Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUMBANGAN DERMA KEPADA BADAN AMAL

Semangat dermawan tidak hilang semasa pandemik

Langkah sediakan wadah digital mungkin faktor derma badan Melayu/Islam meningkat pada 2020
Dec 24, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN dilanda cabaran dek pandemik Covid-19, semangat memberi masyarakat tidak terputus, bahkan lebih mencurah dalam waktu kesusahan, dengan beberapa badan Melayu/Islam di sini menyaksikan peningkatan dalam jumlah derma yang diterima pada 2020.



Sebahagian besar badan-badan tersebut memberitahu Berita Harian (BH) bahawa peningkatan dalam jumlah derma yang dilihat di tengah-tengah pandemik itu mungkin disebabkan langkah menyediakan wadah dalam talian bagi masyarakat menyumbang secara digital semasa pandemik.



Ini ekoran acara dan kegiatan pengumpulan dana yang terpaksa dibatalkan atau dikurangkan dek langkah-langkah sekatan yang dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19 pada ketika itu.



AMP Singapura berkongsi bahawa badannya mencatatkan peningkatan hampir 40 peratus bagi pungutan dana buat tahun kewangan 2020/2021 berbanding tahun kewangan 2019/2020.



Ini setelah badan itu melancarkan laman derma ampdonate.sg bagi orang ramai menyumbang secara digital seperti menerusi kad kredit atau debit, dan PayNow, selain menerima lebih banyak geran bagi badan amal dari pemerintah.



Di samping itu, mereka mengadakan kempen pengumpulan dana khusus untuk pandemik.



Misalnya, sekumpulan sukarelawan menggunakan pendekatan crowdfunding, atau pendanaan awam, untuk mengumpul lebih $100,000 bagi program TAP 2.0 AMP, yang dikhususkan bagi pekerja dan keluarga yang diberhentikan kerja atau pendapatan terjejas dek pandemik.



Pengurus pengumpulan dana AMP, Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, berkata dek Covid-19, badan itu tidak dapat menjalankan beberapa acara pengumpulan dana, seperti acara golf amal, dan makan malam amal sempena ulang tahun mereka yang ke-30 disebabkan aturan jarak selamat dan had sosial yang ada pada masa itu.



Sebahagian penderma mereka juga lebih selesa menderma menerusi pengiriman cek ataupun mengunjungi pejabat AMP.



"Dengan adanya sekatan Covid-19, lebih sukar untuk mereka menderma melalui cara-cara tersebut. Dengan itu, kami mempercepatkan rancangan kami untuk menyediakan portal derma kami agar para penderma diberikan kemudahan untuk menderma secara digital.



"Kami juga menggunakan wadah-wadah derma yang sedia ada seperti giving.sg untuk meluaskan lagi jangkauan kami," kata beliau.



Di Pertapis pula, eksekutif komunikasi korporat, Encik Muhaimin Ali, berkongsi bahawa badan itu telah memperbaharui laman mereka dan memperkenalkan kaedah pembayaran digital, seperti PayNow dan giving.sg, bagi orang ramai menyumbang.



Beliau menambah bahawa jumlah derma yang dipungut badan itu pada 2019 dan 2020 tiada banyak perbezaan.



Sementara itu, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) menyaksikan sumbangan derma meningkat anggaran 2 peratus pada 2020 daripada tahun sebelumnya, tidak termasuk geran yang diterima.



Badan yang menyediakan bantuan kewangan bagi pendidikan itu juga telah beralih memanfaatkan wadah dalam talian demi melengkapi cara tradisional memohon derma melalui surat rayuan.



"Dengan cara pemasaran yang betul dan mengamalkan pendekatan kesedaran awam, kami dapat menyelaraskan penderma kami dengan kaedah derma dalam talian. Ini mewujudkan kesedaran tentang kemudahan membuat derma awam.



"Dengan menggabungkan cara tradisional dengan wadah dalam talian baru, kami dapat meneruskan kaedah pengumpulan dana kami," kata LBKM.



Presiden Darul Arqam, Encik Adam Foo, pula berkongsi kebanyakan acara mereka telah diadakan dalam talian semasa pandemik selepas semua kegiatan fizikal dibatalkan dek sekatan Covid-19.



Jumlah derma yang dikumpulkan persatuan itu mencapai paras terendah pada 2020 selepas bangunan mereka terpaksa ditutup akibat sekatan Covid-19, tetapi kembali meningkat lebih seganda - daripada $155,616 pada 2020 kepada $356,595 tahun lalu - selepas pembukaan semula.



Dalam pascapandemik ini, Darul Arqam kini dapat mengadakan semula perbincangan dan kegiatan fizikal mereka.



Antaranya, kaunter zakat mereka dibuka setiap hari, dan mereka telah melancarkan Projek Ansar yang bertujuan membantu mualaf bagi tempoh dua tahun, dari mula mereka memeluk Islam, semasa Ramadan lalu.



"Bagi Ramadan tahun depan, kami merancang mempunyai Gerai Ramadan di premis Darul Arqam bagi meningkatkan kunjungan tetap ke persatuan kami dengan harapan menarik lebih ramai memenuhi kewajipan zakat mereka dan menderma kepada persatuan kami," kongsi Encik Foo.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >