Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semakin ramai wanita dalam sektor pertumbuhan dan Stem, jadi PMET

Jan 13, 2022 | 05:30 AM



LEBIH ramai wanita kini menyertai sektor pertumbuhan, membentuk 52.8 peratus dalam sektor infokom, khidmat kewangan, serta khidmat kesihatan dan sosial, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), Cik Gan Siow Huang.



Meskipun perangkaannya lebih rendah, jumlah wanita yang melakukan pekerjaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) juga telah meningkat - daripada 29.9 peratus pada 2015 kepada 32.4 peratus pada 2020.



Cik Gan berkongsi perangkaan itu ketika menjawab soalan Cik Cheryl Chan (GRC East Coast) dan Cik Tin Pei Ling (MacPherson) berkenaan penyertaan wanita dalam sektor pertumbuhan di Parlimen semalam.



Beliau juga berkata jumlah PMET wanita juga bertambah sepanjang 10 tahun lalu, daripada 41.1 peratus pada 2010 kepada 45.6 peratus pada 2020.



Menurutnya, satu kajian Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bersama Profesor Madya Jessica Pan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai Jurang Gaji Jantina Terlaras Singapura pada 2019 menunjukkan perbezaan nisbah jantina dalam pekerjaan mungkin disebabkan keperluan berbeza antara lelaki dan wanita.



"Kajian itu mendapati perbezaan dalam nisbah jantina merentas pekerjaan mungkin disebabkan perbezaan jantina dari segi personaliti dan sifat psikologi, kemahiran, nilai berbeza yang diletakkan pada fleksibiliti di tempat kerja, dan juga norma sosial," kata beliau.



Menjawab soalan mengenai sokongan bagi individu bekerja mempunyai tanggungjawab menjaga anak dan/atau ibu bapa, Cik Gan berkata pemerintah menyediakan bantuan kepada mereka dalam beberapa cara.



Ini termasuk melalui geran dan khidmat penjagaan bersubsidi, menggalak amalan aturan kerja fleksibel (FWA), dan program latihan.



Antara lain, semua keluarga yang mempunyai anak warga Singapura yang dimasukkan ke tajaka berlesen daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) menerima Subsidi Asas universal. Keluarga yang layak turut menerima subsidi tambahan berdasarkan ujian pendapatan.



Warga Singapura yang layak juga boleh mendapat subsidi hingga 80 peratus bagi khidmat penjagaan warga emas bukan di rumah, seperti khidmat di pusat jagaan siang dan pusat pemulihan siang hari.



Bagi menggalak majikan melaksana FWA, pemerintah antara lain membangunkan sumber seperti panduan pelaksanaan dan templat dasar FWA, dan mengadakan bengkel bagi membimbing majikan.



Wanita mahu bekerja semula atau melakukan pekerjaan sepenuh masa pula boleh memanfaatkan program dan khidmat pemudahan pekerjaan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan juga program latihan SkillsFuture Singapura (SSG), kata Cik Gan.



Ini termasuk Program Percubaan Kerjaya yang menyediakan tempoh percubaan kerja hingga tiga bulan bagi peserta menentukan kesesuaian pekerjaan, dan Program Penukaran Kerjaya yang menyediakan latihan dan sokongan gaji kepada majikan yang menggajikan dan mempertingkat kemahiran pemohon kerja pertengahan kerjaya bagi pekerjaan baru.



Pemerintah juga telah memperkenal dan mempertingkat langkah-langkah sejak beberapa tahun lalu bagi membantu semua rakyat Singapura, termasuk individu mempunyai tanggungjawab menjaga anak dan/atau ibu bapa, membina simpanan mencukupi untuk persaraan.



Misalnya, Skim Ihsan Senja dipertingkat tahun lalu dan menyediakan bayaran hingga $900 setiap suku tahun kepada warga emas yang dahulunya berpendapatan rendah dan kini tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan.



Cik Gan berkata sekitar dua pertiga penerima bantuan di bawah skim itu merupakan wanita, termasuk ramai yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga.



"Pemerintah akan terus menyemak usaha serampang berbilang mata kami demi memastikan individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga disokong dengan baik.



"Maklum balas daripada Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura mengenai sokongan lebih besar bagi penjaga juga akan dipertimbangkan bagi Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura akan datang," kata beliau.




"Pemerintah akan terus menyemak usaha serampang berbilang mata kita demi memastikan individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga disokong dengan baik."
- Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), Cik Gan Siow Huang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >