Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KAWAL BANJIR KILAT DI LAPANGAN TERBANG CHANGI

Sensor kawal banjir dipasang di Lapangan Terbang Changi

Dec 23, 2021 | 05:30 AM



PADA awal Januari lalu, hujan yang berterusan dan meluas yang disebabkan monsun timur laut telah menyebabkan sedikit banjir di setengah laluan jalan raya di Airport Boulevard, Lapangan Terbang Changi.



Namun mujur banjir itu kecil sahaja dan tidak menjejas aliran lalu lintas di situ, kata Cik Cheng Liping, pengurus kanan bagi perancangan induk di Kumpulan Changi Airport (CAG), kepada The Straits Times (ST) baru-baru ini.



Namun banjir kilat di lapangan terbang boleh membawa kesan yang besar kepada keselamatan, pesawat, operasi landasan kapal terbang dan perhubungan udara.



"Kami prihatin terhadap ini kerana longkang-longkang terletak di dalam padang penerbangan. Jika takungannya melimpah, ia akan menjejas tempat letak pesawat berdekatan serta landasan terbang," katanya.



"Jika berlaku banjir, ia boleh menyebabkan pesawat tergelincir. Dan itu boleh menimbulkan masalah yang besar," ujar Cik Cheng lagi.



Sebagai persiapan tambahan untuk menangani banjir kilat ekoran hujan lebat dan berterusan, perubahan iklim serta paras laut yang semakin naik, sebuah rangkaian alat pengesan, atau sensor telah dipasang di serata rangkaian longkang lapangan terbang Changi.



Ini termasuk di Airport Boulevard dan padang terbangnya.



Banjir kilat di Singapura sering disebabkan hujan lebat yang berterusan hingga jumlah air melebihi kapasiti longkang tempatan.



Kebanyakan longkang di Lapangan Terbang Changi menyalurkan air ke laut.



Tujuh sensor yang menggunakan kuasa solar itu - dipasang sejak pertengahan tahun ini - menggunakan kaedah radar untuk memantau paras air di dalam longkang yang mempunyai pagar keselamatan.



Setiap alat pengesanan itu juga dilengkapi dengan sebuah kamera litar tutup untuk memantau keadaan di dalam longkang tersebut.



Pasukan pembangunan dan kejuruteraan CAG akan diberi amaran sekiranya paras air di dalam longkang berkenaan melebihi 60 peratus.



Pekerja kemudian akan dikerah untuk membersihkan sebarang serpihan yang terperangkap di dalam pagar longkang itu seperti daun, potongan rumput dan sampah plastik yang menghambat aliran air ke laut itu.



Salah satu longkang yang terletak di kawasan selatan aerodrome lapangan terbang, bakal mengalami risiko limpahan yang lebih tinggi, kerana jarak batang besi pagar keselamatannya dibina lebih dekat antara satu sama lain berbanding yang lain dan lebih mudah menyebabkan serpihan terperangkap di situ.



Jika paras air di dalam longkang berkenaan melangkaui 60 peratus, pagar tersebut akan dinaikkan secara automatik untuk mengeluarkan air di dalam longkang itu seperti sebuah empangan.



Menjelang Februari tahun depan, lagi empat sensor akan dipasang di rangkaian longkang lapangan terbang.



Ia akan merangkumi kawasan yang bakal menghadapi risiko banjir yang tinggi, kata Cik Cheng lagi.



Beliau menambah bahawa kebanyakan longkang di lapangan terbang telah dibina sejak tahun 1970-an dan ada diantaranya yang mungkin tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menangani musim hujan lebat yang berlebihan.



Meskipun kerja-kerja naik taraf terhadap sistem longkang di Airport Boulevard telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia merupakan satu cabaran untuk mengubahsuai longkang di kawasan dekat dengan kawasan berisiko banjir tinggi kerana ia terletak di sebuah persimpangan laluan bagi pesawat di lapangan terbang.



"Jika kami menutup persimpangan itu, akan terdapat terlalu banyak laluan yang akan terjejas dan itu akan menjejas pula operasi lapangan terbang," jelas Cik Cheng.



Untuk memantau rangkaian sensor yang itu dengan lebih baik, CAG telah mencipta sebuah peta digital pemantauan longkang yang membolehkan kakitangannya mengenal pasti longkang yang hampir penuh atau tersendat dengan mudah.



Longkang-longkang itu ditandakan dengan pelbagai warna di dalam peta itu dan warna merah bermakna sebuah longkang itu sudah melebihi paras 70 peratus.



Naib presiden kanan pengurusan kejuruteraan dan perancangan sistem, Encik Teng Hwee Onn berkata: "Peta ini membolehkan kami mengerahkan sumber penyelenggaraan dan pembersihan dengan cara yang lebih khusus, cekap dan berkesan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >