkan kehidupan berdikari dan tidak bergantung pada orang lain apabila mereka disepadukan semula ke dalam masyarakat yang lebih luas,” katanya.

Dengan adanya peranan tersebut, penghuni dirujuk kepada TSO oleh pekerja kes mereka enam bulan sebelum tiba masa untuk mereka hidup berdikari.

Penilaian kemahiran kehidupan akan dijalankan untuk memahami keperluan penghuni itu dan TSO kemudian akan bekerjasama dengan penghuni tersebut untuk menangani cabaran yang mungkin dihadapi.

Sokongan untuk penghuni diteruskan selama enam bulan selepas mereka hidup berdikari.

Di Pusat Wanita dan Gadis Remaja Pertapis (PCWG), penghuni juga perlu keluar daripada pusat jagaan setelah mencecah umur 21 tahun.

Bagi penghuni yang tidak mempunyai anggota keluarga atau tempat untuk dituju, pekerja sosial akan memastikan mereka bersedia dalam segala aspek kehidupan.

Pekerja sosial akan bekerjasama dengan penghuni untuk antara lain memastikan mereka mempunyai pekerjaan tetap, cukup wang untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan tempat tinggal mengikut kemampuan mereka.

Mereka juga akan dirujuk kepada Pusat Khidmat Keluarga supaya terus mendapat sokongan menyeluruh apabila mereka memulakan kehidupan mereka dalam masyarakat.

“Kami tidak mempunyai program yang khusus untuk mereka yang sudah tidak lagi menetap di PCWG tetapi kami akan pastikan sepanjang tiga bulan selepas mereka keluar dari pusat jagaan kami, pekerja sosial mereka akan terus memberi sokongan dan bimbingan supaya mereka dapat hidup berdikari,” kata jurucakap PCWG.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >