JENAZAH Allahyarham Othman Wok akan meninggalkan kediamanya di Kew Drive dekat Bedok Road menuju ke Masjid Sultan bagi solat jenazah pada 12.15 tengah hari ini.
Selepas solat jenazah, keranda Allahyarham akan diselubungi bendera Singapura, disaksikan keluarga beliau. Bendera negara itu akan menyelubungi keranda Allahyarham dengan lambang bulan sabit dan lima bintang ditempatkan di atas kepala dan dekat jantungnya.
Pingat Darjah Utama Nila Utama, melambangkan pencapaian Allahyarham, juga akan mengiringi jenazahnya.
Sekitar 2 petang, pedati meriam yang membawa jenazah Allahyarham akan menuju ke Pusara Aman menerusi North Bridge Road, North Boat Quay dan River Valley Road sehingga Alexandra Road, Commonwealth Avenue, Commonwealth Avenue West dan Clementi Avenue 6 sebelum memasuki Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) dan Jalan Bahar.
Di Pusara Aman, jenazah Allahyarham akan disambut Pasukan Pengusung Keranda termasuk sembilan pegawai daripada Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udara serta Pasukan Polis Singapura.