Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan

Saran 'bonus' gaji untuk galak pekerja gaji rendah tingkat kemahiran

Sharael: Majikan mainkan peranan wujudkan peluang bagi pekerja
Mar 02, 2022 | 06:14 AM



DEMI menggalak pekerja bergaji lebih rendah untuk terus mempertingkat kemahiran, Anggota Parlimen (AP) Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) menggalak pemerintah mempertimbang 'bonus' gaji tahunan atau skim gaji tambahan berperingkat untuk ditawarkan kepada pekerja yang memanfaatkan kredit Skillsfuture atau menyertai latihan dan kursus.



Berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan di Parlimen semalam, Encik Sharael menambah dorongan ini penting kerana sedang syarikat-syarikat melalui transformasi untuk meningkat pertumbuhan produktiviti, majikan juga memainkan peranan untuk mewujudkan peluang bagi pekerja untuk mempertingkat kemahiran supaya lebih bersedia menghadapi masa depan.



"Saya percaya lebih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk membantu pekerja bergaji lebih rendah.



"Kita perlu memastikan produktiviti terus meningkat supaya pertumbuhan gaji kekal mampan. Pekerja bertanggungjawab untuk mempertingkat kemahiran, namun majikan juga memainkan peranan dalam mewujudkan peluang bagi pekerja," katanya.



Menurut Encik Sharael, golongan tersebut akan meraih manfaat daripada kenaikan gaji di bawah Model Gaji Progresif (PWM) yang dilaksanakan dalam beberapa sektor, serta skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) yang dipertingkat.



Namun, lebih banyak usaha perlu dilakukan demi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) menyesuaikan perniagaan mereka agar pekerja bergaji lebih rendah dapat diberikan skop kemajuan kerjaya yang lebih baik dan dapat menjadi lebih produktif dalam menyumbang pada masa akan datang, katanya.



Selaras dengan itu, demi mempersiapkan negara menghadapi cabaran pascapandemik, AP Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) berkata Singapura perlu meneroka sumber pendapatan yang pelbagai untuk menambah pendapatannya.



Katanya, meskipun pemerintah telah menggunakan sebahagian rizab negara dalam menghadapi krisis Covid-19, "ini bukan sesuatu yang berterusan".



"Kita perlu mengambil langkah untuk mengurangi defisit belanjawan akan datang," ujarnya.



Antaranya beliau mengusulkan bajet atau peruntukan yang disatukan dari pelbagai kementerian untuk menangani sebarang krisis masa depan.



Ini, menurut beliau, akan memberikan gambaran yang lebih tepat tentang perbelanjaan bukan berkaitan krisis oleh kementerian atau agensi tertentu.



Rizab negara juga perlu dibina memandangkan Singapura tidak mempunyai sumber asli lain, katanya.



Justeru, Encik Zhulkarnain menyarankan agar Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan sasaran dalam tempoh lima tahun akan datang, untuk melabur semula lebih banyak dari pulangan pelaburan agar dapat membina rizab negara selain meneroka lebih banyak aliran hasil untuk menambah pendapatan pelaburannya.



"Sekarang merupakan masanya untuk kita menambah rizab negara untuk generasi akan datang.



"Kita perlu memastikan Singapura bukan sahaja dapat bertahan dan terus berkembang selepas pandemik ini malah lebih bersedia menghadapi cabaran dan pandemik masa depan," ujarnya.




"Meskipun pemerintah telah gunakan sebahagian rizab negara dalam menghadapi krisis Covid-19, ini bukan sesuatu yang berterusan. Kita perlu mengambil langkah untuk mengurangi defisit belanjawan akan datang."

- AP Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang)




"Kita perlu memastikan produktiviti terus meningkat supaya pertumbuhan gaji kekal mampan. Pekerja bertanggungjawab untuk mempertingkat kemahiran, namun majikan juga memainkan peranan dalam mewujudkan peluang bagi pekerja."
- Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >