Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KORONAVIRUS

Sebilangan keluarga batalkan percutian ke luar negara

Susuli langkah pemerintah umum beberapa sekatan tambahan ke atas pengunjung yang masuk Singapura
Mar 17, 2020 | 05:30 AM



SEGALA perancangan sudah dibuat sementara hotel serta tiket penerbangan dan feri pun sudah ditempah bagi percutian minggu ini.



Namun, bagi sebilangan keluarga yang dihubungi Berita Harian itu, mereka terpaksa mengubah rancangan dan menghabiskan masa sempena cuti sekolah minggu ini di dalam negara sahaja.



Ini menyusuli langkah pemerintah mengumumkan beberapa sekatan tambahan ke atas pengunjung yang memasuki negara ini mulai 11.59 malam tadi, sebagai sebahagian usaha mengurangkan kes import jangkitan koronavirus, Covid-19.



Semua pengunjung yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Asean, Jepun, Switzerland dan United Kingdom dalam tempoh 14 hari lalu akan diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN) selama 14 hari.



Sekatan ini turut dikenakan bagi penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pengunjung ke Singapura buat tempoh jangka pendek.



Pengumuman itu membuat sesetengah warga seperti Cik Eliyah Osman, 46 tahun, memutuskan membatalkan percutian keluarga mereka ke Bintan dari Khamis hingga Ahad ini.



Menurut pengurus projek itu, mereka telah merancang mahu bercuti di Club Med Bintan sejak September lalu dan sedih kerana kini harus membatalkan percutian mereka.



Tambahnya, mereka boleh menukar rancangan dengan menaiki bas ke Club Med Cherating tetapi memutuskan tidak keluar negara pada ketika ini.



Sekatan perjalanan itu tidak dikenakan bagi rakyat Singapura dan Malaysia yang memasuki Singapura dari Malaysia menerusi pusat pemeriksaan laut dan darat.



"Kami tahu kalau kami tukar rancangan untuk ke Cherating dengan menaiki bas, kami dapat mengelak daripada sekatan itu.



"Tapi kami sekeluarga sudah berbincang dan memutuskan tidak pergi.



"Anak-anak hampa tapi mereka cukup matang dan kata mereka, kalau langkah membatalkan percutian ini adalah satu langkah yang bertanggungjawab, mereka akan patuh," ujar ibu lima anak itu yang juga telah membatalkan cuti tahunannya supaya dapat digunakan pada masa lain.



Mujur, hotel yang ditempahnya membenarkan tempahan penginapan mereka minggu ini digunakan pada masa lain juga.



Namun, bagi sesetengah keluarga, mereka terpaksa menanggung kos tempahan hotel sendiri selepas membatalkan percutian mereka.



Menurut Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, 42 tahun, beliau sepatutnya berangkat ke Langkawi bersama isteri dan tiga anak mereka Rabu ini.



Mereka, bagaimanapun, akan menghubungi syarikat penerbangan Scoot untuk cuba mendapatkan pengembalian wang bagi tiket yang sudah ditempah itu.



Encik Saiful Amri, seorang pekerja bebas dalam bidang teater, berkata beliau akan menghabiskan masa jalan-jalan di dalam negara bersama anaknya dan memanfaatkan potongan harga yang ditawarkan sesetengah tarikan di sini.



"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana tidak mahu pekerjaan saya dan isteri serta persekolahan anak-anak terjejas dengan SHN 14 hari itu kalau kami teruskan juga dengan perjalanan kami. Ini yang terbaik bagi semua orang," ujarnya.



Namun, bukan keluarga yang mempunyai anak yang masih bersekolah sahaja yang terjejas dek sekatan yang baru diumumkan itu.



Sekumpulan warga emas dari Singapura yang merancang ke Kelantan minggu ini untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di sana juga terpaksa membatalkan rancangan mereka.



Antara mereka termasuk Cik Rozlin M. Tahir, 60 tahun, yang mengendali gerai makanan di kantin sebuah sekolah rendah di sini.



"Minggu ini cuti sekolah, sebab itu saya nak ikut keluarga saya termasuk suami dan ibu mentua ke Kelantan.



"Lagipun, kali terakhir saya ke sana ialah waktu saya masih anak dara lagi, jadi terkilan jugalah," ujarnya.



Namun, bagi ibu empat anak itu, keputusan membatalkan percutian mereka wajar dan beliau tidak mahu mengambil sebarang risiko, memandangkan beliau akan terdedah kepada ramai kanak-kanak di tempat kerjanya apabila beliau kembali bertugas.



"Ada kebaikan jugalah. Saya boleh luangkan masa dengan keluarga di rumah dan kemas-kemas sikit apa yang patut," ujarnya.



Sementara itu, pengasas syarikat GTC Singapore Services Events & Management yang bekerjasama dengan rakan kerja luar negara untuk membawa rombongan pelancong ke sana, Cik Nurijah Sahat, berkata beliau sepatutnya membawa rombongan 15 orang dari Singapura ke India pada 14 Mac lalu sehingga 20 Mac ini.



Namun, rancangan itu terpaksa dibatalkan ekoran sekatan yang dikenakan pemerintah India baru-baru ini.



Oleh itu, Cik Nurijah berkata pihaknya telah berhubungan dengan syarikat penerbangan dan perlu memberi tarikh keberangkatan yang baru.



"Buat masa ini, kami hanya dapat memberi tarikh keberangkatan baru sebagai pertengahan Disember.



"Kami pun tak tahu adakah Covid-19 ini akan terus menular sehingga waktu itu tetapi kami harap sudah tidaklah nanti," ujarnya.



Tambahnya, syarikatnya tidak dapat mengembalikan wang kepada pelanggan yang telah menempah pakej berharga $1,850 itu kerana segala tempahan telah dibuat.



Namun, pelanggan boleh menangguhkan perjalanan mereka tanpa sebarang bayaran tambahan atau menjual pakej itu kepada orang lain.




"Anak-anak hampa tapi mereka cukup matang dan kata mereka, kalau langkah membatalkan percutian ini adalah satu langkah yang bertanggungjawab, mereka akan patuh."
- Cik Eliyah Osman memutuskan membatalkan percutian keluarga mereka ke Bintan dari Khamis hingga Ahad ini.




"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana tidak mahu pekerjaan saya dan isteri serta persekolahan anak-anak terjejas dengan SHN 14 hari itu kalau kami teruskan juga dengan perjalanan kami. Ini yang terbaik bagi semua orang."
- Encik Saiful Amri, pekerja bebas dalam bidang teater.




"Minggu ini cuti sekolah, sebab itu saya nak ikut keluarga saya termasuk suami dan ibu mentua ke Kelantan. Lagipun, kali terakhir saya ke sana ialah waktu saya masih anak dara lagi, jadi terkilan jugalah."

- Cik Rozlin M. Tahir, 60 tahun, pengendali gerai makanan di kantin sekolah rendah.




"Buat masa ini, kami hanya dapat memberi tarikh keberangkatan baru sebagai pertengahan Disember. Kami pun tak tahu adakah Covid-19 ini akan terus menular sehingga waktu itu tetapi kami harap sudah tidaklah nanti."
- Cik Nurijah Sahat, pengasas syarikat GTC Singapore Services Events & Management.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >