Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SG kenakan kawalan eksport, urusan kewangan tertentu berkaitan Russia

Mar 01, 2022 | 05:30 AM



  • Pengajaran bagi SG tidak bergantung pada negara lain untuk dapatkan perlindungan

  • SG hargai hubungan baik dengan Russia, namun perlu pertahan prinsip kedaulatan

  • Harga tenaga, produk lain dijangka naik ekoran sekatan ke atas Russia, gangguan pada rantaian bekalan

SINGAPURA akan mengenakan langkah kawalan eksport terhadap barangan yang boleh digunakan secara langsung sebagai senjata di Ukraine selain mengenakan sekatan dengan menghalang bank atau transaksi kewangan tertentu yang mempunyai kaitan dengan Russia.



Dalam ucapannya di Parlimen semalam, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, juga menegaskan pendirian Singapura yang terus menghargai hubungan baik dengan Russia dan rakyat Russia.



"Bagaimanapun, kita tidak boleh menerima pelanggaran kedaulatan dan kewibawaan sempadan sebuah negara berdaulat," ujar beliau.



"Kita akan terus bekerjasama dengan rakan Asean dan antarabangsa untuk mengambil pendirian yang utuh bagi menentang pencerobohan Ukraine dan untuk keganasan dan pertumpahan darah dihentikan, dan meredakan ketegangan sekarang," kata Dr Balakrishnan lagi, sambil menambah sekatan-sekatan yang akan dikenakan Singapura sedang dirancang secara terperinci dan bakal diumumkan tidak lama lagi.



Sementara itu, menyusuli ucapan Dr Balakrishnan itu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura mengutuk keras serangan Russia terhadap Ukraine dan menekankan bahawa kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah negara perlu dihormati.



Krisis tersebut juga merupakan pengajaran bagi Singapura untuk tidak bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan perlindungan, tambahnya.



"Apabila persetujuan dan hubungan diplomatik gagal, kita tidak boleh mengharapkan (negara) lain untuk melindungi kita.



"Kita tidak boleh hilang keupayaan untuk mempertahankan diri," kata PM Lee, dalam catatannya di Facebook.



Meskipun Singapura "jarang bertindak" mengenakan sekatan terhadap negara lain tanpa keputusan atau arahan dari Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr Balakrishnan menekankan ia memutuskan untuk bertindak selepas mempertimbangkan keadaan yang serius itu.



Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa langkah sekatan yang akan dikenakan terhadap Russia dijangka meninggalkan kesan terhadap perniagaan, warga dan Singapura secara keseluruhan.



"Namun, jika kita sebagai negara tidak mempertahankan prinsip yang merupakan asas kepada kemerdekaan dan kedaulatan negara lebih kecil, hak Singapura sendiri untuk wujud dan makmur sebagai sebuah negara juga boleh dipersoalkan," katanya.



Meskipun Ukraine terletak jauh dari Singapura, krisis yang melandanya menimbulkan keprihatinan pihak berkuasa kerana kesan ekonomi sudah dirasakan, sepertimana yang dilihat pada harga elektrik dan minyak yang meningkat.



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata harga tenaga global dan produk lain dijangka meningkat dalam minggu-minggu akan datang sedang pelbagai negara kini mengenakan sekatan ke atas Russia.



"Pengguna jalan raya perlu menjangkakan harga pam minyak petrol dan diesel akan meningkat. Kadar elektrik bagi kededua perniagaan dan isi rumah akan meningkat sejajar dengan kos tenaga global yang meningkat. Ini sudah tentunya akan menjejas warga Singapura, dan meningkatkan lagi kos sara hidup," ujar Encik Gan.



Sementara itu, kos sara hidup yang semakin meningkat turut menjadi tumpuan pada hari pertama perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) semalam dengan lebih 20 Anggota Parlimen (AP) menyertai perbahasan.



Isu lain yang menjadi keprihatinan termasuk kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan dasar pekerja asing.



AP turut mengutarakan isu-isu yang melibatkan masyarakat peniaga berhubung kos, adanya tenaga kerja, dan peningkatan gaji bagi pekerja bergaji lebih rendah.



LAPORAN SELANJUTNYA: Vivian: Pencerobohan Ukraine bentang realiti negara kecil mudah ditakluki




"Apabila persetujuan dan hubungan diplomatik gagal, kita tidak boleh mengharapkan (negara) lain untuk melindungi kita. Kita tidak boleh hilang keupayaan untuk mempertahankan diri."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang turut menekankan bahawa kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah negara perlu dihormati.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >