Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam: Sokongan masjid adalah penting bantu tingkat kesedaran antidadah

Jun 26, 2021 | 05:30 AM



SOKONGAN daripada masjid-masjid dalam usaha meningkatkan kesedaran antidadah amat penting kerana masjid menjadi titik tumpuan utama dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam.



Bercakap selepas acara pelancaran sokongan masjid-masjid terhadap kempen Dadah Itu Haram (DIH) di Masjid Al-Ansar semalam, beliau turut mengiktiraf komitmen yang ditunjukkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan masjid-masjid terhadap usaha ini.



Mulai semalam, kesemua 71 masjid di sekitar Singapura telah mengikrarkan sokongan mereka terhadap kempen DIH, kelolaan Biro Narkotik Pusat (CNB), dengan memasang sepanduk dan kain rentang yang tertera dengan mesej seperti "Muslim Sejati Jauhi Dadah".



Ini merupakan satu peningkatan ketara selepas hanya 15 masjid yang terlibat dalam kempen DIH ini tahun lalu.



"Ini merupakan perkembangan yang sangat penting dan ketara. Apabila kami mula bekerjasama dua tahun lalu, hanya beberapa masjid yang turut serta tetapi hari ini, kempen ini dilancarkan di semua masjid.



"Kami memerlukan semua pihak untuk bersama membantu mencegah penyalahgunaan dadah dan memastikan kesalahan itu tidak berulang," kata Encik Shanmugam.



Acara memasang sepanduk dengan mesej antidadah itu juga diadakan bersempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram yang disambut setiap tahun pada 26 Jun sejak 1989.



Kempen tahun ini sebahagiannya akan memberi tumpuan kepada larangan Islam terhadap penyalahgunaan dadah.



Sejajar dengan tumpuan tersebut, khutbah Jumaat semalam yang disediakan oleh Pejabat Mufti turut menyentuh tentang pentingnya sokongan masyarakat dalam membantu pesalah dadah dan keluarga mereka, selain memerlukan masyarakat memainkan peranan aktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah.



Menurut Encik Shanmugam, sejak ditubuhkan pada 2018, pejabat Fitrah, di bawah naungan Muis telah menyediakan program berasaskan agama kepada para pesalah. Program tersebut disesuaikan untuk memberi motivasi bagi pesalah untuk melakukan perubahan.



Menyentuh tentang hal ini, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah bekerjasama dengan Muis dan Fitrah dalam pelbagai bidang untuk menangani isu pesalah melakukan kesalahan dan kesalahan berulang.



Antara kerjasama ini termasuk menyertai lawatan ke rumah keluarga pesalah di bawah inisiatif rangkaian M Kuasa Tiga (M3) dan menghubungkan mereka kepada sokongan yang ditawarkan masjid dan Fitrah.



Dr Faishal yang turut hadir di acara pelancaran semalam berkata:



"Ini adalah sesuatu yang kita dapati akan membantu dalam usaha peringkat nasional dalam mencegah kesalahan dan kesalahan berulang dari berlaku.



"Ketika kita maju bersama sebagai satu masyarakat, kita akan mencari peluang bagi orang-orang kita untuk menjalani kehidupan yang bahagia bersama keluarga dan rakan mereka, selain memastikan tiada peluang bagi mereka untuk melakukan kesalahan atau kesalahan berulang ini."




"Ini merupakan perkembangan yang sangat penting dan ketara. Apabila kami mula bekerjasama dua tahun lalu, hanya beberapa masjid yang turut serta tetapi hari ini, kempen ini dilancarkan di semua masjid.

"Kami memerlukan semua pihak untuk bersama membantu mencegah penyalahgunaan dadah dan memastikan kesalahan itu tidak berulang.''

- Encik K. Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >