Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SG perlu relevan dengan dunia agar dapat harungi krisis: Chun Sing

Garis tiga strategi nasional bagi tangani gangguan rantaian bekalan - pelbagaikan sumber bekalan, bina keupayaan sendiri dan simpan stok seberapa boleh
Sep 01, 2022 | 05:30 AM



ADALAH penting bagi Singapura kekal relevan kepada dunia supaya negara dunia tidak akan terlepas pandang negara ini, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.



Berkongsi antara pengalaman pemerintah menangani pandemik Covid-19, beliau berkata satu pengajaran yang diperoleh Singapura ialah bahawa walaupun ada wang untuk membeli bekalan yang diperlukan, ini tidak semestinya mencukupi semasa satu krisis.



Sebaliknya, Singapura juga harus menghasilkan bekalan yang orang mahu, khususnya semasa krisis, supaya dalam keadaan paling terdesak pun, ini dapat sekurang-kurangnya ditukar dengan barangan lain yang diperlukan.



"Usaha ini lebih daripada sekadar membuat duit untuk membeli barang tetapi mempunyai kemampuan untuk melakukan demikian dan memiliki keupayaan yang diperlukan, khususnya semasa krisis.



"Kita dapat menarik syarikat pengeluar vaksin, petrokimia, semikonduktor - ini semua bekalan penting yang dunia perlukan, walaupun dalam krisis, dan ini memberi kami lebih keyakinan bahawa kami boleh mendapatkan segala bekalan yang kita perlukan dengan lebih baik," ujarnya yang sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.



Encik Chan berkata demikian dalam satu wawancara pasca Rapat Hari Kebangsaan dengan akhbar The Straits Times (ST) menerusi rancangan dalam talian mereka, The Big Story, yang disiarkan di laman web, YouTube dan Facebook ST semalam.



Menggariskan tiga strategi nasional untuk menangani cabaran gangguan kepada rantaian bekalan, beliau berkata Singapura perlu mempelbagai sumber negara ini memperoleh bekalan, membina keupayaan setempat dan menyimpan stok seberapa banyak boleh.



Namun, setiap orang juga boleh memainkan peranan.



"Dalam krisis, jika kita semua kekal tenang, ini sebenarnya memberi kita peluang lebih baik untuk mendapatkan bekalan yang kita mahu pada harga yang kita boleh mampui.



"Ini kerana apabila pihak lain fikir kita sedang panik dan tidak tenang, mereka lebih berkemungkinan akan menaikkan harga.



"Sebab itulah di tengah-tengah gangguan terhadap beberapa rantaian bekalan baru-baru ini, apabila warga Singapura meneruskan kehidupan mereka dengan tenang, ini memberi kita lebih kelebihan dan ini yang kami amat banggakan," ujar Encik Chan.



Tambahnya, warga juga harus bersikap fleksibel supaya dapat tangkas menyesuaikan diri jika perlu.



Dalam wawancara itu, Encik Chan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, turut menyentuh mengenai beberapa isu lain termasuk keperluan menarik bakat asing, memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat, keperluan pendidikan negara ini serta kesan memakai pelitup di sekolah.



Awal minggu ini, pemerintah mengumumkan Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (One Pass) baru sebagai sebahagian daripada usaha menarik bakat asing terbaik dalam semua sektor ke negara ini.



Permohonan bagi pas itu akan dibuka mulai 1 Januari tahun depan dan pemohon akan perlu meraih gaji bulanan tetap sebanyak $30,000 dan ke atas, yang setanding dengan 5 peratus pemegang Pas Pekerjaan (EP) teratas.



Encik Chan berkata usaha ini bukan sekadar bertujuan menarik tenaga kerja asing untuk melengkapi tenaga kerja setempat. Namun, ini dilakukan sementara usaha terbaik dijalankan untuk memastikan setiap warga Singapura berpeluang mencapai potensi penuh mereka.



Beliau turut memberi jaminan bahawa pemerintah akan cuba menggembleng seberapa banyak sumber mungkin untuk memberi setiap warga permulaan hidup yang baik, dengan sistem dan asas yang dibentangkan untuk membolehkan mereka belajar sepanjang hayat.



Bahkan tambahnya, ini juga bertujuan memastikan mereka kekal berdaya saing sepanjang hayat dan bukan buat 15 tahun pertama hidup mereka sahaja.



Oleh itu, pemerintah juga sedang meninjau bagaimana untuk menyusun sistem latihan mereka untuk memastikan warga negara ini kekal berdaya saing dalam 50 tahun selepas meninggalkan bangku sekolah.



"Jika ada sebarang negara yang boleh melabur... dalam pelajar dewasa kita, Singapura harus menjadi antara negara itu. Kita mempunyai kemampuan dan kita memerlukan kerjasama individu serta syarikat.



"Bersama... jika ada sebarang negara yang boleh mencapai ini, kita harus menjadi antaranya. Namun, kita perlu mengubah pemikiran kita," kata Encik Chan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >