Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Semangat kental pesakit ginjal lahirkan cahaya mata

Mar 09, 2023 | 05:30 AM



DISAHKAN menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada 2017, Cik Nur Fadilah Abdul Halim tahu harapannya untuk bergelar ibu semakin nipis.



Namun, Cik Fadilah, 25 tahun, mula menaruh harapan yang baru apabila mendapat tahu beliau hamil pada Jun tahun lalu.



Dengan bantuan pasukan pakar daripada Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Fadilah berjaya melahirkan bayi perempuannya, Nur Qiara Yareesa Muhammad Farihin Farkhan, yang sihat seberat 1.9 kilogram.



Kata suri rumah itu, beliau sebenarnya tidak merancang untuk hamil sehingga setelah beliau menerima pemindahan buah pinggang.



"Dengan keadaan kesihatan saya, saya tahu terdapat pelbagai cabaran yang saya akan hadapi sekiranya hamil.



"Apabila saya melakukan kajian sendiri melalui Google, saya tahu risikonya tinggi bagi saya dan bayi.



"Jadi, saya dan suami tidak merancang untuk mempunyai anak semasa tempoh ini," kata Cik Fadilah, yang telah berada dalam senarai menunggu pemindahan buah pinggang selama empat tahun.



Ketika beliau ke NUH, beberapa risiko telah diketengahkan bagi kedua-duanya Cik Fadilah dan suami, Encik Muhammad Farihin Farkhan Nashir.



Antara risiko kehamilan bagi kedua-dua ibu dan bayi termasuk tekanan darah tinggi (termasuk keadaan serius yang dikenali sebagai eklampsia) dan anemia yang boleh memudaratkan ibu dan anaknya.



Terdapat juga risiko tinggi bayinya dilahirkan pramatang, kurang 32 minggu dan mereka biasanya lebih kecil daripada bayi ibu yang mempunyai fungsi buah pinggang yang normal kerana pertumbuhan yang terhad dalam rahim.



Walau terdapat pelbagai risiko, Cik Fadilah dan suaminya tidak berputus asa.



Kata Encik Farihin, 24 tahun:



"Ini adalah satu keajaiban yang diberi Tuhan.



"Jadi mengapa harus kita berputus asa. Kami mengambil kejadian ini sebagai satu hadiah dan terus cuba sedaya upaya untuk membawa bayi kami ke dunia dengan selamat," tambahnya, yang merupakan pemilik perniagaan cuci kereta.



Sepanjang lapan bulan, Cik Fadilah menerima sokongan daripada pasukan penjagaan khusus di Pusat Buah Pinggang NUH serta Klinik Kehamilan Berisiko Tinggi daripada Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) NUH untuk membantunya menguruskan cabaran yang mendatang.



Menurut NUH, kes ini merupakan kes kehamilan pesakit dialisis pertama dalam 20 tahun di hospital itu.



Diketuai oleh Dr Sabrina Haroon Wong, Perunding Kanan, Bahagian Nefrologi, Jabatan Perubatan, Pusat Buah Pinggang NUH menyelia pesakit dialisis berisiko tinggi serta pesakit dialisis berkeperluan khas.



"Antara cabaran terbesar bagi kehamilan Cik Fadilah adalah menangani tekanan darahnya.



"Pengeluaran air dan jumlah air yang beliau ada dalam badannya berkaitan secara langsung kepada tekanan darah pesakit dialisis kerana mereka tidak mengeluarkan kencing.



"Jadi, pengeluaran air yang tepat dan juga perubatan yang betul adalah penting," kata Dr Wong.



Profesor Madya Chan Shiao-Yng, Perunding Kanan, Bahagian Perubatan Ibu dan Janin, Jabatan (O&G), NUH; pasukannya yang menangani kehamilan berisiko tinggi; dan Dr Titus Lau, Perunding Kanan, Bahagian Nefrologi, Jabatan Perubatan, NUH juga terlibat rapat dalam penjagaan Cik Fadilah.



Sepanjang kehamilannya, Cik Fadilah harus menjalani dialisis khusus, hemodiafiltration, enam kali seminggu.



Sebelum ini, Cik Fadilah hanya perlu menjalani hemodialisis sebanyak empat kali seminggu, selama empat jam sekali.



Berbanding kepada hemodialisis konvensional, hemodiafiltration mengeluarkan lebih banyak bahan larut berat molekul sederhana.



Menjelang 6.30 pagi setiap hari, Cik Fadilah akan duduk di kerusi dialisis untuk menjalani dialisis di Pusat Buah Pinggang NUH selama hampir tujuh jam sebelum pulang rehat.



Mengulas tentang rutin itu, Cik Fadilah hanya dapat mengukir senyuman kecil.



"Saya di hospital hampir setiap hari. Walaupun saya duduk, saya tetap rasa penat. Kadangkala, tangan saya pun kekejangan kerana tidak dapat menggerakkannya semasa dialisis," katanya.



"Selain daripada secara fizikal, saya juga tertekan secara emosi. Saya hanya dapat fikirkan bahawa apa yang saya lakukan ini adalah untuk anak saya," tambahnya.



Kata Cik Fadilah, sokongan keluarga dan suaminya telah menjadi dorongan baginya untuk teruskan perjalanan ini.



Walaupun menghidapi preeclampsia menjelang akhir kehamilannya dan melahirkan anak perempuannya lebih awal, dengan pengawasan dan pemantauan yang rapi, Cik Fadilah dapat meneruskan kandungannya sehingga 35 minggu dan akhirnya melahirkan bayi perempuan yang sihat melalui pembedahan caesarean (C-section).



Tempoh kehamilan yang selamat bagi pesakit dialisis ialah jika ia melebihi 32 minggu, dengan kelahiran bayi seberat 1.5 kilogram. Tempoh penuh kehamilan pula bermula pada 37 minggu.



Tiga minggu selepas bersalin, Cik Fadilah dan suaminya akhirnya dapat membawa pulang bayinya.



"Saya harap kisah kami ini dapat memberi semangat kepada mereka yang juga mengalami penyakit yang sama seperti saya.



"Mungkin ia perjalanan yang mencabar, tetapi saya yakin bahawa akhir perjalanannya sangat manis dan ia telah memberi saya kebahagiaan," kata Cik Fadilah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >