Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CEKAL HARUNGI CABARAN

'Saudara baru' gagahi berpuasa pada Ramadan pertamanya...

May 25, 2019 | 05:30 AM



RAMADAN ini merupakan salah satu "tempoh terpanjang" dalam kehidupannya di mana Cik Nur Inaya atau namanya sebelum memeluk Islam, Low Jia Hui Xandra, perlu menahan lapar dan dahaga.



Manakan tidak, tahun ini adalah Ramadan beliau yang pertama.



"Sebelum saya memeluk agama Islam, saya berfikiran Ramadan sekadar menahan lapar buat masa yang lama untuk memahami perasaan mereka yang miskin.



"Tetapi kini saya sudah belajar dan sedar ia lebih daripada itu... Ramadan adalah masa untuk jauhkan diri daripada mengejar kesenangan dunia," ujar mualaf berusia 33 tahun itu yang baru memeluk Islam pada November tahun lalu.



Beliau juga merupakan peserta Mudik Ke Hulu, program pembuangan tatu anjuran Masjid Tentera Diraja yang juga membantu peserta melangkah ke hadapan berasaskan pengajaran agama.



Berkongsi pengalamannya berpuasa, Cik Inaya berkata bahawa beliau belum mampu berpuasa penuh sejauh ini disebabkan penyakit kencing manis jenis satu (memerlukan rawatan suntikan insulin) yang dihidapnya, di mana beliau perlu mengawal tahap gula dalam darah.



Dalam sehari, beliau perlu menyuntik insulin sebanyak lima kali.



"Saya sedang mengambil perubatan insulin, oleh itu saya perlu pastikan ia tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah... saya masih cuba untuk menyesuaikan tahap insulin saya," katanya.



Bagaimanapun, beliau cuba untuk menjalani ibadah puasa sebaik mungkin.



"Selalunya, saya akan berpuasa sehingga sekitar 4 atau 5 petang, sehingga tahap gula dalam darah saya terlalu rendah lantas memerlukan saya untuk makan atau minum sesuatu," ujarnya.



Walaupun ini merupakan Ramadan pertamanya, Cik Inaya, yang bertugas sebagai seorang paramedik, berkata beliau amat berterima kasih kerana ada rakan-rakan Islam yang turut membimbingnya dalam menjalankan ibadah berpuasa.



Menyentuh tentang keluarganya, Cik Inaya berkata beliau bersyukur kedua ibu bapanya yang beragama Buddha menyokong keputusannya.



"Kami orang Cina Kantonis. Orang kantonis suka dengan sup, oleh itu ibu saya akan menukar supnya kepada sup ayam," kongsi anak sulung dalam keluarga dua beradik itu.



Cik Inaya berkata tidak mengapa jika mereka belum betul-betul memahami pemakanan orang Islam, kerana beliau tahu ia memerlukan masa.



Hari Raya ini, Cik Inaya akan menyambutnya bersama rakan-rakannya yang lain yang telah menjemputnya ke rumah mereka.



Bahkan, beliau sudahpun membeli kebaya.



Katanya: "Saya ghairah untuk menyambut Raya kerana ini kali pertama saya meraikannya... Rakan-rakan saya peramah dan suka menerima tetamu. Ini adalah antara perkara yang saya suka sebagai seorang Muslim, bagaimana agama ini terbuka, menitik beratkan kekeluargaan dan penuh belas kasihan."




"Saya sedang mengambil perubatan insulin, oleh itu saya perlu pastikan ia tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah... saya masih cuba untuk menyesuaikan tahap insulin saya,” katanya. Selalunya, saya akan berpuasa sehingga sekitar 4 atau 5 petang, sehingga tahap gula dalam darah saya terlalu rendah lantas memerlukan saya untuk makan atau minum sesuatu. "
– Cik Nur Inaya yang menyambut Ramadan buat kali pertama tahun ini selepas memeluk Islam pada November tahun lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >