Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEPINTAS BAHAS BELANJAWAN

Mempersiap S'pura bagi masa depan PASCA-COVID-19

Perbahasan tahunan mengenai rancangan perbelanjaan pemerintah dan pelbagai kementerian di Parlimen berakhir pada Isnin lalu. Akhbar BERITA HARIAN membentangkan 11 tema utama yang muncul.
Mar 15, 2021 | 05:30 AM



1 MENGURANGKAN KESAN KENAIKAN CUKAI PETROL



SEBAGAI sebahagian langkah beralih ke arah Singapura yang lebih hijau dan mampan bagi semua generasi, kadar cukai petrol akan dinaikkan sebanyak 15 sen seliter bagi petrol premium dan 10 sen seliter bagi petrol pertengahan.



Pemerintah akan memperuntukkan $113 juta untuk menyediakan rebat bagi kenderaan petrol dan kenderaan hibrid petrol untuk memudahkan peralihan menyusuli kenaikan itu.



Akan terdapat rebat cukai jalan raya 15 peratus bagi pemilik kereta privet untuk setahun, dan rebat 60 peratus bagi pemilik motosikal. Pemilik kenderaan komersial akan menerima rebat cukai 100 peratus bagi setahun.



Rebat cukai petrol tambahan bagi motosikal, teksi dan kereta sewa privet akan diperkenalkan menjelang pertengahan tahun ini, dengan butiran lanjut akan diberikan bulan depan.



Secara keseluruhan, langkah-langkah ini akan mengimbangi kenaikan cukai petrol untuk sekitar setahun bagi teksi dan motosikal, dan sekitar dua pertiga bagi kenderaan komersial dan kereta.



Segelintir pemandu penghantaran dan kereta sewa privet sepenuh masa melahirkan rasa kurang senang tentang kesan langkah tersebut ke atas pendapatan mereka, dengan ada yang berkata mereka perlu memandu lebih lama untuk menanggung kos petrol yang dinaikkan.



Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, menyifatkan kenaikan itu sebagai "satu kejutan yang tidak kena pada masanya".



2 MENGUBAH EKONOMI MENJANGKAU COVID-19



Tiga strategi dibentangkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing untuk membantu Singapura menggenggam peluang dalam dunia pasca-Covid-19: memperkukuh kedudukan hab sejagatnya, mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah tempat penting dan sukar diganti dalam rantaian nilai sejagat, dan membina keupayaan dalam perusahaan dan pekerja rakyat Singapura agar mereka boleh bersaing dalam dunia lebih global.



Syarikat kecil dan sederhana (SME) setempat akan diberikan bantuan. Di bawah peningkatan Scale-up SG, pemerintah mahu mempersiapkan lagi 50 pejuang setempat masa depan dalam tempoh dua tahun mendatang. Penasihat pakar akan dikerahkan di pusat SME untuk menyediakan sokongan kewangan dan pendigitalan.



Di bawah peningkatan Perikatan Inovasi Global (GIA), yang bertujuan membantu firma start-up setempat memperluas dan dihubungkan dengan masyarakat teknologi dan perniagaan luar negara, syarikat akan mendapat sokongan sehingga 70 peratus daripada kos yang layak untuk berinovasi bersama dengan rakan luar negara.



Akses kepada pasaran baru akan dipertingkat dengan memperluaskan rangkaian GIA daripada 15 kepada 25 bandar dalam lima tahun mendatang.



3 MENJAGA KESELAMATAN SINGAPURA



Menjelang 2025, Singapura akan mempunyai makmal pembendungan biokeselamatan tahap tertinggi yang pertama untuk membantu mempersiapkan negara ini bagi pandemik seterusnya.



Sekitar $90 juta akan dibelanjakan untuk mempertingkat keupayaan agensi penyelidikan pertahanan nasional, DSO National Laboratories, untuk membolehkannya mengasingkan dan mengkultur patogen penyakit berjangkit baru muncul, dan membangunkan diagnostik dan huraian.



Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) juga sedang menyemak cara ia mengklasifikasikan tahap kecergasan mereka yang memasuki Perkhidmatan Negara (NS), yang bermakna lebih ramai orang akan dapat melakukan peranan operasi tidak kira kecergasan perubatan mereka.



Di dalam masyarakat pula, lebih banyak kamera polis akan dipasang serata negara dalam beberapa tahun mendatang, dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam berkata alat ini telah mengubah dan membantu menyelesaikan kes.



Kementeriannya juga akan memperhalusi undang-undang yang diusulkan untuk menentang kempen maklumat bersikap bermusuhan dan melindungi negara ini daripada ancaman pengaruh asing dalam politik domestik.



4 MEMBANTU PERNIAGAAN MENJADI DIGITAL



Pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan agak besar dalam penggunaan teknologi dalam masyarakat, dari gerai penjaja hingga ke hotel. Namun, lebih banyak sedang dilakukan.



Inisiatif Ketua Pegawai Teknologi-sebagai- sebuah-Perkhidmatan yang akan dilancarkan tahun ini akan membantu SME memanfaatkan khidmat konsultasi digital dan pengurusan projek.



Inisiatif digital yang sedang dijalankan telah menerima pendekatan kukuh. Program SME Go Digital telah memberi manfaat kepada lebih 63,000 perusahaan sejak pelancarannya pada 2017, dengan sekitar 40,000 perusahaan mendaftar tahun lalu.



Sekurang-kurangnya 2,000 perusahaan telah mendapat akses kepada pasaran luar negara menerusi platform e-dagang di bawah skim Grow Digital.



5 MEMPERKUKUH TERAS RAKYAT SINGAPURA



Salah satu kementerian yang mendapat banyak potongan ucapan dari Anggota Parlimen (AP) ialah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dengan penggubal undang-undang menggesa agar perlindungan lebih baik diberikan kepada pekerja ekonomi gig, berpendapatan rendah dan matang.



Sementara para menteri menekankan keperluan bagi ekonomi kekal terbuka kepada bakat, mereka juga menekankan keperluan memperkukuh teras rakyat Singapura.



Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata: "Objektif asas kita adalah untuk sentiasa memenuhi kepentingan pekerja rakyat Singapura. Akses kepada pekerja asing bertujuan membantu menumbuhkan pai ekonomi lebih besar daripada yang kita boleh. Oleh itu, tenaga kerja asing mesti bertindak sebagai pelengkap kepada tenaga kerja setempat kita."



Mulai 1 Mei ini, warga asing yang tinggal di Singapura dengan pas tanggungan akan memerlukan pas kerja untuk bekerja di sini, dan bukan surat kebenaran.



Ini bermakna majikan mereka akan perlu memohon bagi Pas Pekerjaan, Pas S atau permit kerja untuk mereka, dan kelayakan yang relevan akan dikenakan.



Lebih banyak perubahan kepada peraturan Pas S bagi warga asing akan diperkenal secara bertahap-tahap dalam dekad ini.



Pihak berkuasa mungkin akan mempertimbang melanjutkan sokongan gaji di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan bagi pekerja setempat menjangkau September, terutamanya jika pemberhentian kerja terus berlaku disebabkan pandemik ini.



6 MENGGALAKKAN PENGAMBILAN KERJA PEKERJA LANJUT USIA



Para AP menimbulkan keprihatinan seperti kecukupan kewangan untuk persaraan bagi pekerja lanjut usia, sama ada mereka mempunyai pilihan pekerjaan yang mencukupi jika mereka memilih untuk bekerja lebih lama, dan bagaimana memastikan mereka kekal relevan dan bersedia untuk masa depan.



Memberi respons, MOM berkata langkah meningkatkan usia persaraan berkanun kepada 63 tahun dan usia pengambilan bekerja semula kepada 68 tahun akan diteruskan seperti yang dirancang pada 1 Julai tahun depan.



Geran bagi majikan yang menggajikan pekerja lanjut usia yang berusia lebih daripada usia persaraan dan pengambilan bekerja semula berkanun akan dilanjutkan. Lebih $200 juta akan diperuntukkan bagi Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia dan Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan, yang diperkenalkan dalam Belanjawan tahun lalu.



Untuk layak, syarikat akan perlu mengamalkan Piawaian Tiga Pihak mengenai Amalan Tempat Kerja Mesra Usia sebagai keperluan tambahan bagi kedua-dua geran.



Langkah ini akan membantu membentuk norma baru dalam kalangan majikan untuk meningkatkan usia persaraan kepada 65 tahun dan usia pengambilan bekerja semula kepada 70 sebelum 2030.



7 MENJADIKAN PEMBELIAN DAN SEWA FLAT HDB LEBIH MUDAH



Pembeli flat boleh menghantar dokumen dan dinilai bagi geran dan pinjaman dalam satu permohonan, dan tidak perlu menghantar beberapa permohonan.



Mereka juga boleh memohon bagi pinjaman perumahan daripada institusi kewangan yang menyertai inisiatif itu secara langsung di laman flat HDB.



Tiga pemeriksaan kelayakan berasingan sebelum ini kini akan diselaraskan untuk menjadi satu permohonan yang dibuat menerusi laman flat HDB. Keputusannya kemudian akan dihantar kepada pemohon dalam surat Kelayakan Flat HDB baru.



Di bawah model perintis baru tahun ini, orang bujang akan boleh memohon bagi flat sewa awam tanpa perlu mencari rakan serumah dahulu. HDB akan melantik sebuah agensi khidmat sosial untuk mengendalikan flat tersebut.



8 SISTEM PENDIDIKAN LEBIH INKLUSIF



Kementerian Pendidikan (MOE) mendedahkan rancangan untuk membina lebih banyak "jambatan" dan "tangga" untuk membolehkan pelajar meneroka dan membangunkan minat dan kekuatan unik mereka sedang mereka mendaki sistem pendidikan.



Kurikulum Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan diselaraskan untuk membolehkan lebih ramai pelajar mendapatkan kelayakan Higher Nitec dalam tempoh masa lebih pendek.



Program Asas Politeknik, yang mempersiapkan pelajar aliran Normal (Akademik) terpilih bagi kemasukan ke politeknik, akan disemak untuk melihat bagaimana ia dapat diperluaskan untuk memenuhi profil pelajar menengah yang lebih pelbagai. Sebuah universiti seni privet baru juga akan dibentuk oleh perikatan Kolej Seni Lasalle dan Akademik Seni Halus Nanyang untuk menawarkan lebih banyak laluan sarjana muda dalam seni.



Dalam sektor pembangunan awal kanak-kanak, mulai separuh kedua 2023, setiap prasekolah akan melantik penyelaras penyepaduan untuk mengenal pasti dan menyokong kanak-kanak dengan keperluan pembangunan.



Program KidStart untuk membantu kanak-kanak kecil daripada keluarga berpendapatan rendah akan diperluaskan ke tiga lagi estet kejiranan.



Program Community Link (ComLink), yang menyediakan sokongan menyeluruh dan diselaraskan kepada keluarga berpendapatan rendah, juga akan diperluaskan ke seluruh negara di 21 bandar dalam dua tahun. Ini akan meliputi kesemua 14,000 keluarga dengan kanak-kanak yang tinggal di rumah sewa bersubsidi tinggi.



Demi memastikan sekolah kekal dibuka kepada pelajar daripada semua latar belakang, MOE akan menyemak rangka kerja pendaftaran darjah satu untuk melihat cara ia boleh meningkatkan jumlah tempat yang diperuntukkan di bawah Fasa 2C, iaitu fasa terbuka bagi mereka yang tidak menikmati sebarang bentuk kemasukan keutamaan.



9 MENJADI PERCIKAN HIJAU TERANG



Kampus hijau, kenderaan elektrik dan transformasi industri diutarakan semasa segmen bersama mengenai kemampanan, di mana tujuh menteri membentangkan rancangan mereka.



Bangunan, yang menyumbang lebih 20 peratus kepada pengeluaran nasional, akan dijadikan lebih jimat tenaga.



Ruang taman akan ditambahkan, dengan usaha menjadi hijau dijalankan di ruang rekreasi seperti Sentosa, yang akan diubah menjadi destinasi neutral karbon menjelang 2030.



Dorongan diperbaharui bagi kenderaan elektrik akan mengurangkan pengeluaran karbon daripada sektor pengangkutan darat, yang kini menyumbang 14 peratus kepada pengeluaran Singapura.



Menteri Kanan Teo Chee Hean menambah bahawa matlamat yang ditetapkan Singapura "tidak dimaksudkan untuk menjadi statik" dan ia akan terus maju dengan langkah-langkah mengurangkan pengeluaran dalam kawalannya. Namun, banyak juga akan bergantung pada apa yang dilakukan di peringkat antarabangsa - daripada kemajuan teknologi hingga ke kerjasama sejagat, kata beliau.



10 MENYASARKAN SUBSIDI PENJAGAAN KESIHATAN



Sedang perbelanjaan penjagaan kesihatan akan meningkat dengan penduduk semakin menua, Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak rangka kerja subsidinya untuk menyalurkan dana kepada mereka yang paling memerlukannya, dan membantu memastikan setiap dolar dibelanjakan dengan berbaloi.



Mulai tahun depan, pesakit berpendapatan tinggi akan perlu membayar lebih di klinik pakar pesakit luar, di mana dua tahap subsidi baru diperkenal. Kadar subsidi terendah akan turun daripada 50 peratus kepada 30 peratus bagi mereka dengan pendapatan per kapita isi rumah (PCHI) lebih tinggi.



Hospital akut, yang kini mendasarkan subsidi pada pendapatan individu, akan beralih menggunakan PCHI pula, iaitu format ujian min yang kini digunakan khidmat penjagaan kesihatan awam lain.



Pada masa yang sama, tahap subsidi di hospital masyarakat akan meningkat agar ia lebih mencerminkan subsidi di hospital akut.



Pasukan Bertindak Kesejahteraan Mental Covid- 19, yang dibentuk tahun lalu untuk menyelaraskan respons Singapura bagi keperluan kesihatan mental yang timbul daripada pandemik ini, juga akan diubah menjadi platform antara agensi untuk menyelia usaha sedemikian di luar krisis ini.



Pasukan bertindak itu mempunyai tiga keutamaan segera: membangunkan strategi negara untuk menyelaraskan tugas pelbagai agensi, menubuhkan laman sumber kesihatan mental nasional bagi individu, dan membentuk rangka kerja latihan kecekapan kesihatan mental.



11 S'PURA BERSAMA MENERUSI PERIKATAN



Pendekatan baru menerusi kerjasama ini antara rakyat Singapura dengan pemerintah telah meraih momentum, dengan pelbagai Perikatan untuk Bertindak (AfA) Singapura Bersama diumumkan.



AfA merupakan kerjasama diterajui pihak berkepentingan dan industri yang mendorong peningkatan atau merebut peluang pertumbuhan utama bagi Singapura. Sebanyak 18 AfA telah dibentuk sejauh ini, dengan dua yang terbaru diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong minggu lalu.



Satu ialah berkenaan keperluan yang muncul dan kerja sukarelawanan dan akan memberi tumpuan pada menyokong kesejahteraan mental, membantu warga emas menyesuaikan diri pada norma baru, dan mempermudahkan sumbangan barangan atau perkhidmatan.



Kedua ialah berkenaan tujuan korporat dan bertujuan membangunkan rangka kerja nasional untuk membimbing syarikat dalam melakukan kebaikan.



AfA lain melihat pada menyokong penjaga individu kurang upaya; membantu syarikat mewujudkan tempat kerja dengan keharmonian pekerjaan-kehidupan; projek masyarakat untuk mempertingkat pekerja berpendapatan rendah; mempertingkat peluang pembelajaran dalam talian; dan membekalkan alat bijak kepada golongan memerlukan.




"Kenaikan cukai petrol berlaku secara mendadak tanpa sebarang amaran atau tempoh tangguh (grace period), dan paling teruk, ia berlaku semasa waktu ekonomi tidak menentu ini. Kadar 10 sen seliter, jika dikira setiap bulan, adalah banyak bagi kami yang menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki setiap hari, terutamanya pekerja penghantaran yang bekerja berdasarkan ad-hoc atau kontrak. Kami perlu mengurangkan perjalanan tidak penting, atau bekerja lebih lama atau bekerja dengan pelbagai platform penghantaran untuk bertahan dan membawa pulang pendapatan seperti biasa sebelum kenaikan petrol. Tiada banyak perkara yang boleh saya buat, saya hanya perlu ikat perut dan pastikan kos kehidupan keluarga saya tidak terjejas."
- Encik Yousri Dahlan, 41 tahun, pekerja penghantaran di Amazon, menggunakan kereta untuk tugasnya.




"Pendekatan seluruh pemerintah dalam isu kemampanan ini amat menggalakkan. Secara jelas, kami memandang serius isu ini sebagai sebuah negara - kami faham bagaimana perubahan dalam sekitaran akan menjejas masyarakat dan ekonomi kita. Saya percaya matlamat oleh pemerintah tidak statik, dan lebih banyak inisiatif boleh diadakan daripada matlamat awal ini. Apa yang saya harap dapat lihat adalah lebih banyak sokongan dan juga usaha mempertingkat inisiatif setempat, diterajui masyarakat sivil, dalam masyarakat. Itu, pada saya, akan memastikan pendekatan lebih menyeluruh agar rakyat Singapura boleh mendakap gaya hidup mampan."
- Cik Farah Sanwari, 31 tahun, pengasas bersama kumpulan sukarelawan sekitaran FiTree.




"Belanjawan 2021 memberi tumpuan khas terhadap inovasi dan usaha pendigitalan bagi membantu syarikat menjalani transformasi. Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Pusat SME@DPPMS akan terus bekerjasama dengan syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk memanfaatkan program dan skim tersedia yang diperkenalkan dalam Belanjawan baru-baru ini. Ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan perusahaan agar lebih bersedia memanfaatkan peluang-peluang perniagaan pasca-Covid."
- Encik Abu Bakar Mohd Nor, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).




"Secara peribadi, ini satu langkah ke hadapan yang baik. Sebagai seorang pelajar dan pengamal seni, saya rasa senang bahawa pendidikan seni semakin mendapat pengiktirafan dan sokongan dari pemerintah. Sehingga hari ini, masih ada orang yang memandang remeh kerjaya pengamal seni. Apa yang mereka mungkin tidak sedar adalah seni wujud dalam hampir setiap aspek kehidupan seharian mereka, terutamanya dalam era ini di mana teknologi begitu canggih. Saya percaya universiti seni baru ini akan memberi manfaat kepada generasi akan datang dan saya berharap orang ramai akan sedar bahawa mempunyai kerjaya dalam sektor seni juga berdaya maju dan memuaskan seperti kerjaya lain."
- Cik Hanisah Tan Zainudin, 24 tahun, penuntut tahun akhir dalam jurusan muzik di Kolej Seni Lasalle.




"Dari mula lagi, Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) membantu kita memastikan perniagaan dapat bertahan dan yang paling penting memberi ruang kepada majikan untuk sesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang berubah. Bantuan seperti ini juga menggalak syarikat supaya terus berfikir secara inovatif dan bergantung terhadap diri sendiri."
- Encik Sufi Hassan, ketua pegawai operasi rangkaian kafe Blackhole Group yang memiliki beberapa kafe seperti Afterwit dan Tipo, mengenai sokongan gaji di bawah JSS yang dilanjutkan bagi beberapa sektor.




"Ia wajar kerana kesan pandemik Covid-19 masih bersama kita dan bantuan jangka pendek lanjut diperlukan untuk membantu perniagaan paling terjejas dan kakitangan mengekalkan keupayaan. Tertumpu kerana ini sebuah pemerintah yang merancang bagi kesejahteraan masa depan rakyatnya dan kekal komited dalam strateginya untuk menggalak dan membolehkan perniagaan berubah dan kakitangan mempertingkat daya kerja dan kemahiran mereka. Tersasar kerana dana adalah terhad dan oleh itu, mesti digunakan secara berhati-hati untuk menyokong sektor yang paling terjejas oleh kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik dan rakyat yang sangat memerlukan bantuan. Secara keseluruhannya, ini sebuah Belanjawan bagi kemampanan sosial, ekonomi dan persekitaran."
- Dewan Perniagaan Antarabangsa Singapura (SICC) dalam kenyataannya sebelum ini, yang berkata Belanjawan tahun ini adalah wajar, tertumpu dan lebih khusus.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >