Sanggup beri khidmat gunting rambut walau lepas penat bekerja

BELIAU tidak kisah kakinya berasa sengal atau tubuhnya lelah berdiri lama berjam-jam, asalkan beliau dapat membantu penduduk kelihatan kemas dan rapi.

Setiap hujung minggu, Encik Zakaria Sukur, 55 tahun, akan memberi khidmat gunting rambut di kolong Blok 922, Tampines St 91.

Beliau bekerja sebagai seorang pegawai eksekutif keselamatan di tiga pusat beli-belah di Tampines dan bertugas dari Isnin hingga Jumaat.

Namun pada setiap hujung minggu, beliau mengetepikan sebahagian masanya dan mencapai gunting serta pisau cukur sebagai perkakas utamanya dalam menyediakan khidmat gunting rambut.

"Saya gemar memotong rambut penduduk di sini kerana saya suka melihat mereka gembira.

"Sudah bertahun saya mengenali mereka dan kami menjalin hubungan baik," kata beliau yang sudah memberikan khidmatnya di situ selama 16 tahun.

Pelanggannya merangkumi individu pelbagai peringkat umur, termasuk 'apek' dan pekerja Bangladesh.

Mereka duduk di kerusi di bawah blok itu sambil berbual sementara menanti giliran.

Dahulu, Encik Zakaria pernah membuka kedai gunting rambut sendiri tetapi kedai itu terpaksa ditutup kerana tempoh sewanya berakhir.

Kini, 'kedai' beliau di kolong blok itu dilengkapi dua kerusi besi antik, cermin dan perkakas gunting rambut.

Encik Zakaria memulakan khidmatnya dari 9 pagi hingga 2 petang. Beliau menerima sekitar 20 pelanggan sehari.

"Kadangkala kalau saya terbangun lambat, penduduk yang ingin rambut mereka dipotong akan telefon kejutkan saya.

"Walaupun berasa penat, saya dengan sungguh hati membantu mereka agar kelihatan kemas, sambil berinteraksi dan mengenali mereka," katanya yang tinggal di daerah itu juga.

Pelanggan pelbagai umur dan bangsa itu merupakan pelanggan tetapnya yang enggan ke kedai gunting rambut lain kerana sudah biasa dengan Encik Zakaria.

"Saya tidak meletakkan harga. Terpulanglah kepada mereka berapa mereka ingin beri.

"Biasanya pelanggan akan membayar lebih. Ada pula yang tidak memberi bayaran tetapi saya tidak kisah, saya ikhlaskan sahaja," kata bapa tiga anak berusia 27, 25 dan 17 tahun itu.

Encik Zakaria dan penduduk yang lalu-lalang di blok itu selalu saling bertanya khabar.

"Ada yang datang menggunakan kerusi roda dan ramai juga dari pusat dialisis berdekatan.

"Bagi pelanggan yang sakit terlantar, saya akan ke rumah mereka memberi khidmat saya.

"Saya gembira dapat memberi sumbangan kepada masyarakat cara begini.

"Ia sangat bermakna bagi saya dapat membantu mereka, terutama yang susah, sakit dan lanjut usia," ujar beliau.


"Bagi pelanggan yang sakit terlantar, saya akan ke rumah mereka memberi khidmat saya. Saya gembira dapat memberi sumbangan kepada masyarakat cara begini.
Ia sangat bermakna bagi saya dapat membantu mereka, terutama yang susah, sakit dan lanjut usia."

- Encik Zakaria Sukur.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:13
Maghrib
6:51
Isyak
8:04
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.