Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sambung semula kehidupan, tapi usah sambil lewa...

Teks penuh ucapan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, untuk memberi perkembangan terkini mengenai keadaan Covid-19 di Singapura yang disiarkan di Facebook dan televisyen semalam.
Mar 25, 2022 | 05:30 AM



"Kita telah mencapai satu titik perubahan utama dalam usaha kita memerangi Covid-19. Pemerintah akan mengambil tindakan yang tegas ke arah menjalani kehidupan dengan Covid-19.



Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) akan mengumumkan perubahan-perubahan tersebut selepas siaran ini. Tetapi sebelum itu, izinkan saya menerangkannya dalam konteks berikut: Mengambil kira apa yang kita telah lalui sejauh ini; dan menerangkan rancangan kami untuk maju ke hadapan.



Perjalanan COVID-19 Kita



Kita telah berjuang melawan Covid-19 selama lebih dua tahun sekarang. Sejak dari mula lagi, matlamat utama kami hanya satu: untuk melindungi nyawa, dan mengurangkan seberapa boleh kematian yang dapat dielakkan.



Kita telah menyaksikan paparan suram di negara-negara lain yang menunjukkan keadaan terdesak pesakit-pesakit sedang mereka cuba sedaya upaya mendapatkan rawatan di hospital, dan bagaimana para pekerja penjagaan kesihatan terpaksa memilih siapa yang hidup dan siapa yang mati.



Kami bertekad mengelakkan perkara itu daripada berlaku di sini, dan kita telah berjaya melakukannya.



Sistem penjagaan kesihatan kita telah menghadapi tekanan, namun ia tidak terlalu dibebani. Kami memastikan terdapat katil-katil ICU dan bekalan oksigen yang cukup untuk setiap individu yang memerlukannya. Kadar kematian berkaitan Covid di sini adalah antara yang terendah di dunia



Ini adalah perjuangan yang sukar. Dengan setiap gelombang jangkitan yang baru, kami terpaksa bertindak dengan pantas dan membuat penyesuaian. Setiap kali kami rasa kami telah dapat mengawal pandemik ini, virus ini mengejutkan kita.



Pada peringkat awal apabila sedikit sahaja yang diketahui tentang virus ini, kami melaksanakan langkah-langkah ketat. Langkah-langkah yang kami laksanakan memastikan jumlah kes dalam masyarakat berada pada paras paling rendah, dan membantu kami mengawal dan menangani penularan besar di dormitori-dormitori pekerja hijrahan kita.



Ia memberikan kami masa mempertingkatkan kemampuan penjagaan kesihatan kita dan melancarkan program vaksinasi nasional yang menyeluruh



Kemudian varian Delta yang lebih berbahaya melanda. Mujurlah program vaksinasi kita sedang rancak berjalan pada masa itu.



Tetapi kami mengekalkan langkah-langkah ketat untuk memperlahankan penularan virus tersebut, sehingga kami selesai memvaksin hampir semua orang yang layak mendapatkannya, terutamanya golongan warga emas.



Sementara itu, kami mengubah protokol-protokol kesihatan untuk membenarkan kes-kes yang ringan pulih dengan selamat di rumah, dan dengan itu mengurangkan beban ke atas sistem penjagaan kesihatan kita.



Apabila kami melonggarkan Langkah-langkah Pengurusan Selamat (SMM), kita mengalami gelombang besar kes Covid-19. Mujurlah pada masa itu, kebanyakan rakyat Singapura telahpun menjalani vaksinasi, dan terlindung dengan baik daripada varian Delta.



Sungguhpun demikian, ramai pesakit perlu dirawat di hospital, dan malangnya ada yang meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut



Tidak berapa lama selepas gelombang Delta reda, virus tersebut menduga kita lagi - kali ini, dalam bentuk varian Omicron yang lebih mudah berjangkit. Kita mempersiapkan diri kita sedang negara-negara di seluruh dunia mencatatkan jumlah rekod kes.



Bilangan kes kita turut melonjak, dan pada kemuncaknya, jumlah kes melebihi 25,000 sehari. Dengan kadar vaksinasi kita yang tinggi dan sistem penjagaan kesihatan yang kukuh, di dalam hati, kami yakin kami mampu mengatasinya.



Namun, kami mengetatkan langkah-langkah kawalan di sempadan kita dan menangguhkan rancangan melonggarkan SMM, demi memberi masa kepada sistem penjagaan kesihatan dan para pekerja kesihatan kita menyesuaikan diri.



Kami berasa lega kerana Omicron ternyata tidak seteruk varian-varian lebih awal, dan tidak banyak kes yang terlalu serius sehingga memerlukan bantuan oksigen atau penjagaan di ICU. Sepanjang dua minggu lalu, jumlah kes harian telah mula menurun.



Minggu demi minggu nisbahnya kini sekitar 0.8. Pada kadar ini, bilangan jangkitan harian akan berkurangan sebanyak separuh dalam masa lebih kurang tiga minggu.



Satu Pencapaian Bersama



Kita hanya dapat mencapai semua ini dengan usaha bersama semua pihak. Anda memahami misinya dan memainkan peranan anda. Anda menaruh kepercayaan kepada Pemerintah. Anda menerima nasihat pihak berkuasa perubatan.



Anda mematuhi SMM dengan sabar dan bertanggungjawab. Anda dan orang-orang yang anda sayangi telah mendapatkan suntikan vaksinasi. Anda belajar cara menggunakan ujian ART, dan mengasingkan diri jika anda diuji positif



Perniagaan-perniagaan dan para pekerja perkhidmatan penting turut memainkan peranan mereka untuk memastikan ekonomi dan perkhidmatan sosial kita terus berfungsi.



Mereka menyesuaikan diri berulang kali dengan SMM yang berubah-ubah, mengharungi gangguan rantaian bekalan dan sumber tenaga manusia, dan kekal berdaya tahan meskipun menghadapi kesukaran, terutama sekali bagi mereka yang berada dalam sektor-sektor yang teruk terjejas.



Berkat kerja keras dan kepintaran anda, kita telah dapat melindungi mata pencarian rakyat Singapura dan mempersiapkan diri kita untuk bangkit dengan lebih kukuh daripada pandemik ini.



Yang paling penting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pekerja penjagaan kesihatan kita. Anda telah banyak berkorban dan menanggung kos peribadi yang tinggi.



Bekerja syif panjang, hari demi hari, minggu demi minggu, sejak pandemik ini bermula. Kembali bertugas pada hari-hari rehat anda untuk menggantikan rakan sekerja yang dijangkiti virus. Bersabar menghadapi semua langkah keselamatan di hospital-hospital.



Menghadapi risiko terdedah kepada virus demi menjaga para pesakit. Disebabkan pengorbanan andalah, kita telah dapat mengekalkan kehidupan hampir seperti sedia kala sepanjang dua tahun lalu. Ada beberapa negara yang mengalami pemberhentian pekerja penjagaan kesihatan secara beramai-ramai.



Namun pasukan penjagaan kesihatan kita, para doktor dan jururawat tetap berdiri teguh dan melaksanakan tanggungjawab mereka. Justeru, kepada para pekerja penjagaan kesihatan dan barisan hadapan kita, dari lubuk hati saya dan bagi pihak negara yang terhutang budi kepada anda, saya ucapkan: Terima kasih!



Ke arah membina Daya Tahan terhadap Covid-19



Kini kita telah mencapai penanda penting dalam perjalanan Covid-19 kita. Sebahagian besar penduduk kita telah menjalani vaksinasi penuh, dan hampir semua orang yang layak mendapatkan dos penggalak telah berbuat demikian. Gelombang Omicron telah mencapai kemuncaknya dan sudah mula reda.



Oleh kerana kebanyakan daripada kita telah dijangkiti virus tersebut dan telah pulih, masyarakat kita kini mempunyai daya tahan tubuh yang lebih kuat.



Apa yang paling penting, sistem penjagaan kesihatan kita kekal berdaya tahan. Ia menghadapi tekanan yang ketara sewaktu kemuncak gelombang Omicron, tetapi ia dapat bertahan. Bebannya masih berat, tetapi tekanannya kini mula reda.



Dalam menilai sejauh dan sepantas mana untuk melonggarkan sekatan-sekatan, kami amat prihatin agar tidak menambah tekanan ke atas para pekerja dan sistem penjagaan kesihatan kita sehingga ke tahap yang tidak lagi dapat menampung jumlah kes.



Ia akan meletakkan beban yang tidak mungkin mampu digalas para pekerja penjagaan kesihatan, dan ini akan membahayakan ramai pesakit Covid-19 dan bukan pesakit Covid- 19 yang memerlukan rawatan segera.



Pada masa yang sama, kita mesti menimbangkan kos akibat SMM yang ketat ke atas perniagaan-perniagaan dan ekonomi, dan kesannya ke atas kanak-kanak yang perlu belajar, keinginan para belia untuk berinteraksi, keluarga-keluarga yang ingin menjalin ikatan, dan masyarakat yang berusaha untuk menjalin hubungan. Apabila diambil kira semua ini, kami percaya bahawa kami sekarang bersedia untuk mengambil langkah yang tegas ke arah menjalani kehidupan dengan Covid-19.



Pemerintah akan melaksanakan perubahan kepada SMM kita:



Pertama, kami akan menggandakan saiz kumpulan daripada 5 orang sekarang, kepada 10 orang.



Kedua, kami akan membenarkan sehingga 75 peratus daripada pekerja yang boleh bekerja dari rumah untuk kembali ke tempat kerja mereka.



Ketiga, kami akan menaikkan had kapasiti bagi acara-acara yang lebih besar (di mana terdapat lebih daripada 1,000 hadirin) hingga 75 peratus.



Keempat, pemakaian pelitup apabila berada di luar kini tidak akan diwajibkan. Ini kerana risiko jangkitan di luar bangunan adalah jauh lebih rendah. Tetapi di dalam bangunan, pelitup tetap wajib dipakai.



Akhir sekali, kami akan mengekalkan keperluan jarak selamat buat masa ini - satu meter antara kumpulan-kumpulan dalam situasi di mana pelitup tidak dipakai, untuk mengurangkan penularan dalam situasi-situasi sedemikian. Perubahan-perubahan ini akan berkuatkuasa mulai Selasa depan, 29 Mac.



Pada masa yang sama, kami akan melonggarkan dengan ketara kawalan perjalanan rentas sempadan. Sebelum ini, kami bersikap berhati-hati kerana kurang pasti akan kesan varian Omicron.



Kini, situasi varian Omicron dapat dikawal dengan baik. Hampir kesemua kes kita disebabkan jangkitan dalam masyarakat kita sendiri. Ketibaan pelawat dari luar negara membentuk hanya sebahagian kecil daripada jumlah kes.



Oleh itu, kita boleh membuka sempadan kita dengan selamat. Kami akan memperkemaskan dengan ketara keperluan ujian dan kuarantin bagi para pelawat. Rangka Kerja Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi yang dipermudahkan ini akan membolehkan rakyat Singapura ke luar negara dengan lebih mudah - hampir seperti keadaan sebelum wabak Covid-19. Ia juga akan melonggarkan kebanyakan sekatan bagi para pelawat yang sudah menjalani vaksinasi penuh untuk memasuki Singapura.



Ini akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia luar. Pembukaan ini akan memberi rangsangan yang amat diperlukan oleh perniagaan-perniagaan, terutama sekali sektor pelancongan, dan membantu Singapura merebut kembali kedudukan kita sebagai sebuah hab perniagaan dan penerbangan. MTF akan memberikan butir-butir lanjut.



Perubahan-perubahan di dalam negeri mahupun rentas sempadan ini melambangkan satu langkah penting menuju kehidupan bersama Covid- 19. Namun, kita masih belum boleh meniadakan langsung sebarang langkah kawalan. Kita tetap berwaspada kerana Covid-19 masih boleh membawa kejutan baru.



Terdapat beberapa negara yang mengambil pendekatan 'Hari Kebebasan' atau 'Freedom Day'. Mereka telah mengisytiharkan pandemik sudah berakhir dan melonggarkan kesemua sekatan secara serta-merta. Sekarang mereka sedang memantau situasi dengan cemas kerana bilangan jangkitan dan kematian mereka mula meningkat dengan pantas sekali lagi.



Kami memilih mengekalkan pendekatan berhati-hati, yang telah membuahkan hasil untuk kita semua sepanjang dua tahun yang lalu. Selepas langkah utama ini, kami akan memberikan sedikit masa untuk membolehkan keadaan stabil. Jika semuanya berjalan lancar, kami akan melonggarkan lagi kawalan.



Namun, kita juga harus bersiap sedia dari segi psikologi bahawa keadaan boleh menjadi lebih rumit pada masa hadapan. Dengan lebih banyak interaksi, kita juga mungkin akan menyaksikan gelombang baru kes jangkitan.



Dan Omicron bukanlah varian terakhir yang kita perlu tangani. Virus ini akan terus berkembang. Kami harap jangkitan varian-varian baru akan menjadi lebih ringan secara progresif dan lebih menyerupai demam selesema. Tetapi mungkin juga, mutan-mutan yang lebih agresif dan berbahaya akan muncul, sama seperti Delta.



Jika itu berlaku, kita mungkin perlu mundur dan mengetatkan semula langkah-langkah kawalan kita sekali lagi. Kita tidak boleh menolak kemungkinan ini akan berlaku, meskipun kita berharap langkah-langkah tersebut tidak perlu diambil.



Walau apapun yang berlaku, kini kami mempunyai pengetahuan dan keupayaan memastikan semua orang selamat. Contohnya, memberikan setiap orang satu lagi dos penggalak atau vaksin yang baru.



Jadi saya berharap anda memahami tujuan di sebalik pengumuman hari ini. Anda boleh menyambung semula kehidupan seperti biasa, menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam kumpulan yang lebih besar, keluar rumah tanpa memakai pelitup, atau bertemu semula dengan orang-orang yang tersayang di luar negara.



Tetapi jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya. Setiap seorang daripada kita harus tetap memainkan peranan kita. Patuhi SMM yang telah disemak. Jika anda berasa kurang sihat, lakukan ujian kendiri. Jika anda diuji positif, asingkan diri anda di rumah.



Jika anda diuji negatif, dan anda membuat keputusan untuk keluar rumah, harap pakai pelitup untuk melindungi orang lain, walaupun anda berada di luar rumah, sebagai langkah berjaga-jaga.



Marilah kita terus mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial kita. Untuk terus menjaga kesihatan kita, untuk terus menjaga keselamatan orang lain, untuk mengelakkan daripada membebankan para pekerja penjagaan kesihatan kita. Dengan cara itu, walaupun apabila masalah-masalah baru timbul, kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengawal keadaan dan dapat meneruskan usaha kita untuk mencapai kebiasaan yang baru."




" Marilah kita terus mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial kita. Untuk terus menjaga kesihatan kita, untuk terus menjaga keselamatan orang lain, untuk mengelakkan daripada membebankan para pekerja penjagaan kesihatan kita. Dengan cara itu, walaupun apabila masalah-masalah baru timbul, kita mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengawal keadaan dan dapat meneruskan usaha kita untuk mencapai kebiasaan yang baru.
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >