Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sedia bimbingan bagi bekas pesalah

Dec 07, 2022 | 05:30 AM



SPESIALIS Pemulihan Pembetulan, Encik Muhammad Hariz Husaini, mengendali kes bekas pesalah berisiko tinggi, daripada penagih dadah, pesalah serangan seksual kepada ahli samseng di Rumah Peralihan Selarang, di bawah Skim Penjagaan Luar Penjara (Aftercare) Mandatori.



Skim itu memberi pengawasan sehingga dua tahun bagi pesalah tersebut yang berupaya melakukan kesalahan semula atau memerlukan lebih banyak sokongan.



Menurut Encik Hariz, 29 tahun, juga jurulatih sambilan dalam Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), kerja mengurus pesalah sedemikian merupakan kerja yang membabitkan semangat emosi dan peribadi yang teguh dengan teknik campur tangan berlandaskan psikologi yang kadang kala melangkaui buku teks.



Ini dilakukan dengan mencari cara menggalak mereka bermuhasabah tentang perbuatan dan keadaan sekeliling mereka supaya mereka sedar mengapa mereka asyik terdorong mengulangi jenayah lantas membolehkan mereka membuang tabiat lama dengan sendiri.



Encik Hariz, yang memikul tanggungjawab mencipta latihan berkait isu penagihan bagi kakitangan baru dan lama sebagai ketua latihan dan pakar subjek kumpulan bertugas dalam Komand Pemulihan Masyarakat (COMC) di SPS turut dinobat sebagai penerima Anugerah Jurulatih (Sambilan) Terbaik Home Team semasa majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Latihan Home Team (Trax) semalam.



Dalam kerjayanya sepanjang tiga tahun itu, Encik Hariz yang juga mangsa keganasan dalam keluarganya dahulu berkata, beliau pernah membantu seorang pesalah degil menjadi bersih daripada dadah sekitar dua tahun sehingga kini buat pertama kali dalam hidupnya.



Beliau berbuat demikian dengan menggantikan emosi negatif yang mendorongnya melakukan jenayah dengan menitik beratkan sifatnya yang positif.



Menurut Encik Hariz, beliau dapat tahu bahawa salah satu punca pesalah itu mengambil dadah adalah rumah tangga yang berkelakuan ganas terhadapnya sehingga dadah menjadi laluan keluar daripada sengsaranya.



"Saya dapat tahu, apabila dia berulang kali keluar dari penjara dan pulang ke masalah seperti itu, dia akan mencari produk perubatan tertentu yang tidak tersenarai sebagai jenis dadah haram untuk menjadi 'high'. Rupa-rupanya, orang di rumah sering menganiayanya dan dia pula menganggap dirinya sebagai seorang yang tak berguna," kata Encik Hariz.



"Namun apabila saya lihat latar belakangnya, terdapat beberapa titik hidupnya yang mana dia boleh dianggap melakukan sesuatu perbuatan baik, seperti selamatkan anak tirinya daripada bahaya," tambahnya.



"Jadi saya beritahunya, sebenarnya anda seorang yang baik hati dan seorang yang penyayang, dan prihatin terhadap mereka yang turut alami masalah serupa seperti awak. Jadi mengapa anda asyik kembali kepada dadah?"



Itu hanya salah satu kes yang Encik Hariz sudi berkongsi, namun terdapat beberapa lagi kes yang diceritakan yang membabitkan cara kaunseling luar biasa.



Menurut Encik Hariz yang dahulu seorang kaunselor di Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) sepanjang setahun, apabila beliau mula kerja baru ini dengan SPS, beliau tidak tahu sama ada cara bimbingan seperti itu akan menjadi berkesan.



Namun beberapa kes yang telah dikendalikannya menjadi sumber rujukan bagi pegawai pemulihan dan kaunselor lain.



Beliau, sebagai jurulatih sambilan juga menyediakan beberapa sumber pembelajaran dalam talian dengan menggunakan animasi seperti menunjukkan senario tentang kes penagihan serta cabaran ketika membimbing pesalah.



Beliau berkata kerja sebagai pembimbing pembetulan bukan setakat memberi pertanyaan, "apa khabar sahaja."



"Terutamanya sebagai pembimbing kepada bekas pesalah berisiko tinggi, tugas kami perlukan kami membuang andaian atau konsepsi yang diperoleh dari luar, seperti dari televisyen, tentang mengapa pesalah berulang kali masuk penjara.



"Sering kali, terdapat sesuatu dari segi latar belakang mereka yang menjadi punca di balik penagihan mereka atau mendorong mereka pulang ke kancah jenayah, namun mereka menyimpannya sebab di dalam penjara, face value itu penting bagi mereka kerana rakan-rakan mereka turut berada di dalam.



"Jadi masalah itu sentiasa terpendam supaya mereka dapat mengekalkan diri mereka sebagai seorang yang kuat," kata Encik Hariz.



Mengenai anugerah Trax itu, Encik Hariz berkata beliau rasa berbesar hati kerana ia satu pengiktirafan dan tanda bahawa cara beliau mengendali kes itu diterima.



"Saya telah mendidik pelbagai kaunselor dan relawan daripada pelbagai latar belakang. Tugas membimbing pesalah ini bukan setakat satu tugas kebaikan kepada masyarakat tetapi tugas yang serius dan memerlukan latihan mendalam agar kami dapat membina program pemulihan yang berkesan.



"Dengan anugerah ini, saya rasa apa yang saya telah kongsi, dan cara saya menyampaikan khidmat saya itu diterima, dan saya berharap untuk terus berkongsi ilmu ini kepada orang lain."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >